Amalan maksiat: Gabungan gereja berang


NONESebuah majlis gabungan gereja hari ini menuntut seorang selebriti meminta maaf atas dakwaan mengaitkan penganut Kristian dengan amalan maksiat.

Tuntutan itu disuarakan oleh Pemuda Majlis Gereja-Gereja Malaysia(Pemuda CCM) hari ini yang mempertikaikan satu kenyataan oleh selebriti berkenaan, Siti Nor Bahyah Mahamood.


Dalam rancangan berkenaan, Siti Nor Bahyah didakwa telah berkata: “Maksiat, disko, couple-couple, bersunyi-sunyian, inilah tradisi bagi masyarakat yang beragama Kristian."

Siti Nor Bahyah didakwa telah berkata demikian melalui satu rancangan yang membincangkan hukum sambutan Hari Valentine melalui sebuah televisyen tempatan sebelum ini.

Pemuda CCM menyifatkan dakwaan itu sebagai "tidak bertanggungjawab", "mengaibkan" dan "amat menyakitkan hati" masyarakat Kristian melalui "serangan terbuka ke atas kepercayaan masyarakat lain tanpa fakta yang dikaji dengan teliti."

Menurut kenyataan itu lagi, Siti Nor Bahyah juga telah melandaskan hujahnya dalam rancangan itu "dengan legenda dan kisah dongeng yang tidak disokong (fakta)."

"(Siti Nor Bahyah) juga telah memilih untuk menggunakan ruang awam untuk mencerca ajaran masyarakat lain dengan pandangan yang salah (dan) diperolok-olokkan sebagai fakta," kenyataan itu dipetik.

Selebriti berkenaan juga antara lainnya telah menyebut beberapa versi latar belakang sambutan Hari Valentine dalam program berkenaan yang turut disiarkan dalam laman Youtube.

Versi pertama yang disebut oleh Siti Nor Bahyah itu membabitkan amalan penyembahan seorang "dewi cinta" oleh masyarakat Rom kuno.

Salah satu lagi versi yang disebut itu membabitkan sambutan bagi memperingati seorang paderi bernama Saint Valentine yang dibunuh kerana menyebarkan ajaran Kristian.

"Saint Valentine inilah yang memainkan peranan besar menjatuhkan kerajaan Islam di Cordoba, Sepanyol. Jadi kalau kita sambut Valentine's Day, maknanya kita sokong Kristian. Kita sokong Inggeris. Kita masuk sebahagian daripada mereka."

"Yang keempatnya sebab kita tak boleh sambut Valentine ini sebab meraikan burung yang suka mengawan pada 14 Februari. Ini ialah tradisi orang Inggeris," kata Nor Bahyah lagi dalam rancangan berkenaan.

Mengulas lanjut, Pemuda CCM berkata selebriti itu sepatutnya menasihati masyarakat muda supaya bertindak dengan bijak dan tidak dieksploitasi oleh sambutan yang dikomersilkan secara terang-terangan.

Kenyataan itu juga menyebut, Pemuda CCM telah menjelaskan sebelum ini bahawa Hari Valentine dan juga Santa Claus tidak mempunyai asas dalam ajaran Kristian.