Pengimbas jutaan ringgit tersadai, kurang diguna

Jutaan ringgit dana rakyat dibazirkan oleh agensi kerajaan kerana sejumlah mesin pengimbas yang dibeli tidak digunakan sepenuhnya, demikian didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009 yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Ini termasuk empat mesin pengimbas jenis Mobile Rapidscan MAX 3345 dan sebuah jenis Portal THSCAN HS 3000 yang dimiliki oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan ditempatkan di pejabat jabatan berkenaan di seluruh negara yang menelan belanja sebanyak RM 31.96 juta.

Semua mesin ini yang dibeli pada 2003 itu didapati langsung tidak digunakan atau tidak digunakan secara optimum oleh agensi kerajaan berkenaan sejak beberapa tahun lalu kerana kekurangan pegawai yang berpengalaman mengendalikannya atau disebabkan masalah teknikal.
Tiada justifikasi, beli tanpa kelulusan

Paling mengemparkan ialah pada 14 Januari tahun ini, Jabatan Kastam diberi kelulusan untuk melanjutkan tempoh kontrak perkhidmatan penyenggaraan secara rundingan terus selama dua tahun untuk pengimbas jenis Mobile Rapidscan Max 3345 di Kompleks Kargo, Tanjung Puteri sedangkan ia tidak beroperasi sejak 2006 dan dalam proses pelupusan.

Anggaran kos kontrak penyenggaraan bagi tujuh mesin pengimbas jenis Mobile Rapidscan Max 3345 di seluruh negara itu berjumlah RM4.55 million.

"Pihak Auditor tidak dapat menentukan justifikasi pelanjutan tempoh kontrak berkenaan memandangkan Jabatan Kastam sedang menunggu keputusan pelupusan / dalam proses menjalankan kajian kesesuaian penggunaan semua mesin pengimbas tersebut," laporan audit itu dipetik.


Pihak Auditor juga mendapati sejumlah RM1.17 juta dibayar untuk penyenggaraan mesin pengimbas yang tidak beroperasi.

Berhubung pengimbas Soter RS yang bernilai RM1.48 juta yang ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA yang dibeli pada Ogos 2008 untuk menangani penyeludupan dadah, Laporan Ketua Audit Negara mendapati pembelian dibuat tanpa mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

“(Pembelian tanpa kelulusan) dibuat berdasarkan keperluan mendesak bagi mengimbas kemasukan barangan bahaya seperti dadah yang berada pada tahap membimbangkan.”

Namun pengimbas itu tidak dapat digunakan sehingga Januari 2010 kerana pegawai Jabatan Kastam tidak mempunyai kepakaran bagi mengendalikannya.

Laporan itu juga mendedahkan sehingga 4 Februari tahun ini, pengimbas itu telah hanya digunakan untuk lapan kali.

No comments:

Post a Comment