Umno: Pemuda BN jangan campur kemelut PP

Pemuda Umno hari ini meminta semua anggota pemuda parti komponen BN supaya tidak melibatkan diri dalam "konflik" yang berlaku antara parti komponen BN di Pulau Pinang sebaliknya terus mempergiatkan usaha menambah keanggotaan parti masing-masing termasuk mendaftarkan mereka sebagai pengundi baru.

Anggota Exco Pemuda Umno, Hisyamuddin Yahya berkata sebarang masalah yang timbul seperti biasa akan dapat diselesaikan secara bijak dalam semangat setiakawan BN.


"Kita mahu kemelut tersebut dapat diselesaikan segera bagi memastikan semua perancangan yang dibuat untuk merampas semula Pulau Pinang dapat dicapai...bagi sayap pemuda, tumpukan usaha menambah ahli dan pendaftaran pemilih baru kerana mereka inilah nanti yang akan membantu kita merampas semula Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Raya Pemuda Umno Bahagian Parit di Parit hari ini.

Kenyataan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan bahawa DAP boleh mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri untuk sepenggal lagi dengan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dari komponen BN.

Antaranya ialah reaksi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta Gerakan menyerahkan kerusi-kerusi pilihan raya yang ditandingi sebelum ini kepada parti komponen BN lain jika mereka merasakan tidak yakin untuk menang.

Hisyamudin yang juga Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno berkata parti komponen BN sepatutnya berusaha untuk menyaingi DAP yang terus mencatat bilangan pemilih baru tertinggi di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang.

Sehingga Jun lepas, daripada 169,850 pemilih baru yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DAP mencatat pendaftaran pemilih paling tinggi iaitu 55,321 orang diikuti oleh Umno dengan 54,872 pemilih manakala PAS dan PKR masing-masing mendaftar 38,618 dan 13,098 pemilih.

"Justeru itu, semua jentera Pemuda BN perlu digerakkan untuk mencari dan mendaftarkan seramai mungkin ahli dan pengundi baru sebagai persiapan semasa PRU Ke-13 nanti," tambahnya.

No comments:

Post a Comment