PAS berpandangan hajat Datin Seri Rosmah Mansor hendak ke Centrum voor Integrale Gezinsgorg (CIG) di Brussels, Belgium pada 5 Oktober (hari ini) bagi mendapatkan pelbagai input untuk menangani permasalahan buang bayi adalah tindakan yang tidak munasabah, seolah-olah kerajaan sudah hilang punca dan kontang idea.
“Fenomena ini sepatutnya dirujuk kepada mereka yang arif di negara ini sahaja bukannya di negara yang, iklim dan sosial budayanya berbeza,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Tambahnya, tindakan yang dibuat oleh Datin Seri Rosmah untuk merujuk negara Brussels bagi mengatasi masalah anak luar nikah, seolah-olah anak yatim yang kaya dengan harta peninggalan bapanya, tetapi masih lagi meminta sedekah kepada orang ramai.
“Begitulah juga tindakan Datin Rosmah ibarat memohon sedekah dan ehsan daripada orang lain, sedangkan kita mempunyai rujukan iaitu Islam,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Soalnya, kenapa begitu takut hendak merujuk kepada pendekatan Islam yang lebih menyeluruh dan telah terbukti berjaya.
Katanya, kaedah yang perlu digunakan mestilah merujuk kepada apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. iaitu pendekatan mencegah dan mendidik.
Beliau menjelaskan, Baginda s.a.w. telah berjaya membetulkan masyarakat jahiliah yang rosak dalam masa 23 tahun yang menjadi kekaguman ahli kaji masyarakat barat yang berpandangan kerosakan masyarakat jahiliah hanya dapat dirawat dalam masa 100 tahun lebih.
No comments:
Post a Comment