Bermula dari sesi pengenalan peserta Mari Menari (MM) lagi, Dita yang baru saja tersingkir pada minggu ke-3 MM telah dihambat dengan pelbagai isu panas terutama sekali isu berkaitan tudung. Isu ini dianggap berat kerana Dita atau nama sebenarnya Rudita Mohd Yusop telah berstatus sebagai seorang ibu kepada 5 orang anak.
Menjawab segala pertanyaan berkaitan isu yang berbangkit ini, Dita yang ditemani suaminya Mohamad Faidzal, 42, seakan sudah bersedia bagi menjelaskan isu tersebut. "Sebenarnya, saya memang seorang wanita yang bertudung. Terus-terang, saya buka tudung pun atas kerelaan saya sendiri tanpa ada paksaan atau hasutan dari sesiapa. Masa saya pergi ke uji bakat, saya masih lagi bertudung. Pun begitu, selepas berbincang dengan suami dan kerana tidak mahu mengecewakan hasrat anak yang mahu kami beraksi dalam MM , saya pun telah bersetuju untuk buka tudung".
Dia tidak kisah apa orang nak nilai dan kata tentang dirinya. Malah, dia mendakwa orang bertudung tidak semestinya mempunyai perilaku yang baik hati budi. "Saya bukan nak riak atau nak cakap saya ni baik. Hakikatnya, orang yang tak tinggal solat 5 waktu pun belum sah dapat masuk syurga. Sesungguhnya bagi saya, siapalah kita sebagai manusia biasa untuk menghukum atau menilai seseorang berdasarkan luaran saja".
"Apapun, kami masuk MM bukannya nak menang semata. Cukuplah sekadar dapat menunaikan impian anak kami yang mahu melihat ibu bapa mereka masuk TV". Menyokong pendapat isterinya itu, Faidzal yang bertugas sebagai bodyguard VVIP mengambil jalan selamat dengan mendiamkan diri.
"Hal bertudung ini susah nak dibahaskan. Semua terletak atas individu itu sendiri. Saya sebenarnya tak tahu nak cakap apatah lagi mengulasnya dengan lebih terperinci. Namun, saya hanya boleh kategori apa yang dilakukan isteri saya ini adalah pengorbanan dari seorang ibu untuk anak-anak".
Dita menegaskan bahawa selepas ini dia akan kembali bertudung seperti biasa. "Saya akan berimej seperti dulu. Saya buka tudung pun kerana masuk pertandingan sahaja. Sejujurnya, mak mentua saya seorang yang alim. Dia tak ada pula marah dengan tindakan saya"
0 comments:
Post a Comment