Isu BTN: 1 Malaysia lalui tugas berat, Najib perlu sokongan awam
Kenyataan menyentuh sensitiviti kaum yang terbaru melibatkan parti politik dan Biro Tata Negara (BTN), menurut penganalisis politik, menunjukkan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak berhadapan dengan tugas berat dalam menjayakan konsep 1 Malaysia.
Pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin berkata kenyataan yang dikeluarkan pegawai kanan BTN pada majlis anjuran Puteri Umno memperlihatkan ia bertentangan dengan konsep 1 Malaysia yang dibentuk Perdana Menteri.
“Ketika rakyat di negara ini cuba untuk mengelak daripada perkara seperti ini berlaku masih ada individu yang cuba untuk menjejaskan perpaduan yang ada sekarang.
“Malah ia telah merosakkan dan menjejaskan konsep 1 Malaysia yang dilaung-laungkan selama ini,” katanya.
Beliau berkata sebagai seorang pemimpin yang berkhidmat di bawah agensi kerajaan sepatutnya lebih peka akan sensitiviti kaum di negara ini.
“Beliau (Hamim) sepatutnya mendokong konsep 1 Malaysia dan mengamalkan perpaduan. Jangan sesekali keluarkan kenyataan yang berbaur perkauman.
“Jika perkara ini berterusan makan konsep 1 Malaysia ini hanya akan menjadi retorik sahaja,” katanya.
Nidzamuddin berkata Perdana Menteri harus peka dan memastikan kesemua agensi terutamanya pegawai-pegawai kanan memahami konsep 1 Malaysia agar ia selari dengan agenda kerajaan.
“Ini penting agar pemimpin dalam agensi-agensi ini tidak mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan matlamat negara.
“Saya yakin jika tidak ditangani pihak tertentu akan cuba mengambil kesempatan dalam isu ini,” katanya.
Pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian pula berkata dalam isu kenyataan pegawai kanan berkenaan menunjukkan pihak berwajib harus mengambil tindakan segera bagi mengatasi perkara tersebut.
“Sebagai seorang pegawai kanan BTN, beliau sepatutnya harus memastikan kepimpinan melalui teladan harus diterapkan agar perpaduan yang selama ini kita sebut dalam konsep 1 Malaysia dapat dicapai.
“Isu perkauman ini adalah tanggungjawab bersama, bukan tanggungjawab seoarang individu sahaja,” katanya.
Beliau berkata proses pemantauan terhadap agensi kerajaan termasuk BTN perlu dijalankan bagi memastikan tiada individu yang mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman.
“Berdasarkan konsep 1 Malaysia semua kaum perlu mengamalkan prinsip menerima, menghormati dan memahami antara satu sama lain atas dasar kejujuran.
“Bila semua rakyat negara ini mengamalkannya baru hasrat untuk memupuk perpaduan akan tercapai,” katanya.
Tambahnya, Perdana Menteri juga harus memastikan semua agensi memainkan peranan penting dalam isu ini agar tidak lagi terjadi perkara sedemikian.
“Perdana Menteri perlu mengambil tindakan segera agar kesemua agensi terbabit akan lebih prihatin dan tiada lagi pemimpin dalam agensi tersebut mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman.
“Ini kerana sebagai pemimpin mereka harus menjadi teladan dan setiap kenyataan yang dikeluarkan harus berhati-hati agar tidak disalah tafsir,” katanya.
Kedua-dua penganalisis ini mengulas perkembangan terbabit kenyataan Timbalan Pengarah BTN Wilayah Persekutuan Hamim Hussain dalam memberikan pandangan bahawa hak orang Melayu adalah untuk menerajui negara dan boleh bersatu untuk menghadapi apa jua ancaman sebelum pilihan raya umum akan datang didakwa menggunakan kata-kata yang dilihat menguris masyarakat Cina dan India.
Hamim juga mengakui orang Melayu tidak boleh memerintah negara ini tanpa bekerjasama dengan -masyarakat bukan Melayu memandangkan setiap rakyat hanya membawa satu undi.
“Sebab itu kita berkawan dengan MCA dan MIC,” katanya lagi.
“Si mata sepet yang tidak pernah pergi ke masjid atau ke surau juga hanya mempunyai satu undi.
“Si botol yang hanya tahu naik dan turun Batu Caves juga hanya mempunyai satu undi,” kata beliau merujuk kepada masyarakat Cina dan India negara ini.
“Jadi, Puteri Umno mesti berkawan dengan golongan muda bukan Melayu,” kata beliau.
Kenyataan yang dibuat Hamim dikecam pemimpin-pemimpin masyarakat Cina dan India.
Semalan Kabinet mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan untuk menyiasat berhubung isu terbaru ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata jemaah menteri melahirkan rasa kecewa berhubung kenyataan itu.
Selain itu satu Jawatankuasa Siasatan telah ditubuhkan oleh BTN untuk menyiasat insiden terbabru ini.
Ketua Pengarah BTN Datuk Shagul Hamid Abdullah meminta orang ramai memberi ruang dan masa kepada jawatankuasa untuk menjalankan siasatan.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tempoh yang akan diambil oleh jawatankuasa itu untuk menyelesaikan siasatannya.
No comments:
Post a Comment