Walaupun memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas atas tiket PAS, Datuk Ibrahim Ali tetap mengkritik pemimpin parti Islam itu dengan menyifatkan mereka sebagai “tin kosong” dan tidak melakukan apa-apa perubahan untuk rakyat di Kelantan.
“Saya tin kosong? Yang tin kosong pemimpin PAS bukan saya kerana saya telah lakukan banyak perkara untuk penduduk di Pasir Mas.
“Tetapi Menteri Besar (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) tidak buat apa-apa selama memerintah selama 21 tahun.“Sebagai contoh masalah air di negeri ini sehingga sekarang masih belum selesai,” katanya pada sidang media selepas program Perhimpunan Melayu Perkasa Kelantan di pekarangan Stesen Keretapi Pasir Mas di sini.
Ibrahim (gambar) yang juga Presiden Perkasa berkata, Kelantan akan menjadi lebih baik sekiranya beliau menjadi menteri besar.
“Kalau nak Kelantan maju, saya adalah orangnya kerana saya boleh membawa perubahan kepada negeri ini.
“PAS selama ini tidak buat apa-apa. Perubahan terbesar yang pemimpin mereka lakukan adalah ceramah perdana, itu sahaja.
“Jadi kalau nak Kelantan maju, ikut saya,” katanya di hadapan kira-kira 5,000 orang yang hadir di program itu.
Program tersebut disertai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Macam-macam perkara boleh dilakukan di sini (Kelantan), kita ada banyak produk pelancongan yang boleh dimajukan.
“Cuma apa yang menjadi masalah adalah ketiadaan pemimpin yang kreatif dan berinovasi,” kata Ibrahim.
Beliau memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya umum ke-12 setelah menewaskan calon Umno Ahmad Rasdi Mahmed dengan majoriti 8,991 undi.
Pada pilihan raya umum ke-11 2004, Ibrahim turut bertanding di kawasan tersebut sebagai calon Bebas namun tewas.
Ia dimenangi calon PAS Ismail Noh (17,526 undi) manakala calon Umno Datuk Abd Rahim Ab Rahman hanya memperoleh 16,275 undi dan Ibrahim pula 6,198 undi.
Ibrahim buat pertama kali memenangi kerusi Pasir Mas pada pilihan raya umum 1986 dengan memperoleh 55 peratus atau 15,711 undi dan mempertahankan kerusi itu empat tahun kemudian atas menggunakan tiket S46.
Beliau tewas tiga pilihan raya umum seterusnya dan menang kembali dua tahun lalu atas tiket PAS.
Semenjak menjadi Ahli Parlimen, Ibrahim melalui Perkasa banyak membangkitkan isu-isu berkaitan orang Melayu dan juga perpaduan Melayu yang dilihat semakin terhakis.
Ketika ditanya mengenai sama ada akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13, Ibrahim berkata, ia masih belum difikirkan lagi.
“Lambat lagi pilihan raya pun, jadi saya belum fikir sama ada akan bertanding atau tidak.
“Bagi saya soal bertanding ini adalah perkara kedua kerana apa yang penting sekarang adalah soal perpaduan orang Melayu.
“Sekiranya perjuangan masih belum selesai saya akan bertanding lagi,” katany
No comments:
Post a Comment