BUKTI RAJA MELAYU DIHINA TUN.MAHATHIR ( PART 3 )


Speech By : DATO’ SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Title :SEMASA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1993
Location : DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR
Date : 18-01-1993


21. Pada tahun 1983, tindakan telah diambil untuk meminda Perlembagaan supaya sekurang-kurangnya kuasa Yang di-Pertuan Agong menolak rang undang-undang yang dilulus oleh Parlimen dibatalkan. Usaha ini berjaya tetapi tidak sepenuhnya. Yang diluluskan akhirnya ialah kuasa Yang di-Pertuan Agong menolak rang undang-undang Parlimen dikurangkan sedikit dengan mengadakan peruntukan baru bahawa Baginda boleh merujuk balik kepada Parlimen jika Baginda enggan menandatangani rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen. Jika Parlimen meluluskannya sekali lagi, sama ada dengan pindaan atau tidak, maka rang undang-undang itu akan menjadi undang-undang yang sah dalam jangkamasa 30 hari (Perkara 66(4) Perlembagaan) walaupun tidak ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

22. Tetapi kelulusan secara ini terhad kepada perkara- perkara yang tidak menyentuh hak-hak dan keistimewaan- keistimewaan Raja-Raja. Untuk meminda peruntukan Perlembagaan yang menyentuh Raja-Raja, Majlis Raja-Raja perlu memberi persetujuan.
23. Di peringkat negeri, tidak ada pindaan dibuat kepada Perlembagaan negeri. Dengan itu tidak ada undang-undang yang boleh diluluskan tanpa ditandatangani oleh Raja. Ini bermakna kuasa Raja-Raja di negeri-negeri mengatasi kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri yang mewakili rakyat.
24. Peruntukan-peruntukan ini tidak menjadi masalah jika tidak ada tentangan pendapat di antara Raja-Raja dengan Dewan-Dewan Undangan, atau tidak ada perbuatan yang salah yang dilakukan oleh Raja-Raja, atau tidak ada adat Melayu yang tidak suka memburukkan hubungan dengan Raja-Raja.Malangnya oleh kerana Menteri-Menteri Besar dan Perdana Menteri adalah orang Melayu yang enggan bermasam muka dengan Raja, maka apabila Raja membuat sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan, tidak ada teguran yang berkesan yang dibuat. Jika ada pun, keengganan Raja mengambil berat akan teguran penasihat-penasihat rasmi ini tidak mendatangkan apa-apa tindakan kepada Raja.
25. Justeru itu dalam sejarah Malaysia yang merdeka, tindakan Raja-Raja dan pihak-pihak yang berlindung di belakang Raja yang melampaui hak dan keistimewaan Raja, semakin lama semakin serius. Kemungkinannya ialah ia akan menjadi lebih serius lagi di masa-masa hadapan. Jika tidak ada pindaan undang-undang, seperti yang dicadangkan ini, tidak syak lagi bahawa perkara-perkara yang lebih buruk akan berlaku yang mana ini akan menyebabkan institusi Raja dibenci oleh rakyat. Bukanlah mustahil jika satu hari kelak tuntutan dibuat untuk menghapuskan Sistem Beraja sama sekali walau apa pun yang diperuntukan oleh Perlembagaan.
26. Justeru itu pindaan yang dicadangkan ini bertujuan mengelak atau menghalang daripada meningkatnya perasaan benci kepada Raja yang boleh membawa kepada tuntutan untuk menghapuskan Sistem Beraja. Pindaan ini adalah untuk menyelamatkan Raja-Raja sendiri dan sistem Raja Berperlembagaan. Untuk memperkuatkan lagi peruntukan Perlembagaan bagi mengekalkan Sistem Beraja, peruntukan dibuat supaya sebarang syor atau cadangan untuk menghapuskan Sistem Beraja akan ditakrif sebagai hasutan dan tertakluk kepada Undang-Undang Hasutan.
27. Pindaan ini tidak menyentuh keistimewaan-keistimewaan yang diberi kepada Raja-Raja. Raja-Raja akan terus bertaraf Raja, dan kemudahan-kemudahan yang disediakan kepada Raja dan keluarga di-Raja mengikut Perlembagaan dan undang-undang akan diteruskan.
28. Untuk menentukan sistem Raja Berperlembagaan benar- benar berkesan, maka tiga pindaan perlu dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan. Yang pertama ialah peruntukan Perlembagaan berkenaan dengan kekebalan Raja-Raja daripada sebarang tindakan undang-undang seperti dalam Fasal (1) Perkara 32 yang mana selepas perkataan “mahkamah” ditambah perkataan “tetapi hanya berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan olehnya dalam perjalanan atau yang berupa sebagai perjalanan fungsi- fungsinya di bawah mana-mana undang-undang bertulis”. Ini bermakna tidak ada tindakan mahkamah yang boleh diambil terhadap Raja dalam menjalankan tugas rasminya.
29. Kekebalan Raja atau Sovereign Immunity adalah suatu prinsip feudal — satu konsep kononnya `The King can do no wrong`. Mengikut Dr. Hogg dalam bukunya `Liability of the Crown` konsep ini berasas kepada alasan bahawa seorang Raja tidak boleh didakwa dalam mahkamahnya sendiri. Alasan ini sudah lama dipersoal dan ditolak oleh pakar-pakar undang- undang di Eropah seperti Adams yang merasakan tidak ada keraguan bahawa feudal lords diletak di bawah mahkamah mereka sendiri — `No doubt at all of the subjection of feudal lords to their own courts`.
30. Di bawah Government of India Act 1935 Governor General atau Governor adalah kebal hanya semasa melakukan tugas rasmi.