PERKASA: Pemimpin Melayu kebulur undi Kristian

NONEKumpulan pendesak Melayu PERKASA hari ini menyatakan rasa kecewanya terhadap pemimpin Melayu dalam pelbagai parti yang didakwanya "kebulur" terhadap undi Kristian sehingga "menggadaikan maruah Islam".

Setiausaha agungnya Syed Hassan Syed Ali (kiri) berkata, sikap itu kelihatan apabila pemimpin Melayu Umno, PAS dan PKR berdiam diri dalam pelbagai isu, termasuk kes pemeriksaan sebuah gereja di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.

"Jangan fikir soal parti lagi. Pemimpin Islam mesti bersatu, mesti berhenti kejar undi Kristian.

"Kenapa kebulur sangat pada undi Kristian sehingga menggadaikan maruah Islam?" soalnya.

Bercakap dalam sidang media di perkarangan Masjid Negara, Syed Hassan berkata, bermula dengan kontroversi penggunakan kalimah Allah, penganut Kristian mengasak umat Islam dengan pelbagai isu, sehingga kes pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).


NONEJusteru, PERKASA memohon supaya Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam menitahkan supaya pemimpin Islam bersidang bagi membincangkan isu murtad.

Bagaimanapun, tambahnya, PERKASA tidak perlu menjadi orang tengah kerana pemimpin politik itu "masing-masing pandai dan ada otak".

Ditanya tentang asas kebimbangannya sedangkan jumlah orang Kristian di negara ini cuma 9 peratus, Syed Hassan berkata:

"Itulah yang kita pelik, 9 peratus sahaja, kenapa hendak kejar sangat undi mereka?"

30 anggota berdemo
Beliau juga berharap JAIS mempercepat siasatan terhadap isu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) dengan dibantu pasukan polis.

NONESebelum itu, Syed Hassan mengetuai hampir 30 anggota PERKASA berhimpun di masjid itu selepas solat Jumaat bagi menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap pemimpin dalam tiga parti Melayu terbesar itu.

Dalam acara ringkas tidak sampai 30 minit itu, mereka membawa pelbagai poster mengecam pemimpin Islam dan meminta supaya guru Kristian diharamkan di sekolah kebangsaan.

Bagaimanapun, ditanya tentang cadangan itu, Syed Hassan berkata pihaknya cuma berharap pihak berkuasa memantau guru-guru itu kerana dibimbangi menyampaikan ajaran Kristian kepada murid Islam.

"Kalau mereka boleh janji tidak buat perkara itu tidak mengapalah," katanya lagi.

Sementara itu, ditanya tentang sambutan tidak menggalakkan apabila tidak ramai menyertai perhimpunan itu, Syed Hassan mengaku kecewa dengan keadaan itu.

"Ini kita buat ad hoc sahaja. Semalam baru cetak poster," jelasnya kepada kira-kira 30 pemberita dan jurugambar.

ads

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III