Bajet 2011: Pakatan sinis, BN optimis

Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima reaksi sinis daripada wakil rakyat Pakatan Rakyat, namun wakil BN tetap optimis dengan angka-angka yang dikemukakan.

Antara yang menjadi sasaran ialah tindakan Najib mengumumkan rancangan kerajaan untuk memansuhkan duti import antara 5 peratus hingga peratus bagi 300 barangan pilihan pelancong – termasuk seluar dalam dan minyak wangi.

Ahli parlimen DAP Serdang Teo Nie Ching, dalam tulisannya di laman Twitter, antaranya mempersoalkan sama ada pengumuman itu merupakan “hadiah” Najib untuk isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Selain itu, sindiran juga disuarakan berikutan pengumuman peruntukan sebanyak RM111 juta untuk Program Pendidikan dan Pengasuhan Kanak-kanak (PERMATA), satu program bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang diusahakan Rosmah.Tambahan pula, JPM sendiri kali ini menerima peruntukan sebesar RM15 bilion. “Malangnya peruntukan untuk parlimen hanya RM78 juta,” kata ahli parlimen PAS Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

“Permata dapat RM111 juta dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) RM90 juta. Hebat lagi peruntukan First Lady,” katanya di laman Twitter, merujuk kepada nama jolokan kepada Rosmah.

Menulis lanjut, Dr Dzulkefly berkata peruntukan yang disediakan kerajaan dalam belanjawan kali ini juga menunjukkan trend yang sama dengan tahun lalu.

Peruntukan untuk pengurusan kekal besar – sebanyak RM162 bilion (RM131 bilion dalam bajet 2010), berbanding peruntukan untuk pembangunan sebanyak RM51 bilion (RM51 bilion bajet 2010).

Bagaimanapun, bajet kali ini tetap menerima reaksi positif daripada pemimpin BN. Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin yang mengusahakan BN Youth Lab bagi mendapatkan maklum balas daripada golongan muda.

Menulis di Twitter, Khairy ternyata gembira apabila Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta untuk Program Latihan 1Malaysia yang menyediakan kemahiran kepada golongan itu.

“Pendekatan Pemuda BN berteraskan partisipasi anak muda & idea menghasilkan perubahan hakiki dalam belanjawan hari ini.

“Syukur cadangan BN Youth Lab dimasukkan dalam Belanjawan 2011,” tulisnya lagi.

Katanya, kerajaan juga telah menerima cadangan makmal itu dalam menyediakan Skim Rumah Pertama, penetapan gaji minimum serta dana belia 1Malaysia.

Namun, pembentangan kali ini, yang disasarkan Najib sebagai "Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi" itu masih belum dapat meyakini wakil rakyat seperti ahli parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad.

“Nampaknya seperti bajet yang disasarkan untuk mendapatkan undi, bukannya ekonomi berpendapatan tinggi,” kata Khalid di Twitter, merujuk kepada pemberian kerajaan kepada golongan pemimpin masyarakat luar bandar yang diumumkan Najib.

Imbuhan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) kali ini dinaikkan daripada RM500 kepada RM800, manakala elaun bagi imam pula dinaikkan daripada RM450 dan RM750.

Selain itu Elaun pengerusi JKKK, JKKP dan Tok Batin Orang Asli juga dinaikkan menjadi RM800.
Sementara itu, Menteri pelancongan Datuk Ng Yen Yen pula berkata, tindakan kerajaan mengumumkan projek mega seperti pembinaan Menara Warisan setinggi 100 tingkat itu perlu bagi memastikan Malaysia dapat terus membangun.

“Jadi untuk kita sekarang, satu bangunan 100 tingkat akan meletakkan kita di peta kemajuan,” katanya kepada wartawan.

Beliau juga amat gembira dengan pengumuman kerajaan memansuhkan duti untuk 300 barangan kerana ia akan menggalakkan kedatangan pelancong ke negara ini.

“Tahun lepas, (jumlah perbelanjaan) pelancong untuk membeli-belah ialah kira-kira RM14 bilion, lebih kurang 30 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan (mereka).

“Kita percaya dengan langkah bebas cukai ini, nisbah perbelanjaan ini boleh meningkat hingga 38 peratus. Menjelang 2020, kita harap dapat mencapai (jumlah) RM50 bilion (perbelanjaan) untuk membeli-belah,” katanya lagi.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 2:07 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III