Imam Bukhari di dalam Shahihnya, meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda yang maksudnya:
“Apabila amanat itu disia-siakan, maka tunggulah datangnya kiamat. Para Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah maksud disia-siakan amanat itu?” Sabda Rasulullah s.a.w, “Apabila perkara itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya kiamat”!”
Anda pernah mendengar maksud hadis itu di dalam mana-mana ceramah atau kempen politik para pemimpin PAS? Anda tentu maklum mengapa hadis tersebut dibacakan di hadapan khalayak. Sudah tentu bertujuan untuk menaikkan saham para pemimpin PAS berbanding pemimpin-pemimpin UMNO yang menurut mereka tidak layak dipilih sebagai pemimpin.
Alasannya, para pemimpin PAS berketayap putih, berserban dan berjanggut kambing, atau lebih tepat, berpakaian agama dengan pengetahuan yang fasih dan faqih dalam bidang-bidang keagamaan. Dan bersandarkan kepada kata-kata Nik Abdul Aziz bahawa ‘ulama lebih berkelayakan untuk memimpin negara’, maka mereka berusaha untuk menjadikan dan menampakkan diri seulama mungkin.
Pun begitu, di dalam Fiqh Siyasah terdapat beberapa kaedah untuk memilih pemimpin. Bagaimanapun, artikel kali ini menyentuh tentang pandangan Ibn Taimiyyah di dalam kitabnya, As-Siyasah Syar’iyyah fi Isylahir-Ra’i war-Ra’iyyah dalam hal kriteria-kriteria yang diperlukan untuk memilih pemimpin, menjadi pemimpin dan hukum-hukum.
Menurut Ibn Taimiyyah, pembahasan tentang perlaksanaan amanat negara terdiri daripada dua bab iaituwalayat (jawatan dan kaedah perlantikan pemimpin) dan harta negara. Kedua-dua bab ini bermuasal daripada ayat 58 dan 59 Surah An-Nisa’ yang asbab turunnya ayat adalah peristiwa penyerahan dan penjagaan kunci Kaabah kepada Uthman bin Talhah bin Abdul ad-Dar dari Bani Syaibah serta keturunannya.
Melantik Pemimpin yang Paling Layak dan Sesuai (Asylah)
Sudah menjadi kewajipan dari kalangan pemimpin dan pemerintah (waliyyul-amri) untuk melantik orang yang paling berkelayakan dan sesuai untuk menyandang tugas. Ianya sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim dalam Kitab Shahihnya yang bermaksud:
“Sesiapa yang membebankan suatu tugas kepada seseorang (dalam sebuah amal) untuk sekelompok manusia, sedangkan dia mengetahui seseorang daripada kelompok itu orang yang lebih baik daripada orang yang dipilihnya, maka dia telah berkhianat kepada Allah, kepada rasul-Nya dan kepada kaum Muslimin.”
Sebahagian ulama meriwayatkan, hadis tersebut adalah ucapan Syaidina Umar al-Khattab r.a kepada anaknya, Abdullah bin Umar r.a.
Perlantikan jawatan untuk menguruskan kaum Muslimin adalah mutlak dan harus dilaksanakan. Oleh kerana itu, perlu dilakukan pilihan yang amat cermat bagi orang-orang yang layak (al-mustahiqqin) untuk menjawat jawatan tersebut seperti naib (nuwwah) di pelbagai kota (amshar), gabenor atau kepala negeri (umara’) yang mewakili pemerintahan (dzawi as-sulthan) di daerah, ketua penghakiman (hakim), juga panglima-panglima ketenteraan dan seterusnya bermula dari panglima tertinggi sehingga yang terendah, dan juga para penguasa dalam bidang kewangan seperti menteri-menteri urusan kewangan (uzara’), pengumpulan dana, pengurus dana untuk ilmu pengetahuan dan kebajikan, penarikan pajak kharraj dan zakat serta harta-harta lain yang dimiliki kaum Muslimin.
Oleh kerana itu, sudah menjadi kewajipan bagi yang memberi kepercayaan tentang urusan pentadbiran kaum Muslimin kepada seseorang, dengan menyerahkan tugas tersebut kepada orang yang mempunyai kriteria yang paling tepat (asylah) dan mampu menjalankan tugas tersebut serta tidak menyerahkan jawatan tersebut kepada seseorang yang meminta kedudukan (thalaba al-walayat) atau yang tampil serta berkempen untuk mendapatkan kedudukan.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Sesiapa sahaja yang meminta menjadi hakim dan berusaha untuk itu, maka dia akan terbebani olehnya. Dan sesiapa sahaja yang tidak meminta untuk menjadi hakim dan tidak berusaha untuk memintanya [kemudian dia dilantik ke jawatan tersebut], maka Allah akan menurunkan malaikat agar membimbingnya ke jalan yang lurus.” (Hadis riwayat Ahlus-Sunan)
Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abdur-Rahman bin Sumrah yang bermaksud:
“Wahai Abdul-Rahman, janganlah sesekali engkau meminta jawatan. Maka jikalau engkau memegang jawatan itu tanpa engkau minta, engkau akan diberi pertolongan untuk melaksanakannya. Namun jikalau jawatan itu diberikan kepadanya kerana engkau minta, maka engkau terbebani kerananya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Apabila merampas jawatan daripada seseorang yang lebih layak dan tepat untuk memegangnya atas faktor kekeluargaan, persahabatan atau sama parti politik mahupun kerana sogokan, maka ianya merupakan satu perbuatan yang berbentuk pengkhianatan kepada Allah Taala dan Rasul-Nya.
Begitu juga, apabila perasaan cinta yang berlebihan kepada seseorang sehingga jawatan diberikan secara sembrono kepadanya, juga merupakan khianat terhadap amanah. Malah, apabila seseorang melimpahkan hartanya atau ilmunya bagi mendorong agar sokongan orang ramai berpihak kepadanya (muhabah) bagi mendapatkan kedudukan (al-walayat), perbuatan itu bukan setakat mengkhianati Allah Taala dan Rasul-Nya, bahkan tidak menepati amanat yang diberikan.
Sedangkan orang yang melaksanakan amanah sekalipun bertentangan dengan hawa nafsunya, maka Allah Taala akan meneguhkannya, menjaga serta memelihara keluarga dan harta bendanya. Sementara bagi orang yang menurut hawa nafsunya, Allah Taala akan menyiksanya dengan menakdirkan sesuatu yang merupakan kebalikan (naqidh) daripada tujuannya, yakni menimpakan kehinaan kepada keluarganya, sekaligus melenyapkan hartanya.
Sebuah hadis Rasulullah s.a.w bermaksud:
“Setiap seorang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap orang antara kamu akan diminta tanggungjawab tentang yang dipimpinnya. Seorang pemimpin adalah pengembala bagi rakyatnya. Maka dia akan ditanya tentang apa yang digembalakannya. Seorang isteri adalah pemimpin di rumah suaminya, dan dia akan ditanya tentang apa yang digembalakannya, dan seorang anak adalah pengembala harta ayahnya, maka dia akan ditanya tentang apa yang digembalakannya. Seorang hamba adalah pengembala daripada harta majikannya, maka dia akan ditanya tentang apa yang digembalakannya. Ingatlah bahawa kamu semua adalah pengembala dan kamu semua akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang digembalakan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam sebuah kisah, diceritakan tentang Abu Muslim al-Khaulani r.a yang masuk Islam pada masa Nabi s.a.w masih hidup dan merupakan salah seorang tokoh tabiin. Abu Muslim telah masuk ke istana Khalifah Muawiyyah bin Abi Sufyan r.a seraya berkata, “Semoga keselamatan atas kamu, wahai orang upahan (ajir)!”
Para pengawal Muawiyyah segera membentak, “Katakan, wahai sang pemimpin (amir)!”
Abu Muslim sekali lagi mengulangi salamnya, “Semoga keselamatan atas kamu, wahai orang upahan!”
Pengawal-pengawal itu kembali memerintah, “Katakan, wahai sang pemimpin!”
Ketika itulah, Muawiyyah r.a bangkit dan berkata, “Biarkan Abu Muslim berkata sekehendaknya, kerana dia lebih tahu atas perkataannya.”
Abu Muslim pun berkata, “Sesungguhnya kamu wahai Muawiyyah, adalah orang upahan Allah Taala yang telah menyewakan kambing-kambing ini untuk kamu gembalakan! Maka jika kamu menyapu qatiran(sejenis ubat kudis bagi binatang) pada tempat sakitnya, kamu telah mengubati penyakitnya dan jika kamu jaga dari kambing yang pertama sampai kambing yang terakhir, nescaya pemilik kambing ini akan memenuhi upahnya kepada kamu. Namun jika kamu lalai untuk menyapu ubat pada penyakit kudis kambing-kambing ini, bahkan tidak mengubati yang sakit dan tidak pula mengurus mahupun menjaga, tentulah pemilik kambing-kambing ini akan menghukum kamu!”
Itu adalah gambaran yang boleh kita jadikan sebagai bahan pelajaran. Sesungguhnya makhluk itu adalah hamba-hamba Allah Taala, dan para wali (pengurus dan pemimpin) adalah wakil-wakil Allah Taala untuk hamba-hamba-Nya. Sementar itu, pada masa yang sama, mereka juga adalah wakil-wakil hamba atas diri mereka sendiri. Maka dalam lingkup demikian, terkandung makna walayat (jawatan dan kekuasan) dan wakalah (perwakilan)
Bersambung
PENULIS: Kelembai Bukit
0 comments:
Post a Comment