Seramai 1,000 lagi warga emas di Pulau Pinang dijangka memulangkan semula wang ehsan RM100 yang diterima dari kerajaan negeri selepas curiga dengan sumber wang yang mungkin datang dari kegiatan perjudian.
Menurutnya, pengakuan Ketua Menteri Lim Guan Eng sendiri sebelum ini telah menyebabkan lebih ramai lagi warga emas akan berbuat demikian dalam masa yang terdekat kerana mereka tidak sanggup menggunakan wang dari sumber haram.
"Kami menjangkakan lebih kurang 1,000 warga emas lagi akan memulangkan wang ehsan tersebut kepada Umno Bahagian masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Pemuda Barisan Nasional negeri yang dipengerusikan Ketua Pemuda Gerakan, Oh Tong Keong (bawah, kanan) di Georgetown hari ini.
"Kami tidak memaksa mereka tetapi mereka tidak sanggup guna wang sumbangan yang berasal dari sumber haram," katanya yang menjawab dakwaan kerajaan negeri bahawa warga emas itu dipaksa untuk mengembalikan wang ehsan mereka.
Norman berkata pemuda Umno negeri akan mengumpulkan semua wang itu dan akan mengembalikan wang itu secara rasmi kepada kerajaan negeri tidak lama lagi.
Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Abdul Kassim seharusnya meletak jawatannya kerana gagal memaklumkan orang ramai sebelum mengagihkan dana itu.
Media baru-baru ini, melaporkan Pemuda Umno negeri mendakwa kerajaan negeri menggunakan sumbangan sebuah syarikat perjudian sebagai wang ehsan kepada warga
emas negeri itu.
Dakwaan itu berdasarkan sepucuk surat yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program tersebut.
0 comments:
Post a Comment