Kes PKFZ: Peguam Negara sedia bekal Liong Sik dokumen rahsia Kabinet

Peguam Negara memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa beliau akan berkongsi dokumen-dokumen rahsia kerajaan termasuk minit mesyuarat Kabinet dalam kes skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) RM12.5 bilion, yang melibatkan bekas menteri pusat Tun Dr Ling Liong Sik.
Dr Ling berhadapan dengan tuduhan menipu kerajaan Malaysia dalam isu urus niaga tanah bagi projek PKFZ.
Mahkamah Tinggi menetapkan 3 hingga 20 Mei depan sebagai tarikh perbicaraan.

Tan Sri Abdul Gani Patail memberitahu mahkamah, pihaknya tiada masalah untuk menyediakan pasukan pembela bekas Menteri Pengangkutan dan bekas presiden MCA itu sebagaimana diminta, tetapi akan mengambil sedikit masa untuk memprosesnya kerana terdapat lebih 100 dokumen.
“Saya tiada masalah. Saya akan menyediakan dokumen-dokumen itu,” kata beliau ketika menjawab permintaan peguam utama pasukan pembela Wong Kian Kheong hari ini.
Terdahulu Wong memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak menerima apa-apa dokumen yang diminta daripada pasukan pendakwa raya.
Gani berkata, beliau boleh mengeluarkan dokumen-dokumen itu pertengahan bulan depan.
Akhir bulan lalu, kes penipuan RM1.08 bilion berkaitan PKFZ yang membabitkan Dr Ling dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dr Ling, 67, menghadapi pertuduhan penipuan terhadap kerajaan Malaysia dengan mengelirukan Kabinet mengenai pengambilan tanah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang.
Menurut pertuduhan utama, beliau didakwa menipu Kabinet untuk mempersetujui pembelian tanah mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).
Beliau dituduh menipu Kabinet dengan memberikan kebenaran untuk membeli tanah itu mengikut terma-terma dengan secara tidak jujur menyembunyikan fakta bahawa penilaian oleh Jabatan Perkhidmatan Penilaian dan Hartanah, Kementerian
Kewangan bagi tanah itu adalah RM25 kaki persegi untuk tempoh pembayaran balik selama 15 tahun, termasuk kupon dan faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh pembayaran tersebut.
Dengan itu, beliau mendorong Kabinet untuk memberikan kebenaran dengan pembelian tersebut, sedangkan Kabinet tidak akan memberikan kebenaran jika fakta-fakta telah dimaklumkan kepada jemaah menteri.
Menurut pertuduhan itu, penipuan dilakukan dengan diketahui beliau yang boleh menyebabkan kerugian kepada kerajaan Malaysia, di mana beliau ada kepentingan dalam urusan berkaitan penipuan itu dan beliau terikat dengan undang-undang untuk melindunginya.
Dr Ling didakwa melakukan kesalahan itu antara 25 September dan 6 November 2002 di Level 4, Pejabat Perdana Menteri di Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Jika sabit kesalahan, Dr Ling boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya.
Dr Ling juga menghadapi satu pertuduhan pilihan menipu kerajaan dengan mengelirukan Kabinet mengenai pengambilan tanah untuk projek yang sama di tempat dan masa yang sama.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 1:39 PM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III