Bersihkan dan lakukan pembasmian perkataan ANTI dalam parti. Nyah mereka yang membangkang dalam parti, hapuskan mereka yang tidak menyokong, ingkar dan tidak mahu sehaluan. Semua harus menyokong, harus setia dan harus mengikuti arus yang ada. Semua tidak boleh menongkah arus – barulah boleh kita lawan untuk demokrasi? Aduh, macam pincang kenyataan di atas bukan?
Kita tidak amalkan demokrasi dalaman, kita amalkan kronisme dan akhirnya kita menyebut usaha kita mahu menyuburkan demokrasi. Adakah cara itu betul? Adakah tidak sepatutnya kita mengamalkan demokrasi kemudian baru kita perluas dan kita suburkannya.
PKR – dikatakan cuba mengamalkan demokrasi yang lebih luas. Kalau UMNO dikatakan demokrasi terpimpin, PKR pula mahu menunjukkan kemelesetan demokrasi UMNO dengan menjayakan demokrasi ala PKR. Akhirnya nampak tunggang langgang. Namun di sebalik itu mahu juga kita bertanya – apa yang tidak demokratik dalam PKR? Adakah sistem pemilihan mereka salah, pincang dan penuh penipuan. Siapa yang kata – begitu? Mereka yang kalah, mereka yang tidak dapat tempat dan mereka yang cemburu. Bukan begitu! Yang menang akan kata itu adil dan yang kalah akan kata itu tidak adil. Sama juga – yang memerintah akan mengatakan mereka adil dalam melakukan yang sebaiknya dan yang membangkang akan mengatakan itu semua tidak adil dan zalim. Pi mai pi mai dok tang tu ...kerana kita sentiasa mudah terpesong dengan lagu-lagu ceramah dan janji manis mereka yang melobi untuk kemenangan sedangkan yang ada di depan mata tidak pernah menderhaka kepada kehidupan seharian kita.
Kita perlu sedar bahawa – meruntuhkan yang sedia ada dengan harapan untuk mengadakan yang lebih disangka baik akan merugikan kita. Kita kena ukur risiko berbuat begitu. Kita takut keruntuhan sistem ini akan merosakkan lagi keadaan negara kita. Tidak salah kita perbaiki, kita usaha pembaharuan tetapi untuk meruntuhkan dan menghancurkan – satu tindakan yang akan hanya menjemput kekecohan. Kita perlu melihat implikasi kacau bilau.
Apa pun, kemungkinan apa yang berlaku pada PKR perlu diteliti. Mungkin mereka akan lebih kukuh dari sekarang – kerana mereka yang menongkah arus sudah tiada – tetapi apa pula hakikat demokrasi yang diperjuangkan? Apa yang salah dan apa yang benar?
No comments:
Post a Comment