Kelantan bentang ‘Belanjawan Penyayang'

Kerajaan Kelantan membentang Belanjawan Penyayang 2011 dengan memberi keutamaan bagi menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.
Langkah yang diambil kerajaan mendahulukan apa yang patut didahulukan dan mengimbangi antara kesempitan pendapatan dan maslahah orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, tiga paksi utama bajet tersebut iaitu penjanaan ekonomi untuk rakyat, pembinaan insan berteras Islam dan pembelaan golongan daif dan miskin.

Selain itu pembelaan orang kurang upaya, anak yatim, armalah, warga emas dan wanita.
“Berasaskan tema tersebut Bajet 2011 akan mempastikan hasil dan tunggakan hasil kerajaan negeri dapat dipungut untuk pembangunan negeri bagi kesejahteraan rakyat.
“Tumpuan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan taraf hidup rakyat terutamanya bagi mempastikan matlamat membasmikan kemiskinan tegar menjadi kenyataan,” katanya ketika membentang bajet Kelantan 2011 pada persidangan Dun hari ini.
Beliau mewakili Menteri Besar membentangkan bajet tersebut. Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V serta rombongan akan bertolak menunaikan ibadat haji ke Makkah esok.
Husam berkata, dasar perbelanjaan berhemah diteruskan supaya setiap perbelanjaan dibuat mengikut keutamaan bagi mempastikan kesejahteraan hidup rakyat.
Bajet 2011 dijangka mengalami defisit sejumlah RM53.24 juta. Perolehan hasil dianggarkan sebanyak RM410.89 juta, manakala perbelanjaan mengurus RM464.13 juta.
Husam berkata, kerajaan negeri akan tetap menunaikan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan yang penyayang terhadap semua rakyat.
Bajet Kelantan buat julung kalinya menyediakan peruntukan khas bagi menganjurkan program Gerbang Azziwaaj untuk membantu rakyat miskin berkahwin.
Sejumlah RM1.5 juta diperuntuk bagi tujuan itu dan ia diharap dapat mengurangkan gejala sosial atau kes khalwat di kalangan penduduk miskin.
Selain itu kerajaan negeri juga mewujudkan skim bantuan beras kepada penduduk miskin di 45 kawasan Dewan Undangan Negeri mulai tahun depan.
Sebanyak RM1.5 juta diperuntukan bagi mengendalikan skim Al-It’am dengan memberi bantuan beras secara bulanan kepada rakyat termiskin.
Skim tersebut mengambil contoh program bantuan besar percuma yang dilaksanakan di Dun Wakaf Bharu sejak enam bulan lalu.
Seramai 225 penduduk miskin di Dun Wakaf Bharu menerima bantuan beras percuma sebanyak 10 kg setiap seorang secara bulanan yang disumbangkan wakil rakyat Dun terbabit, Che Abdullah Mat Nawi.

No comments:

Post a Comment