Penduduk Merapi berkorban kerana lembu

Dek terlalu sayangkan lembu peliharaan mereka, ramai penduduk di lereng Merapi menjadi korban letusan gunung berapi itu kali ini.

"Mengapa banyak orang meninggal, kerana mereka cinta kepada sapinya," kata Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Dr Syamsul Maarif.

Hubungan itu sangat istimewa sehingga penduduk di situ enggan menjual lembu-lembu itu walaupun kerajaan menawar untuk membeli semua haiwan peliharaan mereka bagi mengelakkan mereka sering pulang rumah semasa Merapi masih aktif meletus sekarang.


Ada penduduk yang enggan berpindah ke pusat pemindahan kerana tidak mahu berpisah dengan lembu mereka, dan bagi yang berpindah pula, mereka akan kembali setiap hari ke rumah masing-masing untuk memberi makan lembu dan memerah susunya untuk jualan dan pendapatan mereka.

"Ada seorang perempuan warga mas di pusat pemindahan yang merintih kepada pasukan penyelamat untuk membawanya pulang ke rumah setiap hari semata-mata untuk bertemu dengan lembu-lembunya, dan selepas mengusap dengan penuh kasih sayang haiwan itu dengan tangannya selama beberapa ketika, beliau baru boleh dibawa turun semula ke pusat pemindahan," katanya.

Sehingga kini, bilangan kematian bencana letusan Merapi meningkat lebih 200 orang dan ia terus meningkat apabila pasukan pencari dan penyelamat menemui mayat-mayat penduduk yang dilaporkan hilang dalam kejadian letusan paling dahsyat pada 5 Nov lalu.

Kecuali pada hari itu apabila Merapi meletus paling dahsyat dan di luar dugaan yang menyebabkan sebilangan penduduk mati kerana tidak sempat menyelamatkan diri, kebanyakan kes kematian dalam bencana kali ini ialah penduduk pulang untuk memberi makan lembu mereka dan sekaligus mengambil susu.

Pemeliharaan lembu, kebanyakannya jenis tenusu, merupakan budaya hidup masyarakat di lereng Merapi sejak sekian lama. Pada masa ini terdapat puluhan ribu lembu di lereng gunung berapi berusia 400,000 tahun itu.

Tinjauan Bernama di lereng gunung itu sebelum Merapi meletus mendapati pemandangan biasa di situ ialah kebanyakan penduduk berjalan kaki membawa sabit yang tajam bagi memotong rumput di kawasan yang menghampiri puncak Merapi dan rumput itu menjadi makanan penting lembu mereka.

Tinjauan terkini pula mendapati banyak motosikal sarat dengan muatan rumput, kadang-kadang melebihi ketinggian kepala penunggang motosikal itu, diangkut mendaki gunung itu.

"Kami terpaksa membeli rumput dari bawah untuk memberi makan lembu kami kerana rumput-rumput di sini sudah dimusnahkan awan panas abu volkanik Merapi yang meletus beberapa kali sebelum ini," kata Maria Seger Rahayu.

Maria, pengusaha butik di pekan kecil Surowono, Klaten, merupakan antara keluarga yang enggan berpindah kerana mahu menjaga perniagaannya selain menjaga lembu peliharaan keluarganya.

"Boleh dikatakan setiap rumah memelihara lembu, kami ada lima ekor, ada keluarga yang mempunyai lapan ekor dan lebih," katanya.

Persoalannya ialah jika ini penyebabnya banyak kematian, kenapa lembu-lembu itu tidak dipindahkan ke kawasan selamat bersama penduduk agar mereka tidak perlu kembali ke rumah masing-masing bagi menjaga lembu-lembu itu.

"Lembu-lembu ini jumlahnya puluhan ribu, di Boyolali sahaja ada 50,000 ekor. Sebagai jalan keluar Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah mengusulkan agar kerajaan membeli semua sapi ini, namun ia bukan semudah itu kerana faktor hubungan istimewa penduduk dengan lembu-lembu peliharaan mereka itu," katanya.

Operasi pemindahan penduduk merupakan satu lagi cabaran BNPB kerana ada penduduk yang akan bersembunyi ketika anggota pasukan penyelamat berkunjung ke rumah mereka untuk dipindah dan diselamatkan. 

Bagaimanapun pihak berkuasa tidak pernah berputus asa dalam usahanya dan antara tindakan yang dilakukan ialah menggunakan anggota tentera bagi melakukan pemindahan paksa iaitu dengan menangkap mereka yang enggan berpindah walaupun terpaksa berdepan dengan sebahagian penduduk yang menjerit dan meronta-ronta dalam proses pemindahan itu.

Dalam usaha menyelamatkan nyawa dalam keadaan kecemasan pula, anggota pasukan penyelamat bukan lagi mengetuk pintu rumah mengejutkan penduduk, malah mereka terpaksa memecahkan pintu dan terus mengangkat penduduk yang sedang nyenyak tidur dalam kes Merapi meletus di waktu dinihari.

Sejak Merapi meletus kali pertama pada 26 Okt lepas, jumlah penduduk yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan bertambah daripada belasan ribu orang kepada 500,000 orang sekarang. Radius jarak keselamatan pula telah diperluaskan dari 10km di luar puncak Merapi itu kepada 20km sekarang. 

"Menguruskan 500,000 orang ini yang dengan pelbagai ragam manusia bukan suatu perkara yang mudah. Kami terpaksa menyediakan pelbagai kemudahan dan keperluan harian yang asas selain memberi makan mereka tiga kali sehari.

"Dengan adanya kemudahan telefon bimbit, kumpulan-kumpulan penduduk juga sering berpindah dari satu pusat pemindahan ke pusat pemindahan lain apabila tertarik dengan menu makanan di tempat itu.

"Masing-masing ada telefon bimbit, mereka akan bertanya rakan-rakan di pusat pemindahan lain apa menunya di sana? Jika sesuai dengan selera mereka, mereka berpindah pula ke situ," kata Dr Syamsul.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 10:46 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III