Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya negeri dan senarai nama calon juga telah diterima, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini.
"Sudah..sudah, kita (BN) sudah bersedia, calon pun sudah ada, saya tidak boleh umumkan nama calon sekarang," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Masjid Beladin Al-Amin di Beladin, Sarawak.
Abdul Taib yang juga pengerusi BN negeri berkata senarai itu meliputi semua calon yang akan mewakili BN untuk merebut 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Pilihan raya Sarawak dijangka berlangsung dalam masa terdekat memandangkan penggal DUNnya akan berakhir pada 24 Julai ini. Pada pilihan raya negeri yang lepas BN menguasai 63 kerusi.
Sementara itu, mengulas tindakan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) luar negara yang mengkritik kerajaan Sarawak, Abdul Taib berkata perkara itu adalah perbuatan nakal namun tidak akan menghalang kerajaan BN untuk terus membangunkan Sarawak.
Katanya BN tidak perlu melayan sebarang kritikan dari luar khasnya NGO kerana parti itu tahu apa yang perlu dilakukan untuk kebaikan rakyat Sarawak sendiri.
Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Taib berkata Sarawak telah berjaya keluar dari kelompok negeri miskin sejak 40 tahun lepas dan kini hampir 94 peratus rakyatnya telah bebas daripada belenggu kemiskinan.
Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu juga berkata kejayaan dasar politik pembangunan yang diperkenal kerajaan negeri ternyata berjaya membawa perubahan besar kepada kemajuan Sarawak.
"Sekarang kita bukan sahaja perlu kerja kuat, malah perlu meningkatkan lagi pengetahuan untuk lebih maju selain perlu merancang untuk melahirkan lebih ramai pemimpin yang bijak dan faham apa kemahuan rakyat di peringkat bawahan," katanya.
Abdul Taib juga mengakui kejayaan Sarawak hari ini adalah hasil daripada keberanian pemimpin serta rakyat untuk melawan arus kemajuan tanpa perlu menoleh kebelakang.