Kenyataan Sultan Selangor sahkan Umno khianat Raja-raja Melayu- Saifuddin



Kenyataan Sultan Selangor membuktikan Umno sebenarnya yang tidak menghormati Raja-raja dan bukan Pakatan Rakyat seperti yang selalu dituduh Umno, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail. Beliau mengulas kenyataan Sultan Selangor semalam yang mengakui tidak lagi mempunyai kuasa selepas kuasa tersebut dilucutkan Umno pada tahun 1993. Sultan Selangor berkata demikian ketika menerima mengadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid untuk membincangkan isu pelantikan Dato’ Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.


Ketika pindaan Perlembagaan pada tahun 1993, Tun Mahathir yang menjadi Presiden Umno meminda Perlembagaan untuk menghapuskan dan melucutkan kekebalan Raja-raja Melayu.



Menurut Saifuddin, hikmah daripada peristiwa Khusrin ini, rakyat dapat lihat siapa yang mengkhianati Raja, dan siapa yang mahu mengembalikan kuasa Raja-raja.
“Pada hari ini Umno berharap rakyat melupakan bahawa merekalah yang menghapuskan kuasa Raja-raja Melayu. Sedangkan hakikatnya merekalah yang telah menghapuskan kuasa Raja-raja Melayu pada tahun 1993,” kata Saifuddin sewaktu dihubungi KeadilanDaily.com\




Saifuddin seterusnya mengimbau kembali peristiwa bagaimana Umno menghina Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz (Almarhum) dalam Perhimpunan Agung Umno 1991. Menurut beliau, wakil Umno Selangor yang juga Setiausaha Politik Muhammad Mohd Taib, Dato’ Zainal Abidin Sakom menyerang habis-habisan peribadi Tuanku dalam perhimpunan tersebut.


“Ucapan Zainal Abidin disambut meriah perwakilan Umno seterusnya membawa kepada pindaan mengurangkan kuasa Raja-raja ” kata Saifuddin.


Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataan akhbar semalam menjelaskan bahawa Selangor akan memanggil sidang tergempar khas Dewan Undangan Negeri untuk meminda Undang-Undang Tubuh termasuk mengembalikan semula kuasa Raja-raja.


“Jika benar Umno benar-benar menghormati Raja-raja Melayu, mereka tidak akan menolak usul tersebut nanti. Jika mereka menolak, bererti Umno dengan sendirinya mendedahkan pekung mereka selama ini yang mengkhianati Raja-raja Melayu,” kata Saifuddin lagi.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 7:21 PM Kategori:

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III