Pengerusi MAS & Champagne Dom Perignon????

Ketua Pegawai Kewangan MAS, Low Chee Tiong, telah mengumumkan peletakan jawatannya pada 23 Disember, setelah lama berkhidmat dengan MAS. Sebenarnya banyak sungguh kisah menarik mengenai insan ini yang tidak diketahui umum.
Beliau mempunyai satu hubungan erat yang begitu lama dengan Citibank, gara-gara menyalurkan urusan perbankan MAS kepada bank itu. Akan tetapi si haprak ini sudah lama menyebabkan MAS terduduk juga. Ketika bertanggungjawab dengan urusan MAS di Arab Saudi, di mana MAS menjalankan urusannya selama sepuluh tahun, dia gagal menyediakan penyata cukai kepada kerajaan Arab Saudi seperti yang sepatutnya.

Kerana itu MAS didenda RM10 (juta?) kepada kerajaan Arab Saudi di samping membayar cukai yang tertunggak. Namun di sebalik kegagalannya itu, beliau telah dinaikkan pangkat menjadi CFO (Ketua Pegawai Kewangan).
Pada 2004 ketika salah seorang kroni beliau menjadi Pengurus Akaun di pejabat MAS di London, berlaku kerugian sebanyak RM40 juta gara-gara penipuan dan pelaburan yang dangkal. (Perkara ini tidak pernah dilaporkan kepada media tempatan dan masih lagi terbengkalai begitu sahaja). Ketika Pengurus Akaun itu mengambil cutinya, ada seseorang yang telah memalsukan tandatangan beliau dan mengalihkan simpanan MAS dalam akaun berjangka masa sebanyak RM40 juta di London untuk dipindahkan kepada beberapa pelaburan jangka-pendek yang meragukan. Wang itu hampir hilang lepas begitu sahaja. Pihak pengurusan MAS masih tidak tahu-menahu berapa banyakkah wang yang dapat dikembalikan daripada pelaburan yang meragukan itu. Low telah memanggil balik anak-didiknya daripada London, untuk dimarahi. Sebagai satu hukuman dia telah menghantar beliau bekerja di pejabat MAS di Los Angeles pula. Perkara ini tidak dilaporkan dalam media tempatan kerana Low telah membuat kepastian agar kisah kehilangan RM40 juta itu tidak digembar-gemburkan. Tidak ada sesiapa yang bertugas dalam Jabatan Kewangan MAS dibenarkan bersuara mengenai hal ini.
Kini MAS menghadapi satu masalah. Syarikat ini tidak tahu-menahu bagaimana Mr. Low telah mendapatkan khidmat sebuah syarikat bernama Tipro untuk kerja-kerja yang digelarkan ‘Asset Tagging’ (mengenal pasti asset). Sebagai sebuah syarikat yang mempunyai lukisan berjuta Ringgit menghiasi dindingnya, MAS tidak dapat pastikan di mana segala asetnya. Kalaulah seseorang keluar daripada MAS dengan membimbit sebuah komputer ataupun mesin faks, dia mudah berbuat begitu kerana tidak ada satu kaedah khusus yang memberikan kesedaran kepada MAS bahawa barang-barang itu sudah pun lesap. Sesungguhnya apa yang disebut sebagai ‘Asset Tagging’ itu bukanlah sehebat mana pun. Para petugas MAS pernah memberi tawaran untuk melaksanakan kerja-kerja itu dengan harga hanya sebanyak RM300,000 untuk kerja-kerja yang memakan masa hanya sekitar satu tahun sahaja. Akan tetapi Ketua Pegawai Kewangan MAS ini tidak bersetuju. Dia memberi peluang kepada Asset Tagging melakukan tugas itu. Ini membabitkan kos sebanyak RM5 juta, yakni lebih dari 12 kali ganda daripada tawaran yang dibuat oleh anak-anak buahnya. (he…heh bijak betul Lembaga Pengarah MAS yang meluluskan kontrak semacam itu…!! penterjemah) Bagaimana pula caranya Tipro melaksanakan kontrak mereka? Tipro telah meminta para petugas Jabatan Kewangan MAS untuk menyenaraikan semua kod palang (bar codes) dan nombornya. Malahan, Tipro telah meminta pekerja-pekerja MAS mencetak senarai kod palang itu untuk mereka lekatkannya ke atas mesin faks, mesin pendua dan sebagainya. Hairankah kita bagaimana MAS kerugian besar selalu?
Sejak skandal MAS menjadi pengetahuan umum, sudah ada perubahan dan kesedaran yang menghenyak MAS. Orang putih yang bergelar ‘con-sultan’ - Perunding Kelentung - dan bergaji harian sebanyak RM7,250.00 telah pun dikurangkan tugas dan tanggungjawabnya. Buah hatinya, Mazidah Mohamed Nor, juga mendapati bebanan tugas yang dikurangkan juga. Namun, pihak pengurusan tertinggi MAS masih tidak keruan juga. Mereka masih terus melakukan kesilapan seperti dahulu. Mazidah telahpun melantik seorang lagi pakar perunding kelentung mat salleh ‘Sourcing Value’ (Nilai Perolehan) untuk membuat rundingan dengan LSG Skychef (syarikat katering) dan kontrak perolehan IT dengan IBM. Selama 9 bulan daripada April hingga Disember 2005, MAS telah membayar RM100 juta sebagai kos perundingan, dan membayar RM100 juta kepada IBM kerana perolehan IT. Ramai betul bedebah yang membalun harta MAS dan wang caruman pembayar cukai sehinggakan kerja-kerja ini tidak melucukan lagi).
Perunding Mat Salleh untuk ‘Sourcing Value’ itu adalah perunding yang sama mendapatkan khidmat IBM sebagai sumber IT untuk MAS. Kenapakah Pengurus Besar Kanan, seperti Mazidah tidak membaca kontrak itu sendiri dan merundingkannya daripada menggunakan khidmat perunding luar untuk menjalankan tugas mereka? Pengerusi Munir Majid baru sahaja mendapatkan khidmat syarikat Ogilvy and Mather, satu syarikat seranta awam antarabangsa dengan bayaran RM80,000 sebulan, bersamaan RM900,000 setahun hanya untuk menguruskan imej pejabat Pengerusi MAS. Antara beberapa nasihat daripada Ogilvy and Mather (OM) kepada Munir Majid ialah agar beliau mengadakan ‘sesi bersemuka’ (roadshows) untuk memberi penjelasan sendiri akan masalah yang dihadapinya. Setakat ini Munir sudah menghadiri empat majlis semacam itu untuk membuat penjelasan – dengan Kesatuan Sekerja MAS, dengan Pengurus Besar Kanan syarikat, dengan Pengurus-pengurus Besar dan dengan para pengurus. Apa perlunya membayar RM80,000 setiap bulan hanya untuk diberitahu agar dia pergi bertemu dengan para pekerja syarikat yang dipengerusikannya? Apakah kita perlu pergi belajar hingga ke tahap universiti untuk belajar membasuh punggung?
Sepanjang sesi bersemuka dengan pengurus-pengurusnya, ada seseorang yang bertanya Munir Majid apakah kelayakan, pengalaman dan sumbangan Christopher Andrews sehingga MAS sanggup membayar gajinya sebanyak RM7,250 setiap hari? Munir Majid menjawab bahawa Christopher Andrews mempunyai pengalaman yang luas di Air New Zealand dan telah membantu beliau (Munir) memahami MAS dengan lebih baik lagi. Dengan lain perkataan, MAS perlu membayar orang putih RM7,250 sehari untuk membolehkan Munir memahami MAS, yang merupakan sebuah syarikat Malaysia. Munir Majid lupa menyebut dan memberitahu ahli-ahli kesatuan sekerja bahawa Air New Zealand telah muflis pada tahun 2002, dan kerana itu Christopher Andrews telah hilang punca rezekinya. Tapi dia difaraidkan satu jawatan mewah di MAS. Begitu juga halnya dengan Peter Read, Ketua Pegawai Operasi baru yang diambil daripada British Airways. British Airways pernah menghadapi kerugian besar yang berturutan dan terpaksa membuang beberapa pengurus besar kanan seperti Peter Read. Memang beruntung besar Peter Read kerana mampu meloncat ke dunia ketiga seperti Malaysia dan mendapat jawatan tinggi sedangkan itulah jawatan yang patut diberikan pada warga negara sendiri.
Satu lagi syarikat perundingan, McKenzie & Co telah diberikan kontrak untuk mencari jalan bagaimana MAS dapat mengatasi masalah kewangan dana. Akan tetapi kenapakah tidak ada usaha meminta semua pasukan pengurus kanan yang berpengalaman (bukannya Pengurus Besar ataupun Pengurus Besar Kanan) cara yang baik untuk menjimatkan belanja dan menjimatkan wang? Di Jabatan Sumber Manusia (HRD) ada seorang Pengurus Besar bernama Haji Yusif yang pernah dihumban keluar oleh Tan Sri Zeti Aziz daripada Bank Negara Malaysia. Dia telah diambil sebagai seorang perunding untuk menganjurkan satu bancian di kalangan para pekerja MAS untuk mengetahui pandangan mereka apa yang tidak kena dengan syarikat! Sebenarnya perkara semacam ini boleh dilakukan dengan menyediakan satu kotak cadangan di Kafeteria. Ataupun bertanya kepada semua pekerja bawahan. Pengurus atasan MAS (Pengurus Besar dan Pengurus Besar Kanan) bukannya tahu sangat akan kerja mereka. Kerana itu mereka lebih selesa menggunakan perunding daripada menjana otak sendiri.
Perunding HRD tadi telah merundingkan satu kenaikan gaji sebanyak 25% untuk semua juruterbang MAS yang akan menelan belanja berpuluh-puluh juta Ringgit setahun. Kerana kesilapan kenaikan 25% itu telah mengambil kira 30,000 jam cuti para juruterbang itu yang sudah terkumpul. Orang HRD yang selama ini ditugaskan merunding masalah juruterbang ialah Mr. Keong tetapi beliau tidak dibawa serta untuk perundingan itu.
Pada tahun ini MAS telah menjual satu pesawat terbang. Mereka fikir mereka telah membuat untung. Cuma mereka terlupa, penjualan pesawat itu mempunyai satu klausa dalam perjanjiannya di mana sebarang kecacatan dijamin tertanggung ke atas MAS. Ini bererti setiap kali berlaku sebarang kerosakan pada pesawat itu MAS terpaksa menanggung segala kos memperbaikinya. Kesannya, MAS terpaksa membayar lebih banyak wang berbanding dana yang diterima daripada penjualan pesawat itu. Bagaimana mungkin perkara semacam ini terjadi sedangkan begitu ramai perunding yang digaji oleh MAS?
Semasa memberikan taklimat kepada Dewan Senat pada 20 Disember 2005, Idris Jala, Pengarah Urusan yang baru dilantik, telah memberitahu para senator bahawa 75% laluan antarabangsa MAS tidak memberikan keuntungan. Memang sungguh benar kisah itu. Laluan Los Angeles yang sudah wujud sejak 20 tahun dulu, masih tidak memberi keuntungan kepada MAS. Kemudian ada pula laluan yang tidak berguna seperti daripada Kuala Lumpur ke Johannesburg di Afrika Selatan dan laluan ke Buenos Aires di Argentina yang sentiasa kosong. Laluan ini diwujudkan mengikut selera Perdana Menteri Mahathir dulu yang mahu menunjuk-nunjuk adanya syarikat penerbangan negara yang mengibarkan bendera Malaysia di Amerika Latin. Bolehkah Idris Jala melupuskan laluan yang tidak memberikan keuntungan ini? Bolehkah dia dibiarkan berbuat demikian?
Akan tetapi SIA pun terbang ke laluan yang sama dengan meraih keuntungan. SIA buat duit terbang ke Los Angeles. Bagaimana cara mereka? Apakah ada faktor lain yang menyebabkan MAS kerugian? Walaupun MAS menanggung kerugian besar, agen penjualan tiket yang mengaut keuntungan berlipat ganda. MAS telah melantik beberapa GSA ataupun General Sales Agents yang merupakan agen tunggal menjual tiket MAS di banyak negara. Syarikat GSA ini membalun banyak keuntungan sementara MAS menjadi mangsanya. Bagaimana? GSA menerima tiket dengan kadar potongan harga yang rendah daripada MAS, kemudian mereka naikkan harganya bila menjual kepada para penumpang. Semasa MAS merana, semua GSA mengaut keuntungan besar bernilai jutaan Ringgit. Siapakah GSA ini? Di Pakistan syarikat itu dimiliki oleh Sultanah Pahang. GSA di Italy adalah satu syarikat bernama Mal-Ital yang dimiliki oleh Tengku Mahkota Pahang (kerana adanya beberapa orang Dato’ daripada Pahang dalam MAS). GSA di Sweden adalah milik seorang warga Malaysia yang mendapat status penduduk tetap (PR) di sana.
Lukisan Botero sudah menjadi bualan hangat. Para senator telah meminta Idris Jala menjual semula lukisan itu. Munir Majid telah mempertahankan pembelian lukisan Butero dengan berkata ia menaikkan imej MAS sebagai sebuah syarikat bernilai berbilion Ringgit. Bagaimanakah pula ini dapat mewajarkan kisah penjualan ibu pejabat MAS di Jalan Sultan Ismail? Kalau bangunan itu sudah dijual, di mana mahu digantung lukisan yang bernilai RM1.5 juta? Sudah tentu bukan di hangar di Subang. Munir Majid sudah jual kelentung mengenai lukisan itu. Dia berkata bajet untuk pembelian telah diluluskan dua tahun dahulu. Ini adalah tidak benar. Dia juga berkata bahawa lukisan ini adalah termasuk dalam akaun ‘capital expenditure’ dan tidak menyangkuti kerugian syarikat. Bagaimana dengan aliran wang tunai? Bagaimana mungkin membayar lukisan itu tanpa gunakan tunai? Di manakah satu syarikat yang sedang kerugian mendapatkan RM1.55 juta dalam bentuk tunai untuk membayar harga lukisan tersebut?
Peruntukan bajet yang diluluskan dua tahun dahulu oleh Pengerusi (Allahyarham) Tan Sri Azizan, adalah untuk perkara lain seperti ubahsuai pesawat. Namun, apabila MAS mula menunjukkan kerugian, beliau telah memotong segala perbelanjaan yang tidak perlu dan tidak pun membelanjakan bajet yang diluluskannya.
Munir Majid juga telah mendedahkan kesilapan besar semasa menunjukkan lukisan Butero kepada Jawatankuasa Kesatuan Sekerja MAS. Dia memberitahu mereka betapa dia sendiri pun mempunyai koleksi peribadi lukisan Botero di rumah. Dia telah meluluskan pembelian lukisan itu daripada peniaga lukisan yang sama menjual koleksi peribadinya. Ini jelas menunjukkan percanggahan dalam kepentingan diri.
Semasa Tajuddin Ramli mengepalai MAS dan menjahanamkannya, dia telah mengarahkan MAS membeli apartmen mewah yang bernilai dua juta Ringgit di Kensington London di mana para kroni beliau turut membeli apartmen yang sama di situ. Kalau timbul imbuhan daripada pembelian apartmen itu siapakah yang meragutnya? Tajudin Ramli ataupun MAS? Begitu juga halnya apabila Munir Majid mengizinkan pembelian lukisan Botero daripada pembekal koleksi peribadi beliau. Siapa gerangan yang akan meraih keuntungan kalau wujud sebarang potongan harga? Munir Majid ataupun MAS?
Akan tetapi bagaimanakah caranya Munir Majid mengabui perhatian Lembaga Pengarah MAS? Bagaimana dia dapatkan kelulusan pembelian lukisan itu? Bagaimanakah Mazidah dapat mengambil Chris Andrews dengan membayar gaji harian sebanyak RM7,250 sehari? Bagaimanakah kontrak perolehan dari luar keperluan IT boleh difaraidkan kepada IBM? Bagaimanakah Symphony Group milik Pengarah MAS Azman Yahya yang sudah tenat itu dapat membalun wang melalui skim perolehan luar MAS? Mudah sahaja. Mereka wujudkan Jawatankuasa Kecil kepada Lembaga Pengarah MAS dan memberikan kuasa yang penuh kepada Jawatankuasa Kecil itu. Kemudian, Jawatankuasa Kecil ini yang membuat keputusan yang penting-penting untuk diperakui kemudiannya oleh Lembaga Pengarah. Salah satu Jawatankuasa Kecil ini diberikan nama Jawatankuasa Strategi Lembaga (Board Strategy Committee) yang dipengerusikan oleh Munir Majid, di mana Azman Yahaya dan Tengku Azmir turut menganggotainya. Segala urusan memperolehi sumber luar dan pengambilan perunding luar diputuskan oleh Jawatankuasa ini.
Syarikat milik Azman Yahaya (kroni Khairy Jamaluddin) yang bernama Symphony Group telah mendapat banyak keuntungan gara-gara teknik perolehan sumber luar ini, sedangkan dia adalah anggota Jawatankuasa pemilihan itu. Bijak sungguh mereka. Kontrak mendapatkan perunding luar telah dibuat melalui satu memo kepada MD (bertarikh Januari 2005) yang ditulis oleh Mazidah Mohamed Nor kepada Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Sokongan. Mazidah memberitahu MD, Dato Ahmad Fuad Dahlan, bahawa Jawatankuasa Strategi Lembaga telah membuat kelulusan agar Christopher Andrews diberikan kontrak kerja. Mazidah telah berjaya menulis dan memuji akan kebijaksanaan pilihan mereka. Kontrak Chris Andrews adalah mengikut gaji harian berasaskan dari satu bulan ke satu bulan, di mana jumlah kos tidak melebihi RM650,000 (termasuk cukai) untuk tugas fasa pertama. Kemudian Mazidah menandatangani surat itu. Dalam memo itu beliau telah sengaja mengulang-ulang nama Jawatankuasa Strategi Lembaga.
Bagaimana mungkin seorang MD menolak kuasa seorang Pengerusi syarikat, dan cuba memandai-mandai buat lain pula? Akan tetapi, inilah caranya bagaimana Lembaga Pengarah MAS telah dipinggir dan selalunya menjalankan peranan sebagai tukang angguk sahaja.
Perkara semacam ini memang amat lumrah kerana Ahli Lembaga MAS dianggotai oleh wakil Khazanah yang tidak berguna, dan ramai lagi anggota yang mempunyai otak di kepala lutut sahaja. Kerana itu mereka tidak mampu menangani karenah satu kumpulan yang diberikan gelaran Mafia Kejuruteraan (Engineering Mafia), dan masalah Perjanjian Kolektif Juruterbang, masalah cuti terkumpul, masalah C-checks, lukisan Botero, masalah penukaran lampu ataupun apa sahaja. Dalam bahagian kejuruteraan, ada satu panggilan yang bernama ‘Mafia kejuruteraan. Mereka ini adalah golongan jurutera, mekanik dan petugas di landasan yang menyebabkan MAS berbelanja berjuta-juta Ringgit dalam bentuk tuntutan overtime dan kerja-kerja yang tidak memuaskan.
Pada waktu mereka sepatutnya bekerja, mereka sengaja membuang masa bersembang dan bersuka ria. Mereka hanya mulakan tugas selepas tamat waktu kerja tetap untuk menuntut bayaran ‘overtime’. Sesiapa yang cuba bekerja keras dan tekun akan dimarahi dan diugut oleh Mafia Kejuruteraan ini. Keadaan begitu dahsyat sehinggakan jurutera ekspatriat turut menjadi pak turut dalam budaya menipu begini. Inilah yang menyebabkan MAS membayar banyak wang dalam bentuk ‘overtime.’
‘C-checks’ tidak dilakukan oleh kakitangan MAS dengan baik. Tugasan ‘C-checks’ adalah mudah dan merupakan pemeriksaan ke atas peralatan MAS di atas pesawat seperti lampu dan tandas. Pesawat MAS gagal melalui C-checks kerana mafia dalam kejuruteraan tidak membuat tugasan itu dengan sempurna. Penerbangan yang tertunda menyebabkan kerugian. MAS mempunyai satu perjanjian dengan British Airways di London. Setiap kali pesawat MAS mendarat di London, juruteknik BA akan menjalankan kerja memeriksa peralatan dan lampu yang rosak. Berapa banyak lampu (bulb) yang ditukar untuk MAS oleh BA dan apakah harganya? Di London, MAS membayar segala-galanya dalam bentuk paun sterling. Setiap paun sterling bernilai RM7.00. Tetapi di Malaysia, mafia mahu kerja-kerja itu dilakukan pada masa overtime dan tidak melakukannya dengan sempurna. Kerana itu MAS membayar BA untuk menukar bal lampu dan membayarnya dengan paun sterling.
Semasa Munir Majid bersemuka dengan ahli kesatuan sekerja, dia cuba memberi penjelasan atas tindakannya, dengan kelentungan lagi. Kalaulah skandal beliau tidak didedahkan, Munir tetap terbang percuma dengan tempat duduk kelas pertama daripada KUL ke London hampir setiap hujung minggu. Munir menjelaskan bahawa ini adalah dalam bidang kuasa beliau untuk mendapatkan tiket percuma. Tetapi dia tidak menjelaskan bahawa sebagai seorang Pengerusi dia hanya layak mendapat empat penerbangan percuma dalam setahun dan bukannya empat tiket kelas pertama untuk setiap bulan!
Lagi pun, semua petugas kabin kelas pertama amat faham bagaimana Munir mahu serba-serbi percuma. Dia menogok minuman keras ketika berada dalam bilik menanti ‘Golden Lounge’. Tetapi selalunya dia banyak minum ketika pesawat sudah berada di udara. Minuman kegemarannya ialah Dom Perignon (sebut Perinyo.. penterjemah) yang berharga RM450 sebotol. Mereka menyebut kisah perlunya membuka botol baru setiap kali si Pengerusi terbang ke London setiap hujung minggu. Apabila dia turun, dia akan meminta paramugari membungkus (ta pau) apa juga botol Champagne yang separuh kosong untuk disambung minumannya di darat. Jadi, MAS ini bukan sahaja menyediakan santapan atas permaidani terbang, ia juga merupakan bar minuman terbang, setidak-tidaknya untuk Munir Majid!!!!!!