Ronnie Liu satu nama panas sejak kebelakangan ini. Beliau dikaitkan dengan pelbagai isu dan menjadi sasaran pelbagai pihak. Sejak dua bulan lalu, beliau menutup mulut dan tidak mahu diwawancara oleh mana-mana media. Namun Harakahdaily dan Siasah berjaya membuka pintu pejabat beliau dan memberikan wawancara ini. Ikuti wawancara dengan beliau. Sebahagian wawancara ini telah disiarkan dalam akhbar politik Siasah sebelum ini.
Apa perkembangan mutakhir Kerajaan Negeri Selangor sekarang dalam menghadapi serangan yang bertubi-tubi dari Barisan Nasional?
Saya rasa Barisan Nasional atau Umno sudah tahu, sekiranya mereka tidak kacau kita, dan kita dapat terus berkhidmat membangunkan negeri Selangor seperti hala tuju yang kita ada sekarang ini, mereka tidak boleh menang dalam pilihan raya yang akan datang. Dahulu kita semuanya tidak ada kerajaan, tetapi apabila peluang (mandat) sudah diberi, kita sudah merakyatkan ekonomi Selangor, cara kita mentakbir bersih tanpa penyelewengan, tiada menyalahgunakan kuasa. Ini ditambah lagi dengan wujudnya program-program kebajikan misalnya untuk skim mesra warga emas, mikrokredit sebanyak 50 juta dan kini tambah lagi RM20 juta untuk golongan miskin bandar dan sebagainya. Rakyat sekarang dapat membandingkan bagaimana pentadbiran sekarang dengan pentadbiran lama.
Begitu juga dari segi pendidikan. Walaupun kita tiada hak dari segi pendidikan tetapi kita bagi tanah dan peruntukan kepada sekolah Cina, India dan Sekolah Agama Rakyat. Sekolah Agama Rakyat kita bagi setiap tahun RM9 juta, sekolah Cina dan Tamil sebanyak RM4 juta setiap tahun. Sementara persatuan pendidikan Cina kita bagi RM2 juta setiap tahun.
Dan sebagai Pengerusi Rumah Ibadat selain Islam, sehingga ke hari ini kita telah bagi sebanyak 95 keping tanah kepada kuil, tokong dan gereja. Ini tidak termasuk lagi surau dan masjid.
Begitu juga penghasilan dari pasir. Sejak PR memerintah hasilnya telah meningkat. Dahulu di bawah BN paling tinggi penghasilan yang mereka dapat hanyalah RM4 juta tetapi sekarang kita dapat RM15 juta ke 20 juta setahun. Orang sekarang sudah dapat membuat perbandingan antara BN dan PR. Bila jadi seperti itu, mereka rasa takut dan bimbang.
Dan setiap kali kita pergi berceramah di luar Selangor, misalnya di Melaka, Johor atau Pahang, orang di sana sering meminta saya bercerita tentang Selangor. Apabila saya kata di Selangor ada pelbagai kemudahan untuk rakyat, mereka kata di negeri mereka semua itu tidak ada. Sebab itu BN tidak mahu melihat negeri Selangor berjaya. Oleh itu mereka gunakan tektik kotor sebab mereka kurang yakin untuk berlawan dengan PR secara bersih. Ini apa yang saya perhatikan..
Dilihat kepada keadaan sekarang, DAP paling aktif mendaftarkan ahli baru. Sebenarnya apakah rahsia di sebalik pendaftaran paling ramai pengundi baru itu?
Ye, mengikut daftar yang diberikan oleh SPR kepada kita, DAP memang mendahulu parti-parti yang lain termasuk PAS dalam mendaftarkan ahli baru. Ini adalah kerana cara yang kita buat adalah konsisten. Dahulu sebelum PR dapat memerintah negeri Selangor, kita ada juga buat kerja yang sama. Jadi sekarang ini kita ada pengalaman untuk buat kerja yang sama.
Tetapi jika kita melihat kepada rekod yang ada ianya tidaklah tinggi sangat cuma ianya mendahulu parti yang lain. Pada saya parti yang lain (dalam BN)mungkin takut kerana mereka tahu generasi baru tidak memihak kepada mereka. Sedangkan kita terus buat kerana kita yakin dan tahu bahawa generasi baru ini memihak kepada kita. Tetapi kepada MCA, Gerakan atau MIC pertama mereka tidak yakin. Bila lagi ramai mereka mendaftar pengundi baru, mereka bimbang undi lebih besar akan hilang kepada PR.
Kedua, pada dua ke tiga tahun kebelakangan ini MCA dan MIC memang kucar kacir. Umno pun sampai ke hari ini, masih lagi berpuak-puak di negeri Selangor, jadi mereka kurang semangat dalam usaha untuk mendaftarkan pengundi baru. MCA cuma akhir-akhir ini sahaja kita lihat mereka baru nak mula mendaftar pengundi baru sehingga sampai ke tokong-tokong.
Di sebalik rekod-rekod baik itu, tuan adalah antara orang yang paling hebat diserang oleh Umno Selangor terutama sekali dalam isu kerajaan tempatan. Ada beberapa isu, apa isu yang paling lantang sekali mereka timbulkan?
Saya nampak isu yang mereka mainkan terhadap Ronnie Liu sejak PR mengambil alih kerajaan Selangor adalah isu SPA, rumah urut dan rumah maksiat yang mereka kata semakin banyak. Kedua tidak pandai jaga pasir, kecurian banyak berlaku. Ketiga, gerakan senyap yang mendakwa sejak di bawah PR kita tidak mementingkan hak orang melayu. Kita hanya dikata membantu dan menolong pengundi Cina dan India sahaja.
Sebenarnya mereka tiada isu lain yang hendak dikata. Kalau nak kata kita kita tidak bersih sewaktu mentadbir, tidak ada. Nak kata kita salah guna kuasa pun tidak ada. Penguat kuasa sekarang tidak macam dahulu, mereka bukan samseng yang sering melawan dengan orang ramai. Jadi mereka tak ada isu.
Berkaitan dengan spa atau rumah urut, memang ada bertambah tetapi semua itu tidak berlesen. Sejak PR memerintah, pengeluaran lesen telah dibekukan. Satu pun tidak ada. Rumuh urut, spa dan judi Magnum yang ada sekarang ini adalah kelulusan dahulu dan kita tidak berani tutup sebab nanti dikata tidak adil. Selagi mengikut undang-undang kita bagi peluang mereka memperbaharui lesen tetapi kalau nak kata yang baru, memang tidak ada.
Kalau adapun mereka yang buat ini adalah tanpa izin. Bila ianya dibuat tanpa izin, kuasa sebenarnya terletak kepada polis atau pihak berkuasa yang lain. Pihak ini yang sepatutnya mengambil tindakan, kerajaan tempatan tidak mempunyai kuasa yang banyak.
Misalnya, kalau ada tempat judi haram dibuat, orang yang keluarkan lesen slot mesin hanyalah menteri kewangan, bukannya kerajaan tempatan.
Bagaimana dengan premis?
Premis memanglah kerajaan tempatan tetapi premis yang baru memang kita tidak beri kepada sesiapapun. Jadi tempat judi haram itu, polis ada kuasa untuk tahan mereka, siasat mereka atau bawa mereka ke mahkamah. Tetapi kerajaan tempatan hanya ada kuasa terhad. Kalau ada pun kita hanya boleh sita tempat itu secara sementara. Dalam undang-undnag kecil, sekiranya mereka membayar kompaun, kita terpaksa serahkan balik apa yang disita. Tetapi di bawah polis, polis boleh tahan sehingga di bawa ke mahkamah. Sekiranya mahkamah mengambil masa selama lima tahun, sudah pastilah komputer jadi tidak baik dan rosak.
Kuasa polis lebih besar kerana mereka juga boleh tahan siapa yang bersalah. Kerajaan tempatan tidak boleh tahan orang kecuali orang itu mengganggu tugas penjawat awam. Dan kita juga tiada hak untuk tukar undang-undang kita sendiri. Dan sekiranya mengikut undang-undang tempatan, yang kita keluarkan lesen untuk premis sahaja. Sekiranya ada orang yang berniaga tanpa lesen, kita hanya boleh kenakan kompaun sebanyak RM1,000 sahaja maksima. kalau bawa ke mahkamah dan dia mengaku bersalah, denda maksima yang terpaksa dibayar hanya RM2,000 sahaja.
Jadi kebanyakan peniaga ini tidak takut untuk buka rumah urut, spa, siber cafe atau sebagainya. Tetapi kalau pihak polis, mereka boleh buat apa sahaja. Misalnya kalau peniaga itu masih berdegil, pihak polis boleh memotong elektrik, paip, tahan dan bawa mereka ke mahkamah atau bawa mereka ke lokap.
(Gambar atas: Antara premis yang baru naik di Kota Damansara. Rumah urut berselindung di sebalik urut kaki)
Tetapi dalam hal ini, selalunya pihak polis tidak mahu buat. Pihak polis enggan bekerjasama dengan kerajaan tempatan, hanya segelintir sahaja yang mahu. Setiap kali kita mengadakan operasi, kita ada minta bantuan polis untuk bersama-sama menyertainya. Tetapi tidak semestinya mereka akan menyertai kita sebab mereka boleh memilih untuk menyertai atau tidak. Itu hak mereka. Tetapi dalam hal lain, polis selalu kata kita (kerajaan tempatan di bawah PR) tidak mahu bekerjasama dengan pihak polis. Sedangkan setiap kali mahu mengadakan operasi kita selalu panggil mereka. Bila saya pertikaikan cara polis, mereka tidak suka saya. Mereka juga pertikaikan pemerintahan orang dahulu, semuanya boleh tetapi sekarang ini tidak boleh lagi.
Jadi bila masalah itu timbul, orang akan menyalahkan pentadbiran kita. Misalnya gangster-gangster yang menguasai rumah-rumah maksiat, marah kita sebab di bawah kita pegawai kita bersih. Tidak ada lagi pegawai yang minta duit atau buat kacau. Jadi mereka salahkan saya. Oleh itu musuh saya pelbagai, ada dari pihak polis, ada dari pihak berkuasa tempatan ada dari gangster.
Mereka nampak majlis tempatan di bawah pentadbiran saya, tidak memberi peluang kepada mereka untuk mendapat duit atau peluang. Jadi mereka yang mengatakan saya membiarkan rumah maksiat semakin bertambah dan sebagainya. Sebenarnya mereka adalah terdiri daripada mereka yang tidak dapat peluang atau membuat perkara seperti dahulu sebelum PR memerintah.
Isu yang besar sekarang, rakyat melihat seolah-olah kerajaan negeri tidak bertindak sebab kalau kita lihat rumah urut sekarang semakin bertambah. Ramai dari tanah besar China datang, orang Vietnam datang tanpa permit kerja. Apa tindakan kerajaan negeri dalam mengadapi situasi seperti ini?
Semua kuasa terletak kepada Imigresen, bukan kepada kita. Kenapa pihak Imigresen tidak mahu mengambil tindakan, kenapa mahu salahkan kita. Misalnya kita bagi lesen urut refleksologi, kalau mereka ikut undang-undang, ianya untuk kesihatan. Kalau ada yang menggunakan nama tersebut untuk melakukan maksiat, Imigresen dan polis boleh tangkap.
Pihak kita hanya boleh batalkan lesen sekiranya premis tersebut tidak mengikut seperti apa yang dinyatakan dalam undang-undang. Sekarang inipun kita telah banyak batalkan lesen melalui operasi yang dilakukan. Masalahnya, setiap kali pihak kita melakukan operasi, surat khabar arus perdana tidak mahu membuat liputan. Begitu juga dengan pihak televisyen. Cuma apabila pihak polis buat, barulah mereka buat liputan.
Sebenarnya pihak kita ada melakukan beberapa operasi. Antaranya operasi serentak di bawah kerajaan tempatan. Selain operasi serentak, setiap majlis kerajaan tempatan diberi arahan untuk membuat operasi. Operasi ini tidak berhenti sama ada oleh MPPJ, MPSA atau MPSJ. Masalahnya surat khabar arus perdana atau televisyen tidak buat liputan sedangkan pihak kita selalu buat operasi. Hanya akhbar alternatif sahaja yang selalu menyiarkan operasi kami. Dan pihak kami juga tidak keberatan memberi semua maklumat itu sekiranya dikehendaki.
Adakah pihak berkuasa tempatan tidak boleh bertindak e atas mana-mana premis yang digunakan untuk aktiviti-aktiviti kurang sihat?
Kita boleh bertindak tetapi sejauh mana..kita hanya boleh beri kompaun sahaja. Kita tangkap tidak boleh, siasat tidak boleh. Semua tidak boleh. Sita boleh tetapi dalam tempoh tiga bulan sekiranya mereka bayar kompaun, kita terpaksa serahkan kepada mereka semula. Tetapi kuasa polis semuanya boleh dilakukan, tangkap, tahan dan bawa mereka ke mahkamah.
Jadi dalam hal ini, saya salahkan polis. Polis salahkan kerajaan tempatan dan rakyat keliru. Sebenarnya, rakyat tidak boleh keliru, rakyat harus tahu, semua itu adalah kerja polis sebab kuasanya besar. Dia boleh buat semua tetapi tidak mahu buat. Tidak mahu buat kerana apa, korupsi kerana ada pegawai polis yang ambil wang. Bila ada pegawai polis yang ambil wang, mereka tidak mahu buat operasi.
Adakah ini menjadi punca tuan menjadi sasaran polis?
Ya, sebab saya selalu mempertahankan kerajaan negeri. Saya yang beritahu orang ramai tentang undang-undang macam itu sebab orang lain tak boleh jawab sebab bukan fotfolio mereka dan mereka pun tak tahu menjawab. Selalunya saya yang menjawab. Bila saya memberi jawapan seperti itu, sudah tentu mereka (pihak polis) marah dan salahkan saya.
Saya jawab seperti tu sebab pihak polis memang ada kuasa. Misalnya menangkap orang yang melakukan maksiat atau pendatang tanpa izin adalah kerja polis dan Imigresen. Kita tak boleh tangkap walaupun seorang. Mereka boleh tangkap, tahan mereka di Semenyih atau sebagainya adalah hak mereka, tetapi sekiranya mereka tidak mahu, nak buat macam mana? Sebab saya selalu mempertikaikan polis tidak buat, jadi mereka benci dan serang saya.
Mungkin itu satu perancangan?
Ya, mungkin perancangan. Pada saya orang yang buat pelbagai tuduhan kepada saya adalah orang politik dari pihak sana, gangster yang ada kaitan dengan mereka sebab susah cari makan dan juga pihak polis sebab saya nampak pihak polis masih belum bersih
Apa pandangan tuan apabila parti DAP dituduh melindungi gangster-gangster?
Itu salah satu cara tuduhan yang dibuat. Saya pernah mencabar mereka yang mengatakan DAP melindungi gangster supaya memberi senarai nama gangster yang ada kaitan dengan DAP supaya saya sendiri boleh tangkap mereka. Namun sehingga ke hari ini, tak ada senarai yang saya dapat. Datuk Seri Khir Toyo pernah saya cabar dua tiga kali, beri nama gangster yang mencuri pasir dan yang dilindungi oleh DAP. Biar saya sendiri yang tangkap tetapi sudah enam bulan tiada senarai yang sampai ke pada saya. Beliau hanya cakap sahaja sebab tiada bukti.
Begitu juga orang kata pejabat saya digunakan oleh gangster untuk mesyuarat, saya cabar mereka beri nama dan puak apa supaya senang untuk saya tangkap, pun tidak ada juga. Sehingga ke hari ini mereka masih membuat tuduhan yang sama, tetapi bukti tidak ada. Malahan ada orang yang membuat tuduhan saya gangster sebab saya memakai baju hitam dengan tai berwarna cerah. Masalahnya, orang lain berpakaian seperti itu tidak pula dikatakan gangster.
Sebenarnya saya berpakaian hitam setiap hari Jumaat kerana menghormati mendiang Teoh Beng Hock, sama juga dengan Lim Guan Eng. Mereka tidak bertanya mengapa saya berpakaian hitam terus membuat tuduhan saya gangster.
Mungkin mereka lihat tuan aktif dan agresif?
Mereka sudah benci dengan saya sebab dahulu, sewaktu wakil MCA di Pandamaran kalah dalam pilihan raya dengan saya, dia lihat pemimpin di Selangor, Keadilan atau DAP. Dia lihat Azmin veteran, Ronnie veteran tetapi tidak nampak pemimpin muda yang lain. Dia kata saya yang lantang bercakap hingga membuatkan dia kalah. Dia salahkan saya tetapi tidak salahkan YB Kampung Tuanku atau lain-lain sebab mereka orang baru. Saya jadi sasaran utama.
Lagipun saya mudah didekati dan mudah ditemui, tidak seperti orang lain.
Suspek utama kes Datuk Sosilawati juga dikatakan gangster dan ahli seumur hidup parti DAP?
Kita sudah semak, dia memang tidak masuk dalam parti DAP dan di bawah arahan Lim Guan Eng DAP sudah buat laporan polis isu tersebut.
Apakah DAP akan saman semula mereka yang membuat tuduhan tersebut?
Tidak dan saya percaya polis juga tidak akan buat apa-apa siatan berkaitan dengan isu tersebut kerana bagi saya saman di mahkamah tidak akan menyelesaikan isu ini kerana kita bukan mudah untuk menang.
Apakah DAP tidak bercadang untuk bertindak bagi membersihkan nama DAP di mahkamah?
Tak boleh sebab kalau polis tak mahu beritahu kedudukan sebenarnya macama mana kita nak buat saman. Lagipun kita tahu ke siapa yang buat fitnah. Kalau kita tahupun sukar untuk kita menang. Oleh itu kita kena fikir semuanya sebelum kita buat saman.
Kita berbalik semula kepada hal Pandamaran, sebenarnya apa yang berlaku?
Pandamaran, sehingga ke hari ini calon mereka (MCA) masih lagi tidak mahu mengakui kekalahan. Dia tidak sangka boleh kalah sebab keahlian MCA sahaja hampir setengah jumlah pengundi di sini..tetapi dia kalah. Nombor dua kebetulan, orang yang kalah ini aktif. Bila aktif semua berita tertumpu kepadanya, jadi dia kata saya yang bukan-bukan namun saya tidak boleh saman dia.
Bila dia tahu saya tidak boleh saman dan tidak boleh buat apa, dia terus cakap saya yang bukan-bukan. Saya cuma boleh menjawab dengan tindakan yang saya lakukan. Di Pandamaran, DAP sangat aktif, kita selalu adakan kegiatan kebajikan seperti gotong royong dan membantu mereka yang memerlukan.. Sebab itulah semua stesyen tv dan akhbar perdana selalu datang dan membuat liputan tentang Pandamaran.
Musuh saya kata, saya tidak aktif dan tidak selalu datang ke Pandamaran sedangkan saya selalu ada di sana. Saya selalu datang dan tolong orang di sana sekurangnya empat kali seminggu. Kalau tidak percaya cuba tengok sehari jadual lawatan saya. Pasti ada Pandamaran. Surat khabar Cina selalu buat liputan saya berkaitan Pandamaran. Selalu kata saya tidak datang melawat Pandamaran, hanya surat khabar Melayu dan Inggeris sahaja tak ada. Kalau tuduhan seperti itu dilakukan melalui surat khabar Cina, ramai orang akan ketawa.
Bagaimana pula tentang tuduhan Lee Boon Hock yang mengatakan ada 'tangan ghaib' dalam pemecatan dia dari DAP?
Lee Boon Hock sebenarnya adalah PA saya. Dia juga adalah kawan baik saya. Dia juga yang meminta saya bertanding di Pandamaran. Bila sudah menang dia terus jadi PA saya. Sebagai PA, saya mempercayai dia dan dia jugalah yang membuat kerja-kerja di pejabat saya hinggalah kepada membuat 'letter head'. Tetapi setiap kali dia buat kerja, dia simpan satu set di pejabatnya sendiri. Kemudian di belakang saya, dia tandatangani semua borang dan surat tanpa pengetahuan saya. Bila kena tangkap dia tidak mengaku. Semua Exco Selangor percaya dengan dia dan mengadakan sidang akhbar menyebelahi dia. Pada hal semuanya kena tipu.
(Gambar: Ronnie menunjukkan jadual harian yang penuh termasuk di Pandamaran)
Sebenarnya dia memang banyak dapat kontrak. Kroni dan anaknya memang dapat kontrak tetapi dia nafikan. Bila audit dilakukan, baru mereka dapat bukti yang sah. Dia gunakan alamat rumah sendiri untuk memberi tender kepada kroni dan anaknya. Walau sudah ada bukti dia masih tidak mahu mengaku kerana semua bukti itu baginya tidak penting kerana dia tahu polis tidak akan tangkap dia. Bagi saya, dia sudah bersubahat dengan polis. Polis sendiri telah cakap bahawa mereka tidak akan mengambil tindakan terhadap Lee Boon Hock. Salah atau tidak mereka tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadapnya. Sebab itu dia berani buat itu buat ini.
Bagaimana pula dengan Pengerusi DAP Cawangan Pasar Pandamaran juga Ketua Kg Baru Pandamaran, Yap Hock Siew juga dipecat dari DAP?
Ketua kampung itu juga ditipu oleh Lee Boon Hock. Dia boleh cakap Melayu sebab itu dia dilantik sebagai ketua kampung tetapi dia tidak tahu membaca dan menulis. Surat sokongan dibuat oleh Lee Boon Hock dan Lee Boon Hock yang mengatakan ada kontrak di MPK dan menyuruh dia mendatanganinya dengan menggunakan syarikat Yap Hock Siew. Dia percaya kepada Lee Boon Hock. Apabila rahsia sudah diketahui, Lee Boon Hock kata Yap Hock Siew yang mendatangai surat tersebut, bukan dia. Sedangkan surat dibuat, dicop oleh Lee Boon Hock dan ditandatangi oleh Yap Hock Siew. Saya tiada sedikit pun terbabit. Malangnya apabila DAP sudah mengambil tindakan ke atas Lee Boon Hock dan kes pula seakan sama, jadi lembaga disiplin terpaksa mengambil tindakan sama terhadap ketua kampung itu. Sebenarnya dia menjadi mangsa kerana tidak membaca isi kandungan surat yang Lee Boon Hock tulis..
Selepas hal ini berlaku di Pandamaran, bagaimana tuan mengendalikan Dun Pandamaran?
Selepas kes itu, saya sudah sediakan penasihat dari luar untuk memulihkan semula pejabat saya. Sebab itu saya berhentikan semua pembantu saya. Sebelum ini ramai orang menggunakan nama saya sebaik sahaja mereka keluar dari pejabat. Itu belum lagi orang di luar yang menggunakan nama saya sebagai pembantu. Sekarang kalau sesiapa pergi ke pejabat saya di sana tiada lagi cop, 'letter head' dan tiada lagi pembantu. Sebaik sahaja mereka keluar pejabat, mereka tidak boleh lagi menggunakan nama sebagai pembantu saya. Sesiapa yang mahu buat surat, kena datang ke SUK, saya yang tanda tangan, lambat sedikit tidak menjadi masalah.
Sekarang ni Tuan yang melakukan semua?
Ya, saya lakukan semua dan semua pembantu yang saya percaya mereka hanya di pejabat sahaja. Di luar pejabat mereka juga tidak boleh menggunakan tanda nama atau pangkat. Dia juga tidak boleh memberitahu orang lain mengatakan mewakili Ronnie Liu. Disebab isu itu juga 'letter head' dan cop juga terpaksa ditukar. Kalau dahulu 'letter head' tidak ada gambar sekarang saya masukkan gambar dan nombor siri sekali. Kalau ada lagi pihak yang mahu menipu, saya ada cara tersendiri untuk mengetahuinya. Saya juga telah berjanji kepada parti supaya perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi.
Sebelum ini ada juga tekanan daripada parti dalam isu ini bagaimana pula dengan situasi sekarang?
Saya berpegang kepada prinsip berani kerana benar. Saya tidak menyalahgunakan kuasa, saya bersih, saya tidak ambil satu senpun setiap peruntukkan. Peruntukan saya semua bersih sebab saya tahu Selcat cuba nak ganggu saya. Pihak kerajaan sendiri ada buat audit, parti ada Jawatankuasa Disiplin yang mahu bertanya. Saya tidak bersalah, nak takut apa. Jadi saya senyum sahajalah bila orang kata.
Berkaitan dengan isu perbelanjaan terlalu cepat habis, apa situasi sebenarnya?
Sebenarnya ia bukan isu. Mengikut cara kerajaan peruntukan sebanyak RM500,000 yang di beri itu sepatutnya kena dihabiskan dalam tempoh satu tahun. Kalau ada permintaan, permohonan dan diluluskan, beri sahajalah. Tidak mungkin kita mahu tunggu sehingga akhir tahun baru nak serahkan. Kita tidak mahu melengah-lengahkan permintaan yang ada. Misalnya kalau ada permintaan pada bulan Februari, takkanlah pada bulan Oktober baru kita beri. Kita berilah pada bulan Mac. Kita tidak ada mendapat arahan supaya jangan menghabiskan wang itu sebelum akhir tahun. Katakan kalau wang sudah habis sebelum akhir tahun tersebut sedangkan permintaan masih ada, kita tangguh dulu untuk memberinya pada tahun hadapan. Tiada masalah, bajet sudah ada peruntukan tidak ada. Masuk tahun hadapan kita serahkan peruntukan tersebut.
Dalam hal ini orang sengaja membuat isu. Misalnya tentang 'parti durian'. Bukan saya seorang yang buat 'parti durian' cuma parti saya lebih atraktif. Parti durian saya lebih murah jika dibandingkan dengan pihak lain. Beli durian, buka dan duduk makan, kulit durian masuk semula ke dalam lori. Tiada perkakas lain yang digunakan. Tetapi bila sampai ke Selcat lain yang diceritakan.
Semua pihak nampaknya bertembung dengan tuan. Apa strategi tuan dalam mengadapi situasi ini?
Strategi saya tidak banyak. Saya cuma kena terima kenyataan itu dan kemudian diam atau low profile. Kalau ada sesiapa yang mahu membuat kenyataan terhadap saya, saya cuma kata 'no comment'. Dahulu saya banyak 'coment' sekarang saya tidak ada 'coment'. Keadaan seperti itu sudah dua bulan saya lakukan. Kalau ada pihak akhbar mahu mengadakan wawancara bersama, jawapan 'no coment' saya berikan di mana sahaja saya pergi.
(Gambar: Ronnie menunjukkan kepala surat barunya yang berangka rujukan untuk mengelakkan ia disalahgunakan selepas ini)
Saya buat strategi seperti itu sebab serangan yang dilakukan terhadap saya akhir-akhir ini nampaknya sudah tidak masuk akal. Mereka mahu saya gagal dan letak jawatan. Bila saya letak jawatan, senang bagi semua orang kerana ada yang mahu kerusi saya, kuasa, ada yang cemburu dan kalau saya tidak ada mereka senang cari makan. Mereka fikir, selama ini saya yang buat kacau dan mendatangkan masalah kepada mereka. Misalnya pencuri pasir, salahkan saya walaupun bukan saya yang menjaga pasir. Keadaan ini berlaku sebab bila ada orang yang bertanya tentang pasir, saya berani cakap. Begitu juga dengan isu lain. Saya berani buat keputusan tanpa menunggu penjelasan dari Tan Seri (Menteri Besar) sekiranya ianya berkaitan dengan portfolio saya. Jadi dalam hal ini walaupun ramai kawan, musuh saya juga makin ramai. Nak buat macam mana, sudah nasib saya. Trouble is my life, kalau tidak ada 'trouble' itu bukan saya.
Saya kena terima walau seteruk manapun. Cuma saya mahu semua kawan-kawan saya dalam parti terutama ketua saya jangan salah faham terhadap saya. Kalau ada perkara yang tidak faham, bertanyalah kepada saya. Kalau tidak percaya kepada saya, pergi ke Pandamaran siasat dan semak. Tanya di kedai-kedai kopi, tanyalah orang India di sana, bagaimana gerak kerja dan kebajikan yang Ronnie Liu lakukan. Kalau percaya saya, tanya saya adakah setiap kenyataan yang tersiar itu betul atau tidak.
Misalnya rumours (berita angin) yang mengatakan spa di Kajang yang membayar RM1 juta kepada saya. Pada awalnya gangster yang membuat dakwaan itu. Bila saya tanya siapa nama gangster tersebut, tiada. Nama spa mana, tiada sedangkan terdapat tiga spa di Kajang. Duit yang dibayar supaya spa tersebut mendapat perlindungan daripada saya. Sebenarnya spa tidak boleh mendapat perlindungan daripada saya. Cuma pihak polis sahaja boleh beri pelindungan.
Saya juga ada dengar cerita mengatakan bahawa saya banyak menolong pihak pemaju sehingga pemaju memberi banyak rumah kedai kepada saya. Tetapi bila saya bertanya pemaju mana yang memberi rumah kedai tersebut, mereka tidak boleh memberi jawapan.
Ada juga cerita yang mengatakan bahawa di bawah Ronnie sudah buka 10,000 rumah urut. Biasanya sebuah rumah urut bayar RM10,000 kepada Ronnie, kalau 10,000 buah dalam poket saya sudah ada ratusan juta sedangkan semua itu hanyalah cerita yang tidak masuk akal. Dalam hal ini, saya dikatakan gangster yang memberi pelindungan kepada rumah maksiat dan saya dapat wang yang banyak. Seolah-olah saya sangat berkuasa sehingga saya boleh buat apa sahaja.
Bersemuka dengan Ronnie Liu
Lainnya dari
Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 8:58 PM Kategori:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Blog Archive
-
▼
2010
(924)
-
▼
October
(291)
-
▼
Oct 04
(16)
- Mahasiswa UUM diberi amaran 'jauhi' Galas
- Orang Asli dakwa diganggu dan dibuli
- The March to Putrajaya yang diharam kini di internet
- 'Si sepet, si kaki botol': Hamim buat laporan polis
- Bersemuka dengan Ronnie Liu
- Perkauman: Umno tiada pilihan lain
- 3 PM Punya 3 Iklan Yang Rugikan Rakyat
- Tujuh Mitos Tujuh Penipuan di Malaysia HAYATI BERS...
- PEMBAZIRAN DAN KERUGIAN???? Benarkah Ini..
- Lawan Perkasa bermakna Azmin Ali berperang dengan ...
- Mahfuz yakin Ku Li tidak mahu galas biawak hidup
- MP Anthony Loke dirompak RM10,000
- Selangor beri buku teks agama percuma
- Raja Petra tidak lagi sehaluan dengan Pakatan?
- Puad kena ‘boo’ kata Kelantan tidak disisih
- Biarkan Umno terjun dengan labu-labunya
-
▼
Oct 04
(16)
-
▼
October
(291)
0 comments:
Post a Comment