Wang ihsan: Pakatan gesa SKMM siasat tohmahan blog ‘pisau’
Laporan diserahkan kepada Pengarah SKMM Wilayah Utara, Mohd Hussin Ali.
Pada sidang media selepas aduan dibuat, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Ng Wei Aik berkata, pihaknya membuat aduan ekoran dakwaan tidak berasas dua artikel yang telah diterbitkan blog tersebut, masing-masing pada 17 September lalu “Gempar! Wang Ehsan 100, Warga Mas Makan Duit Judi” dan satu lagi dua hari kemudian di bawah tajuk “Kerajaan Tak Jawap, Boleh Percayakah Guan Eng?”.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar berkata, dakwaan yang dilemparkan terhadap kerajaan negeri oleh blog berkenaan merupakan satu lagi fitnah dan tohmahan yang sengaja dilemparkan supaya terpedaya dengan mainan politik Umno dan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang.
“Sebenarnya wang tersebut adalah hasil dari penjimatan kerajaan negeri dan juga bentuk pemerintahan yang diamalkan oleh kerajaan negeri tanpa pembaziran dan penyelewengan.
“Peruntukkan RM20 juta kepada warga emas oleh kerajaan negeri hanya RM10.7 juta saja yang telah digunakan.
“Kita masih mempunyai lebihan daripada wang yang diperuntukkan.
“Manakala jumlah warga emas yang telah mendaftar sehingga ke hari ini bagi mendapatkan wang ihsan tersebut berjumlah 107,720 orang,” katanya lagi.
Tambahnya, laporan yang dibuat kepada SKMM ini adalah sebagai tindakan menerima cabaran yang telah dilemparkan oleh blog upahan Umno supaya laporan dibuat agar tindakan segera boleh diambil oleh pihak berkuasa.
“SKMM mempunyai kuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap dakwaan blog-blog tersebut.
“Oleh kerana itu kita ingin mempertahankan kebenaran yang telah kita laksanakan sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab.
“Pemuda PR juga amat berharap SKMM akan mengambil tindakan segera terhadap aduan yang telah kita laporkan ini supaya blog-blog yang sentiasa memberi imej buruk dan berupakan fitnah ini diambil tindakan segera,” tegasnya lagi.
Ng diiringi oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Amir Md Ghazali dan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Yusni Mat Piah.
Amir pula berkata, beliau percaya Umno menjadi dalang dalam usaha mereka bagi memburuk-burukkan kerajaan negeri.
“Usaha ini adalah sebagai salah satu cara mereka memberi imej buruk kepada kerajaan negeri yang turut diterajui bersama oleh PKR dan PAS.
“Apabila masyarakat marah maka mereka mengharapkan simpati akan beralih kepada mereka.
“Namun begitu, saya yakin rakyat tidak mudah untuk diperdaya dengan tohmahan dan dakwaan yang dilakukan oleh Umno dan BN dengan menggunakan blogger upahan ini,” katanya.
Yusni pula berkata, dakwaan yang dilemparkan adalah berupakan fitnah serius yang tidak berlandaskan kepada fakta yang sebenar.
“Bagi Pemuda PAS judi adalah sinonim dengan Umno dan BN.
“Oleh kerana itu dakwaan mereka dengan menggunakan blogger upahan adalah sebagai salah satu cara terdesak yang mereka miliki bagi mendapat kembali sokongan yang hilang.
“Isu yang cuba mereka kaitkan ini adalah sebahagian dari cara mengalih pandangan masyarakat Melayu khususnya, yang sudah tidak yakin dengan kepimpinan mereka menjelangnya pilihan raya umum yang akan datang,” katanya lagi.
Sabtu lalu, Pergerakan Pemuda Umno meminta kerajaan negeri Pulau Pinang memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog kononnya pemberian wang ehsan iaitu RM100 setahun kepada warga emas dan RM1,000 kepada waris keluarga warga emas meninggal dunia menerusi program penghargaan warga emas adalah menggunakan wang daripada sumber judi.
Ketua Penerangannya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng perlu segera memberi penjelasan kerana dakwaan dalam blog “pisau.net” itu telah menimbulkan kegelisahan dan rasa kurang senang segelintir penerima wang ehsan itu, terutama yang beragama Islam.
No comments:
Post a Comment