Matinya Ketuanan Melayu????

Mungkin satu analisa sempit yang tidak merujuk kepada fakta bagi mengukuhkan hujah. Mungkin agar sukar mengumpul data-data yang akan merujuk kepada matinya Ketuanan Melayu, bila dan mengapa? Ketuanan Melayu, yang menjadi teras maruah Melayu mungkin hanya ungkapan penafian kepada realiti yang ada. Realiti yang ada adalah KETUANAN MELAYU sebenarnya tidak lagi wujud dan mungkin lenyap semenjak kehadiran penjajah yang menjajah Tanah Melayu. Ketuanan yang hanya tinggal ungkapan ini cuba di sorakkan sebagai usaha penafian kematian KETUANAN yang ada.

Melayu mungkin telah sekian lama berada dalam keadaan penafian. Menafikan bahawa kita sudah tercorot dalam semua ruangan kehidupan. Kita nafikan kerana kita tidak mahu menerima hakikat yang sebenarnya. Kita terus berharap – KETUANAN Melayu itu ada dan masih wujud sedangkan hakikat sebenarnya berbeza.

Untuk menulis dan menyuarakan isu ini – usaha perlu dibuat agar ia tidak terbabas menjadi satu surat hasutan. Ini juga menjadikan suara-suara kritikal mengenai KETUANAN Melayu terhad dan terhalang lantas kita tidak tahu mengenai kedudukan sebenar Melayu. Justeru itu kita masih berkhayal mengenai wujudnya Ketuanan Melayu yang masih dipegang oleh bangsa kita.

Ketuanan Melayu ini sudah lama mati. Ketuanan yang berprinsipkan kepada hak utama di tanah air ini terhakis bukan sahaja dengan penjajahan yang dilakukan atas negara kita ini tetapi dengan pengamalan sistem pemerintahan demokrasi yang berasaskan kekuasaan politik. Kekuasaan politik yang menjadi terus kepada kekuatan inilah yang mampu menjadi senjata yang membunuh ketuanan Melayu yang sering dilaungkan sebelum ini. Hak Melayu yang di peruntukkan dalam perlembagaan tidak pincang. Ia cukup untuk menunjukkan bahawa elemen ketuanan itu ada. Peruntukkan yang memberi ruangan tetap kepada ketuanan itu wujud dalam konteks yang amat daif sekali. Apa perlunya ketuanan pada nama, kuat pada kulit dan tinggi pada khayalan sedangkan hakikatnya berbeza. Namun kenapa ketuanan yang diperuntukkan yang bukan merujuk kepada tuan dan hamba tetapi merujuk kepada hak keistimewaan seakan tidak menggambarkan kekuatan dan prioriti bangsa Melayu itu sendiri. Di mana silapnya? Adakah perlembagaan yang memperuntukkan hak Melayu itu cukup untuk melindungi Melayu tetapi kenapa realitinya amat berbeza. Adakah cabaran kaum lain dan kehadiran mereka menjadi punca terbunuhnya ketuanan Melayu? Adakah pengamalan demokrasi yang ada hari ini menjadi sebab utama terkorbannya Ketuanan Melayu? Adakah alasan di atas bersesuaian dengan hakikat matinya Ketuanan Melayu dan ia dapat diterima dalam era moden hari ini? Mungkin jawapannya ada pada kenyataan Chandra Muzaffar yang pernah saya baca :

Kenyataan Chandra Muzaffar Tahun 1974, kata beliau :

Masalah Etnik akan terus wujud. Kesilapan bukan terletak kepada Perlembagaan, atau kedudukan bahasa, agama dan komuniti atau dasar untuk menolong orang – orang Melayu. Realiti adalah berkecuali. Apa yang lebih asas ialah cara perbezaan etnik diatasi, cara bagaimana kepentingan politik dan ekonomi disesuaikan dan cara mana keharmonian tercapai. Ini akan menentukan keadaan perhubungan etnik. Oleh sebab inilah yang memimpin merupakan faktor penting.

Maka, Chandra Muzaffar mengatakan faktor kepimpinan merupakan masalah utama yang sebenarnya menggugat kedudukan hak Melayu serta matinya apa yang dikatakan ketuanan Melayu. Kesilapan kepimpinan adalah alasan utama dan kesalahan ini menjangkau perimbangan antara politik dan ekonomi yang penyesuaian dan perimbangannya akan menjadi faktor utama kepada kesejahteraan perhubungan etnik. Adakah ini tidak juga membunuh Ketuanan Melayu? Adakah perimbangan politik dan ekonomi ini tidak melenyapkan makna Ketuanan Melayu itu sendiri?

Asasnya jelas, kehadiran penjajah dan kehadiran demokrasi serta sistem ekonomi dan politik moden telah melenyapkan Ketuanan Melayu dan hakikat perlu disedari bahawa Ketuanan Melayu itu hanya mitos – seumpama tidak Melayu hilang di dunia ( dalam mengertikan Melayu sebenarnya).

Kita perlu sedar bahawa peruntukkan hak keistimewaan Melayu hari ini bukan sesuatu yang mendaulatkan Ketuanan Melayu. Kehadiran peruntukan dan dasar-dasar yang menetapkan peruntukkan lebih untuk Melayu juga tidak memperkuatkan maruah Melayu itu sendiri. Ini semua tidak ada makna sekiranya Melayu itu sendiri tidak bangkit – kepimpinan Melayu itu sendiri perlu sedar bahawa era ketuanan ini bergantung pada kekukuhan perekonomian dan kekuatan jiwa Melayu itu sendiri. Persoalan hari ini adalah kedudukan Melayu itu – bukan ketuanan yang mengungkap kekuatan bercorak feudalisme – kuasa turun menurun dan darah keturunan. Kita perlu sedar Ketuanan Melayu itu sudah terkubur lama dan hari ini ketuanan Melayu yang diukur dengan kekuatan politik sudah tidak ada lagi.

Satu pembunuhan terhadap ketuanan Melayu telah berlaku. Pembunuhnya adalah kemodenan, politik dan Melayu sendiri. Kita perlu menerima perubahan tetapi perubahan itu perlu ada kita sebagai orang Melayu di tapak yang kukuh dan tidak mudah terpengaruh. Kerisauan perlu memuncak sekiranya apa yang diperuntukkan kepada Melayu hanya peruntukkan dalam kertas dan kita sendiri hanyut dengan arus kemodenan. Apa yang kita risau adalah hakikat bahawa sisa – sisa maruah kita yang ada ini – khususnya dari sudut politik sebenarnya tergenggam oleh pihak lain. Kita perlu sedar sungguhpun Ketuanan Melayu itu sudah mati – adakah tidak mungkin ketuanan lain yang menggantikannya.

No comments:

Post a Comment