Dilabel 'busuk' - PERKASA tetap sokong Mustaffa

Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Arman Azha Abu Hanifah menjelaskan sokongan yang diberikan mereka kepada Mustaffa Kamil Ayub - calon timbalan presiden PKR - bukanlah untuk memecahkan perpaduan dalam parti itu.

"Sokongan Wira PERKASA bukan kerana mahukan perpecahan sesama mereka (pemimpin PKR) tetapi setelah diambil kira antara semua calon, Mustafa Kamil Ayub dilihat calon yang ada jati diri Islam dan bangsa Melayu," kata Arman Azha (kanan).

Mustaffa Kamil pagi ini mempersoalkan 'sokongan' PERKASA terhadapnya yang dicurigai sebagai percubaan melaga-lagakan pemimpin dalam PKR. Menurutnya, sekiranya Arman Azha mahu melihat beliau bersengketa dengan Azmin Ali - pesaing utamanya untuk kerusi nombor dua dalam PKR - perkara itu tidak akan berlaku kerana pemimpin PKR matang menangani "politik busuk" PERKASA-Umno.

Arman Azha memberitahu Malaysiakini petang ini, PKR memerlukan pemimpin yang ada latar belakang seperti Mustaffa dalam parti itu.

"Tetapi soalannya kini kenapa (beliau) takut pada suara PERKASA yang menyeru perwakilan PKR menyokong beliau?" soal Arman Azha kembali.

Secara sinis, beliau juga bertanya sama ada sesiapa yang mahu memegang jawatan dalam PKR takut membawa agenda kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu demi kepentingan tanah air.

"Adakah pemimpin-pemimpin PKR sanggup gadaikan prinsip agama, bangsa dan tanah air semata-mata untuk dapat kuasa dan jawatan?

"Apa prinsip PKR jika bukan kerana agama bangsa dan tanah air?" tambah Arman Azha.

No comments:

Post a Comment