Harta Majlis Bandaraya Alor Setar disita


Mahkamah Tinggi Alor Setar, semalam mengeluarkan Writ Penyitaan dan Penjualan terhadap Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kerana gagal menjelaskan tunggakan lebih RM749,000 kepada sebuah syarikat kejuruteraan. 

Writ Penyitaan dan Penjualan kepada MBAS diserahkan oleh Bailif Mahkamah Tinggi Alor Setar, Hamid Man kepada Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Khazali Din dalam satu pertemuan tertutup yang diadakan kira-kira jam 10 pagi semalam. 


Berdasarkan writ itu, Syarikat Veecan Management Sdn Bhd menuntut MBAS menjelaskan tuntutan bayaran RM749,355.59 melibatkan satu projek penjimatan tenaga elektrik yang dijalankan syarikat terbabit dengan persetujuan MBAS. 

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Syarikat Veecan Management Sdn Bhd menandatangani perjanjian program penjimatan elektrik yang dikenali Kontrak membekal, memasang, menguji, mentauliahkan, memantau dan menyelenggarakan alat penjimatan elektrik dengan MBAS pada 10 September 2007. 

Syarikat Veecan Management Sdn Bhd dilantik untuk membekal, memasang, membiayai dan menyelenggarakan alat penjimatan elektrik di Feeder Pillar bagi jalan di kawasan yang berada di bawah bidang kuasa MBAS, seperti yang disenaraikan dalam kontrak selama lima tahun dari tarikh bulan pertama bayaran penjimatan dibuat kepada mereka. 

Veecan Management Sdn Bhd dalam tuntutannya mendakwa sudah menyempurnakan kewajipannya sebagai kontraktor program penjimatan elektrik itu. 

MBAS didakwa gagal membuat bayaran bermula September 2008 sehingga Februari 2010 dengan anggaran purata bayaran yang sepatutnya dilunaskan pada setiap bulan adalah RM40,000. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Syarikat Veecan Management Sdn Bhd, Datuk Ir Ismail Said, hadir ke pejabat MBAS dengan ditemani peguam Judy Toh, mengadakan perbincangan tertutup dengan Khazali.

“Dalam perbincangan itu, kita menawarkan MBAS membayar secara ansuran iaitu separuh daripada RM749,355.59, namun mereka tidak mahu. Kita tawarkan pula RM200,000 dan minimum RM100,000, namun mereka tetap gagal menjelaskan tunggakan bayaran. 

“Kita tiada pilihan lain melainkan menyita semua harta MBAS,” katanya.

No comments:

Post a Comment