Bekas tentera diperalat sertai himpunan bersama PM

Anggota-anggota Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dikatakan diperalat bagi memberi gambaran kononnya mereka bersama kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Ini dibuktikan apabila PBTM menganjurkan perhimpunan 15,000 bekas anggota tentera bersama Perdana Menteri di Stadium Putra Bukit Jalil petang semalam.

Perhimpunan itu difahamkan diadakan bertujuan menzahirkan penghargaan terhadap Najib yang pernah menjadi Menteri Pertahanan selama 14 tahun.Seorang ahli PBTM yang enggan dikenali berkata, persatuan itu yang diterajui Datuk Mohamad Ghani cuba menzahirkan bekas tentera menikmati pelbagai kebajikan semasa Kementerian Pertahanan di bawah Najib.

”Saya juga menerima surat jemputan hadir pada perhimpunan di Kuala Lumpur hari ini.

”Turut dijemput isteri setiap bekas tentera dan anak-anak yang berusia 21 tahun ke atas,” katanya di sini kelmarin.  

Akhbar melaporkan pelepasan rombongan seramai 1,500 anggota PBTM Cawangan Kelantan bagi menyertai perhimpunan bersama perdana menteri diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, kelmarin.

Difahamkan anggota tentera dan keluarga mereka menaiki 32 bas yang disediakan khas secara percuma.

Rombongan berkenaan dilaporkan diketuai Mejar (B) Mohd Ali Nawang.

Anggota persatuan terbabit mendakwa setiap peserta dan keluarga yang menyertai rombongan berkenaan diberi duit poket sebanyak RM100.

Sedangkan menurutnya, perhimpunan tersebut tidak lebih sebagai strategi politik pemimpin yang menerajui PBTM sekarang bagi mengekalkan kedudukan dan kepentingan mereka.

Malah katanya, ia juga kemungkinan besar ada kaitan menjelang kempen pilihan raya kecil Galas.

”Sedangkan hakikat sebenar sepanjang Najib menerajui Kementerian Pertahanan tidak banyak kemudahan yang dinikmati anggota tentera.

”Cuba bayangkan sekarang pencen bekas tentera berada di bawah garis kemiskinan. Bagi mereka pencen dengan pangkat di bawah sarjan hanya mendapat RM720 sebulan.

”Jumlah pencen sebanyak itu menyebabkan ramai bekas tentera berada di bawah garis kemiskinan tegar, sedangkan ketika berkhidmat tenaga mereka dikerah sebegitu rupa,” ujarnya.

Seorang lagi bekas tentera tanpa berselindung mendakwa ramai bekas tentera tidak suka kepada Najib ketika menerajui Kementerian Pertahanan.

Menurutnya juga, anggota tentera banyak menikmati kebajikan ketika Tan Sri Tengku Ahmad Riathauddeen menjadi Menteri Pertahanan.

Katanya, ketika itu pasukan tentera lebih dihormati kerana tidak diperalatkan ketika kempen pilihan raya seperti berlaku sekarang.

”Ini dapat dibuktikan pada kempen pilihan raya kecil Dun Manek Urai tahun lepas pasukan tentera dikerah membina jambatan sementara di sebuah kampung di Dun berkenaan,” katanya.  

No comments:

Post a Comment