Program Transformasi Negara, Gagasan 1Malaysia Tarik Minat Pelbagai Kaum Di Pulau Pinang

Perubahan yang sedang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperkenalkan program transformasi negara dan gagasan 1Malaysia menarik minat rakyat pelbagai kaum di Pulau Pinang untuk menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengundi Melayu, Cina dan India di negeri itu memberi kepercayaan dan keyakinan kepada kepimpinan Perdana Menteri.


"Berdasarkan fakta BN mempunyai keyakinan tinggi untuk menawan semula Pulau Pinang daripada kerajaan pakatan pembangkang yang dikuasai oleh DAP sekarang," katanya kepada pemberita semasa sambutan Aidilfitri Parlimen Bagan Datoh di sini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata jika diberi sedikit masa rakyat akan berubah fikiran dan pendirian untuk menyokong semula BN kerana mereka yakin kepimpinan Perdana Menteri.

Beliau turut menasihatkan parti komponen BN di Pulau Pinang terutama parti Gerakan supaya jangan cepat menyerah kalah sebaliknya komponen BN itu perlu bekerja keras untuk menawan semula Pulau Pinang.

Beliau berkata antara faktor sokongan rakyat kepada BN adalah disebabkan beberapa kelemahan dalam pentadbiran kerajaan pakatan pembangkang di Pulau Pinang yang dilihat gagal memberi pembangunan kepada rakyat di negeri itu.

Ahmad Zahid yakin dengan melihat kepada sokongan menggalakkan rakyat kepada BN sejak akhir-akhir ini, ia memberi peluang kepada BN untuk kembali menerajui pentadbiran di Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment