Usaha untuk mendaftarkan anggota Umno sebagai pemilih berdaftar pada pilihan raya umum ke-13 akan dilakukan secara berterusan, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Beliau berkata bagaimana pun, Umno tidak perlu tergopoh-gapah dalam setiap strateginya termasuk mendaftarkan anggota yang baru sebagai pengundi.
Ini kerana, katanya, mereka yang baru menyertai Umno dan baru mencapai umur 21 tahun perlu direkodkan secara khusus bagi membolehkan parti memberikan penjelasan kepada mereka tentang kepentingan mendaftar sebagai pengundi.
"Kita jangan gopoh dalam soal ini tetapi menerima ini sebagai pikulan tanggungjawab yang harus kita laksanakan secara terus-menerus," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Adilfitri anjuran Astro di sini, Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiuasaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor 8 Sept lepas bahawa kira-kira 20 peratus daripada tujuh juta anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada 13 buah parti masih belum didaftar sebagai pemilih.
Sehubungan itu, semua parti komponen diarahkan untuk mempertingkatkan usaha bagi memastikan anggota parti mereka didaftar sebagai pemilih sebelum pilihan raya umum kelak.
Rais, yang juga Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, berkata bahawa kempen daftar pengundi yang dilakukan kini kurang menarik minat golongan itu untuk berdaftar sebagai pemilih.
"Generasi muda yang masuk dalam lingkungan ini tidak begitu tertarik dengan mesej "daftarlah.. daftarlah". Mereka lebih tertarik dengan penerangan yang diberi seperti apa ertinya mendaftar (sebagai pengundi), bagaimana dengan masa depan negara kita dan sebagainya," katanya.
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, katanya akan turut sama memainkan peranan berterusan menyampaikan mesej kepentingan untuk berdaftar sebagai pengundi kepada masyarakat yang sekaligus dilihat mampu membangkitkan kesedaran di kalangan mereka.
"Tentang mesej supaya mendaftar, kementerian ini boleh menyisipkan terus- menerus supaya masyarakat sedar (bahawa) anak-anak yang 21 tahun (perlu) dibimbing supaya mereka mendaftar sebagai pemilih," katanya.
Terdahulu, pada majlis itu, Rais dan isteri Datin Seri Masnah Rais, turut menyampaikan tiga buah lagu Minang yang bertajuk "Ayam Den Lapeh" yang pernah dipopularkan oleh penyanyi Minang Elly Kasim, "Ubatkan Saya" dan "Fatwa Pujangga".
Turut hadir Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum, Pengerusi Astro Datuk Badri Masri, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Wira Kamarudin Siaraf dan Pengurus Besar Bernama Hasnul Hassan.
Pada majlis yang berlangsung bermula dari pukul 12 tengah hari hingga 4 petang itu, hadirin yang seramai 2,000 orang turut dihiburkan dengan nyanyian artis terkenal Ramli Sarip, Jay-Jay, Misha Omar, Aznil Nawawi dan Aishah.
No comments:
Post a Comment