Speech By : DATO’ SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Title :SEMASA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1993
Location : DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR
Date : 18-01-1993
11. Di zaman penjajahan British, oleh kerana mereka boleh menaik atau menurunkan Raja, maka Raja menerima nasihat pemerintah kolonial. Perkara ini dimasukkan dalam perjanjian di antara pihak British dengan Raja-Raja Melayu di mana nasihat `British Resident` atau `British Adviser` mesti dipohon dan dipatuhi oleh Raja melainkan berkenaan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Bagi British, nasihat yang mesti dipatuhi oleh Raja tidaklah ganjil kerana dalam sistem Kerajaan di Britain, `King` atau `Queen` mereka mesti menerima nasihat Kerajaan. Jika tidak, Raja akan diturunkan dari takhta. Oleh itu apabila King Edward VIII berkeras untuk berkahwin dengan seorang janda, baginda terpaksa turun dari takhta atas nasihat Kerajaan, walaupun tidak ada peruntukan khusus untuk tindakan ini. Yang dikuatkuasakan bukan undang-undang tetapi kepentingan politik negara, dan Raja-Raja British memang akur kepada politik negara. Sebab itulah sebelum pun Parlimen British memutuskan supaya Queen Elizabeth membayar cukai pendapatan, Baginda sendiri baru- baru ini membuat keputusan untuk membayar cukai pendapatan.Perlembagaan British, walaupun tidak bertulis, dipatuhi daripada segi semangat dan adat.