Rais: SKMM, polis selesai siasat 15 kes babitkan blog

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), serta polis sudah melengkapkan siasatan terhadap 15 kes yang membabitkan blog dan portal yang dikatakan menyiarkan fitnah dan tuduhan palsu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim.

Beliau berkata, laporan siasatan kesemua kes itu juga sudah dirujuk kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Jadi kita nak menekankan bahawa kerja-kerja siasatan dan susulan, beres di peringkat polis dan SKMM," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Perhimpunan Agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Rais berkata, kini terpulang kepada Peguam Negara untuk memutuskan sama ada hendak memulakan pendakwaan terhadap blog dan portal berkenaan.




Katanya, beliau turut bersetuju dan menyokong pandangan umum supaya penguatkuasaan undang-undang diperketatkan dan mereka yang bersalah dikenakan hukuman tegas.

Berhubung desakan perwakilan Umno yang mahu kerajaan bertegas dengan golongan yang sengaja menyebarkan berita palsu dan menggugat keharmonian di kalangan rakyat menerusi internet, Rais berkata jawatankuasa bersepadu antara Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Jabatan Peguam Negara, dan Kementerian Dalam Negeri bersetuju supaya tindakan tegas diambil dalam perkara itu.

"Memang alam maya ini bunyinya alam maya, tetapi undang-undang negara mesti dipatuhi," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa 140 pejabat penerangan daerah di seluruh negara sedang dinaik taraf dan dilengkapi dengan internet bagi kemudahan pengunjung setempat.

Katanya, bagi menggalakkan penghayatan gagasan 1Malaysia di kalangan rakyat, syarikat penerbitan drama khususnya televisyen digalakkan untuk menghasilkan drama bermutu bertemakan perpaduan kaum selain mengetengahkan drama dari Sabah dan Sarawak.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 10:28 PM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III