Sukan Komanwel: Kami sedar Aricco guna logo Sabah bukannya Malaysia, kata Razali

Aricco Jumitih mengangkat bebanan 156kg bagi acara Clean & Jerk untuk merangkul pingat emas dalam acara Angkat Berat Lelaki 62 kg di Kompleks Sukan Jawaharlal Nehru pada Sukan Komanwel Selasa lalu. — Foto Bernama
 
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim mengakui pihaknya menyedari insiden isu jersi membabitkan atlet angkat berat Aricco Jumitih pada Sukan Komanwel di New Delhi, yang tidak menggunakan logo Malaysia, sebaliknya menggunakan logo dan nama “Sabah”.

Dalam acara angkat berat kelas 62 kilogram Selasa lalu, Aricco memakai jersi yang mempunyai logo negeri kelahirannya Sabah bukan Malaysia yang lazimnya digunakan oleh mana-mana atlet negara ketika menyertai temasya antarabangsa.




Aricco menyumbangkan sebutir emas iaitu yang kedua kepada Malaysia menerusi acara tersebut.

“Kita tunggu bincang dulu dengan persatuan (angkat berat) tentang isu ini (jersi).

“Saya tahu mengenai perkara itu, tapi biar kita bincang dulu. Saya tidak mahu memberi komen lagi,” kata Razali ketika dihubungi The Malaysian Insider.

The Malaysia Insider difahamkan Razali kini berada di New Delhi.

Perkembangan itu dilihat sebagai isu kedua membabitkan pakaian atlet negara yang menyertai edisi 2010 Sukan Komanwel.

Awal minggu ini, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Zolkples Embong berkata, perbarisan kontinjen negara ketika perasmian Sukan Komanwel Ahad lalu tidak kemas kerana atlet dan pegawai mengabaikan aspek pemakaian.

Beliau menegaskan, tidak timbul isu mengapa kontinjen negara tidak memakai baju Melayu atau berbaju batik, semata-mata untuk menonjolkan imej Malaysia.

Sebaliknya, pakaian yang digunakan pada perbarisan kelmarin, iaitu memakai blazer hitam dan kemeja kuning, sudah memadai.

Katanya, soal apa yang hendak dipakai pada perarakan tersebut, bukan masalah tetapi aspek kurang kemas berpakaian, menyebabkan kontinjen negara nampak ‘berserabut’.

“Saya nampak perbarisan kontinjen negara pada malam perasmian semalam, tidak kemas.

“Ia bukan disebabkan salah memilih pakaian. Ini bukan kali pertama kita memakai blazer pada temasya sukan yang besar. Cuma semalam, saya lihat atlet tidak kemas. Blazer yang mereka pakai tidak dibutangkan. Mereka juga tidak memakai tali leher.

“Ada yang bersongkok, ada yang tidak. Kalau pakai songkok pun ala kadar sahaja.

“Inilah yang menyebabkan kontinjen kita nampak tidak kemas pada perarakan semalam,” kata beliau dipetik akhbar tempatan.

Kontinjen negara setakat pagi tadi telah mengumpul tiga pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Hari ini, para atlet memburu 42 pingat emas yang dipertaruhkan.

Sukan Komanwel bermula pada 3 Oktober dan berakhir 14 Oktober.

No comments:

Post a Comment