Galas: Ku Li bingkas pimpin Umno

Kemenangan jentera Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas mungkin akan mendorong ahli-ahli Umno untuk bingkas mereformasikan parti mereka dengan memastikan bekas Menteri Kewangan itu memimpin parti tersebut.

"Prestasi Razaleigh dalam pilihan raya itu merealisasikan impian Umno yang tercari-cari pemimpin yang boleh menyatukan semua pihak tanpa berhempas pulas untuk menjadi semua benda kepada semua orang," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Mahfuz melihat kemenangan jentera Razaleigh di Galas sebagai kejayaan peribadi beliau dalam usahanya untuk mengajar pemimpin-pemimpin Umno hari ini tentang kepimpinan yang diterima oleh semua bangsa.

"Ketika (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) bersusah payah dalam usahanya untuk menyogok konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Apco Worldwide kepada ahli-ahli Umno yang jelas lebih tertarik kepada Perkasa yang dipromosikan oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad), Razaleigh dengan mudah membuktikan bahawa stail kepimpinannya adalah sesuatu yang amat diperlukan oleh Umno untuk membolehkan parti itu diterima oleh semua kaum," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau membangkitkan khabar yang tersebar luas yang mendakwa Perkasa disokong kuat di belakang tabir oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pelbagai pesanan kepada presiden pertubuhan itu, Datuk Ibrahim Ali supaya terus berjuang.

Menurut Mahfuz lagi, faktor Razaleigh yang menjadi penyebab kemenangan jentera pimpinannya di Galas itu merupakan bukti yang jelas bahawa kepimpinan beliau diterima oleh akar umbi Umno dan BN.

Lebih menarik lagi, kata Mahfuz, Razaleigh yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dan kuasa di dalam kerajaan untuk menaburkan wang dan projek berjaya menghimpunkan ahli-ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk berhempas pulas di belakangnya bagi menggerak dan menguatkan jenteranya di Galas.

"Bukan sahaja beliau tidak mampu menjanjikan kekayaan dan projek kepada mereka yang membantu jenteranya dalam pilihan raya kecil itu, malah beliau sendiri menerima bantuan yang sangat minimum dari para pemimpin dan tokoh-tokoh besar Umno.

"Tidak seperti pilihan raya kecil Hulu Selangor dahulu, tidak ada sokongan habis-habisan Najib yang datang berkali-kali untuk berkempen, tidak ada Dr Mahathir datang berkempen, namun Razaleigh tetap berjaya membuktikan kemampuannya dengan peratusan majoriti yang jauh lebih baik dari yang dicapai oleh pasukan yang diketuai Najib di Hulu Selangor," katanya.

Mahfuz juga membayangkan jika Umno dan BN dipimpin oleh Razaleigh yang mahir, handal, berhemah dan tidak ada baggage, Pakatan Rakyat (PR) perlu mengkaji strateginya untuk berhadapan dengan keadaan itu.

"Bagamaimana pun, kita harap perkara itu tidak berlaku kerana kita merasa lebih baik kita berhadapan dengan Najib dan Muhyiddin yang semakin ketara berlainan arah," katanya.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 9:03 PM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III