Ibrahim Ali, Khairy Jamaluddin usah buang masa

KADANG-KADANG  rasa meluat melihat pertelagahan Presiden Perkasa, Dato' Ibrahim Ali dengan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Tapi kadang-kadang hendak tergelak pun ada. Ibarat macam 'katak' dengan 'beruk' bergaduh, walhal tiada keperluan pergaduhan antara keduanya wujud.

Katak ketawakan beruk kerana, beruk hanya tahu melompat atas pokok. Katak ketawa kerana mendakwa perjuangan beruk tidak sesuai kerana 'tidak berpijak di bumi yang nyata.'

Manakala beruk pula mentertawakan katak kerana perjuangan katak 'tak sampai ke mana', tidak boleh naik ke atas, hanya melompat-lompat di bawah sahaja.


Hakikatnya perjuangan seumpama katak dan beruk tidak relevan sama sekali dalam dunia moden hari ini. Justeru ahli-ahli politik Malaysia, jika hendak kekal lama, usahlah meniru perangai katak dan beruk ini.

Penulis tidak bermaksud merujuk ungkapan katak dan beruk sama ada kepada Ibrahim, mahupun Khairy. Penulis hanya memberikan perumpamaan atau analogi sahaja.

Apa pun, tidak payahlah, Ibrahim Ali  dan Khairy Jamaluddin hendak bergeseran lagi. Pergeseran kedua-duanya hanya membuang masa sahaja.

Umno, Perkasa tidak relevan kepada Melayu

Sejak beberapa bulan ini kedua-duanya asyik bertelagah, menyalahkan antara satu sama lain. Kedua-duanya sering mendakwa salah seorang di antara mereka sudah tidak relevan.

Ibrahim sering menyerang Khairy, manakala Khairy mengugut dengan menyatakan, beliau sanggup keluar Umno jika didapati Umno yang mendokong perjuangan Perkasa.

Sebenarnya, perseteruan Ibrahim dan Khairy yang digembar-gemburkan media, hanyalah suatu sketsa atau babak dari kartun politik yang tidak mempunyai apa-apa nilai.

Kedua-dua ahli politik ini, cuba meraih publisiti murahan untuk menarik perhatian rakyat dari kalangan penyokong Umno sahaja. Iaitu perjuangan menarik perhatian mereka-mereka yang confius dengan Umno, yang sudah lari daripada perjuangan asalnya.

Ibrahim dan Khairy, kedua-duanya memang tidak ada nilai apa-apa langsung, kepada para penyokong Pakatan Rakyat. Bak kata pepatah 'ada pun tak menambah, tak ada pun tidak mengurangkan'.

Hakikatnya mereka berdua hanya 'melukut di tepi gantang' dari guni beras Umno-Barisan Nasional. Jika selepas Pilihan Raya Umum ke-13, BN dilenyapkan, mereka pun turut sama terhapus.

Apapun setakat ini, walaupun mereka berstatus Ahli Parlimen, tetapi penulis menjangka, jika tidak ada aral, inilah kali terakhir mereka duduk di Parlimen. Mungkin kali terakhir mereka berkarier dalam dunia politik.

Ibrahim menang di Pasir Mas atas ihsan PAS. Khairy menang di Rembau kerana bapa mertuanya, Perdana Menteri dan Presiden Umno, memilihnya sebagai calon BN.

Sekarang ini, Ibrahim sudah tidak diterima lagi dalam arena politik Kelantan. Beliau sudah tidak boleh 'cari makan' di sana. Orang-orang politik sudah jemu dengan gelagatnya, menggelarnya 'katak politik' yang flip flop.

Nasib Khairy juga sama. Walaupun beliau MP, Ketua Pemuda Umno, tetapi tiada nilai dalam Umno-BN. PM, Dato' Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden Umno, sudah menunjukkan isyarat jelas bahawa Khairy tidak dikehendaki.

Jawatan Ketua Pemuda yang setaraf Naib Presiden, tiada nilai dalam Umno, kerana beliau dimusuhi sekian lama, khususnya juak-juak mantan PM, Tun Mahathir Mohamad dan PM sekarang ini.

Antara Perkasa dan Islam Hadhari

Persoalan relevan atau tidak kewujudan mereka dalam dunia politik, harus dijawab sendiri oleh Ibrahim dan Khairy.

Harus dikaji atas dasar apa perjuangan mereka disandarkan. Bagi rakyat yang berfikiran matang, mereka tidak perlu diajak menilai Ibrahim dan Khairy. Perjuangan Perkasa tidak diterima dan Islam Hadhari juga sudah lama melingkup.

Bagi PAS, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan tegas menolak Perkasa kerana PAS tidak menerima perjuangan yang berlandaskan kepada perkauman yang dijadikan akidah.

Perkasa diwujudkan dengan dokongan sebahagian besar ahli Umno, kononnya hendak menjadi pressure group mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu dalam negara.

Mereka cuba menafikan hakikat, bahawa Perkasa adalah 'alat Umno', selepas Umno dilihat gagal menjadi juara memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak Melayu selepas lebih 50 tahun menerajui negara.

Bila Umno yang mendabik dada sebagai induk perjuang Melayu pun sudah gagal, apa yang orang Melayu hendak harapkan daripada Perkasa? Perkasa itu sendiri wujud dengan ihsan Umno.

Oleh itu, Perkasa tidak perlu berlakon untuk bergaduh dengan Umno. Sebabnya, orang-orang Melayu yang sudah menolak Umno, sama sekali tidak akan menerima Perkasa kerana ianya merupakan sebuah intiti wayang kulit Umno.

Menyentuh mengenai Islam Hadhari pula, Presiden PAS sudah menghurai dengan panjang lebar dalam bukunya bertajuk 'Hadharah Islamiah bukan Islam Hadhari' yang terjual lebih 30 ribu naskhah.

Islam Hadhari yang dipelopor Abdullah dan grup-grup Khairy, pada suatu ketika dijadikan model klasik, betapa hebatnya Islam yang dipelopori Umno.

Habis semua ulama-ulama yang menjadi jargon politik mereka, dikerah mengeluarkan hadis dan ayat-ayat al-Quran, demi menghalalkan Islam Hadhari. Islam Hadhari bukan sahaja diucapkan, diseminarkan dan dijadikan dasar negara.

Namun apa jadi dengan Islam Hadhari? Habis melingkup. Tiada seekorpun pemimpin Umno yang menyebutnya, selepas Abdullah diturunkan dari jawatan PM. Mana ulama-ulama besar Umno yang beriya-iya memperjuangkan Islam Hadhari? Mana profesor-profesor kangkung yang meuar-uarkan slogan tersebut di media arus perdana?

Kalau ulama pun tidak menyebutnya lagi, usahlah diharap lulusan Oxford atau Cambridge hendak menyebut ungkapan Arab itu. Habis tergeliat lidah mereka.

Yang golongan ini faham bukan Islam Hadhari, tapi Islam yang ada 'Had' dan ada 'Hari'. Iaitu pada mereka, Islam di Malaysia hanya diamalkan pada had-had tertentu dan hari-hari tertentu sahaja.

Hakikat yang hendak disebut di sini ialah, perjuangan Khairy sudah sama sekali tidak relevan dalam politik Malaysia. Beliau sepatutnya berundur dengan cara terhormat, sebalik sahaja Abdullah diundurkan pada 4 April 2009.

Dalam usia awal 30-an agak malang bagi Khairy kerana karier politiknya akan ditamatkan dengan cara yang memalukan.

Saranan buat Ibrahim dan Khairy

Kedua-dua mereka tidak perlu berbalah soal siapa lebih bijak berpolitik, atau siapa perjuang sebenar Melayu dalam negara.

Kedua-duanya harus memahami asas Melayu yang ditafsirkan dalam Perlembagaan, selain daripada bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu, mereka juga adalah mereka yang beragama Islam.

Agama Islam bagi orang Melayu adalah amat sinonim. Maknanya, orang Melayu hendaklah mereka yang mengamalkan Islam dalam ertikata yang sebenarnya.

Dalam soal kehidupan, jika hendak menjadi Melayu tulen, bukan dengan sentiasa memakai baju Melayu, bersampin dan bersongkok. Melayu mesti hidup cara Melayu, bukan hidup cara Barat.

Dalam soal berkahwin misalnya, hendaklah dibuat mengikut adat istiadat Melayu, bukan membuatnya di hotel besar macam 'orang putih'. Melayu hendaklah mendekati masjid, bukan mendekati kelab-kelab malam dengan botol-botol arak yang bersepah di atas meja.

Perjuangan Melayu Umno gagal kerana kepimpinannya tidak mengamalkan cara hidup Melayu dan Islam sebenarnya. Yang ditolong memang Melayu, tetapi kroni, adik beradik dan saudara mara.

Yang diberikan projek memang Melayu, tetapi segelintir kroni, buat mereka mengaut keuntungan peribadi.

Perjuangan Khairy melalui Umno sudah gagal. Perjuangan Ibrahim melalui Perkasa juga akan menemui kegagalan kerana Melayu yang berjuang bukan Melayu tulen, tetapi Melayu plastik.

Oleh itu lebih baik bagi Ibrahim dan Khairy untuk berhenti berpolitik seketika. Usah buang masa lagi. Pergilah berniaga atau berhijrah, pergi menambah ilmu dan mendalami ilmu Islam. Mudah-mudahan suatu hari nanti, kedua-duanya akan menjadi insan yang berguna buat negara.

No comments:

Post a Comment