PAS khususnya Pakatan Rakyat (PR) tetap akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas tidak kira sama ada Barisan Nasional (BN) akan menurunkan Tengku Razaleigh Hamzah, yang kini menjadi sebutan dalam arena Umno sekarang.
Dua naib presiden PAS menegaskan, parti komponen PR sudah mengambil pendirian untuk mempertahankan kerusi tersebut dan yakin akan menang dengan majoriti lebih besar.
Persiapan menghadapi pilihan raya kecil kerusi ke-12 ini akan menjadi agenda utama mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat PAS di ibu negara esok.
“Bagi PAS, kita sedia hadapi sesiapa saja calon (BN),” kata Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media selepas majlis perasmian Ijtimak Dewan Pemuda PAS di Rusila, Terengganu malam tadi, yang dirasmikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menerusi mesej Twitter semalam, Tengku Razaleigh berkata, beliau masih belum membuat sebarang pendirian berhubung keputusan Umno yang melantik beliau sebagai pengarah jentera pilihan raya kecil kerusi DUN Galas.
Ketua Umno Gua Musang itu berkata, beliau hanya akan menjelaskan isu tersebut sebaik sahaja pulang ke tanah air minggu depan.
Tengku Razaleigh dijadual kembali dari London 9 Oktober ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh pilihan raya kecil pada mesyuarat khas pada Rabu depan.
Tengku Razaleigh memberikan respons ini sejurus selepas Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan bahawa beliau adalah calon terbaik untuk merampas kerusi itu daripada PAS.
Beliau yang mesra dikenali sebagai Ku Li memenangi kerusi Gua Musang sejak 1969 termasuk pada pilihan raya umum 1990 dan 1995, yang ditandingi atas tiket Parti Melayu Semangat 46.
Dalam pada itu, Umno Bahagian Gua Musang mahu Tengku Razaleigh dipilih sebagai calon BN untuk bertanding pada pilihan raya kecil Galas.
Timbalan ketuanya, Mat Yusoff Abdul Ghani berkata Tengku Razaleigh adalah pilihan terbaik untuk merampas semula kerusi DUN Galas yang sebelum ini dimenangi PAS.
Dalam reaksinya, Tuan Ibrahim berkata, mengambil kira kedudukan Tengku Razaleigh sebagai pemimpin veteran apa jua keputusan menurunkan beliau di DUN Galas bukan “tindakan betul.”
“Cuma sebagai seorang veteran parti dan meletakkan Ku Li sebagai calon pilihan raya kecil, saya fikir itu satu tindakan... dari sudut politiklah, saya fikir bukan satu tindakan betul walaupun kami bersiap hadapi walaupun (Datuk Seri) Najib turun, kita hadapi sesiapa sahaja diletakkan sebagai calon,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang ini.
Tuan Ibrahim PAS melihat pilihan raya kecil ini DUN Galas ini sebagai satu cabaran memandangkan calon mereka, Allahyarham Che Hashim Sulaima yang meninggal dunia Isnin lalu, merampas kerusi itu dengan “majoriti kecil” pada 8 Mac 2008.
“Tapi dengan pengalaman pemerintahan 20 tahun dengan beberapa negeri diterajui Pakatan Rakyat, yang kita telah tunjukkan, buktikan kepada rakyat, dan kalau kita lihat di bandar Gua Musang sendiri, yang pembangunan pesat, kami yakin pengundi di sana akan (terus) memberikan mandat kepada PAS,” katanya.
Malah menurut Tuan Ibrahim, Tengku Razaleigh pernah menjadi pengarah jentera ketika pilihan raya umum lalu dan PAS pula pernah menghadapinya untuk merampas kerusi tersebut.
“Kami berjaya menghadapi dia, dan saya yakin... kita yakin akan dapat majoriti lebih besar kali ini, insya-Allah,” kata Tuan Ibrahim.
Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim dari PAS akibat barah usus, Isnin lalu. Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.
DUN Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya lalu Che Hashim berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.
Dalam pada itu, seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar juga melahirkan pandangan yang sama dengan berkata, parti Islam itu tetap akan bertanding tidak kira siapa calon yang akan diturunkan oleh Umno-BN kelak.
“Ya, ya PAS akan tetap mempertahankan kerusi Galas,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
“... kita lawan parti, PAS lawan Umno, Pakatan lawan BN, jadi tidak kisah sama ada Tengku Razaleigh diletakkan di Galas,” katanya lagi.
Malah menurut Mahfuz, apa yang diperkatakan sekarang cuma cadangan daripada beberapa pihak dalam Umno dan pandangan Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri.
“Setakat ini belum ada keputusan siapa calon mereka, kita hanya akan tahu pada hari penamaan calon ataupun apabila bakal calon diisytiharkan.
“Umno, BN boleh menurunkan siapa sahaja calon mereka, tetapi kewajipan kami untuk mempertahankan kerusi Galas,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Sambil menegaskan PAS juga tidak kisah dan terpulang kepada Umno jika mahu melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah jentera pilihan raya, Mahfuz berkata, beliau juga yakin Ahli Parlimen Gua Musang tidak sanggup dirinya “diperalatkan oleh Umno.”
“Berdasarkan apa yang pernah berlaku termasuk pemimpin-pemimpin Umno pernah kecam Tengku Razaleigh termasuk oleh Tan Sri Muhyiddin sendiri, saya tidak nampak Ku Li berkemungkinan akan menerima tawaran untuk menjadi calon... saya yakin dia tak sanggup untuk menjadi calon,” katanya lagi.
Tengku Razaleigh yang menyatakan sokongan terhadap usaha Kelantan menuntut royalti minyak berhadapan dengan kecaman pemimpin-pemimpin, termasuk ada yang menggesa agar tindakan disiplin dikenakan ke atas beliau.
No comments:
Post a Comment