Keputusan MCA tidak mahu menerima jawatan dalam Kabinet jika gagal mendapat sokongan pengundi Cina pada pilihan raya umum akan datang bukan satu ugutan.
Sebaliknya, menurut timbalan presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai (kanan) dalam satu kenyataan akhbar hari ini, pendirian parti itu sesuai dengan prinsip demokrasi dan mendapat sokongan anggota parti di seluruh negara.
"Mesyuarat Majlis Presiden telah memutuskan MCA akan menarik diri daripada memegang sebarang jawatan di semua peringkat dalam kerajaan sekiranya parti kami gagal mendapat mandat daripada komuniti Cina pada PRU akan datang.
"Tindakan ini mencerminkan semangat demokrasi dan menghormati pilihan yang dibuat oleh masyarakat Cina. Ini merupakan keputusan bersejarah. Ia tidak kena-mengena dengan apa yang disebut hubungan politik perkauman,” katanya.
Pada 29 April lalu presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengumumkan pendirian, parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan peringkat pusat dan negeri jika calonnya gagal mencapai keputusan terbaik pada pilihan raya umum ke-13.
Ramai pihak sebelum ini menyifatkan keputusan itu seolah-olah untuk memaksa pengundi Cina supaya menyokong MCA jika tidak mahu kehilangan perwakilan dalam Kabinet.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri bersetuju dengan keputusan MCA berkenaan yang dibuat berikutan penolakkan pengundi Cina terhadap BN pada pilihanraya negeri di Sarawak bulan lalu.
Liow yang juga Menteri Kesihatan berkata beliau turut mempersoalkan kempen DAP yang memburuk-burukkan lawannya, yang sebelum ini mendesak MCA untuk menarik diri daripada kerajaan.
"(Tetapi) sekarang apabila MCA telah membuat keputusan ini, DAP sebaliknya menuduh MCA mengugut komuniti Cina. Dengan hujah DAP sendiri, mereka telah mendedahkan sifat oportunis DAP.
"Amalan rasisme diperlihatkan oleh DAP sendiri. Mereka menggelar diri mereka berbilang kaum tetapi mengamalkan dasar perkauman apabila mentafsirkan pendirian MCA, kata Liow.
Pada pilihan raya umum ke-12, MCA cuma memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen dan 31 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti tersebut.
Manakala pada pilihan raya negeri Sarawak 16 April lalu, parti SUPP yang mewakili kepentingan masyarakat Cina di Sarawak hanya mampu memenangi 6 daripada 19 kerusi yang ditandinginya. DAP pula memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditandinginya.
No comments:
Post a Comment