Hedonisme jadi budaya baru masyarakat

Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa melahirkan kebimbangan terhadap budaya hedonisme yang mendapat sokongan daripada Kerajaan Barisan Nasional sendiri apabila mencadangkan hub hiburan malam di negara ini.
Nasharudin ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, meskipun negara dapat menjana pendapatan yang tinggi hasil kemasukan artis luar negara, namun kerajaan harus mengambil kira sensitiviti umat Islam apabila memberikan kelulusan kepada artis luar yang secara terang-terangan mengamalkan budaya yang bercanggah dengan ajaran Islam.
"Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa Malaysia akan menjadi hub hiburan malam, satu pendekatan baru yang ingin diambil kerajaan untuk menjana ekonomi negara.

"Adakah hedonisme akan menjadi satu budaya baru dalam masyarakat kita kerana saya pernah membangkitkan isu Puspal dan kawalannya terhadap penghibur-penghibur luar.
"Yang terkini yang saya bangkitkan beberapa bulan lepas adalah isu Pitbull yang mengadakan pertunjukan dalam negara kita,” ujarnya yangh juga Timbalan Presiden PAS.
Sehubungan itu, beliau meminta menteri menjelaskan mengenai hukuman yang dikenakan kepada arti luar negara yang tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).
"Saya ingin tahu semenjak ianya mula diperkenalkan sejak 2005 hingga 2010 adakah mana-mana artis luar negara yang telah dikenakan hukuman kerana tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan Puspal walaupun saya tahu ianya menjana ekonomi yang tinggi.
"Pada tahun 2009 seramai lebih kurang 8,000 artis yang datang sehingga mendapat pendapatan sebanyak RM4,339 juta melalui cukai pegangan dan RM2,305 juta melalui pas lawatan ikhtisas," katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad dalam soalan asalnya meminta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyatakan sama ada kementerian ada membuat kaji selidik terhadap latar belakang (background check) kepada semua penyanyi atau penghibur luar negara yang memohon untuk membuat persembahan di Malaysia dan kriteria yang telah ditetapkan bagi membolehkan permohonan permit tersebut diluluskan.
Beliau dalam soalan tambahan selepas itu juga meminta Timbalan Menteri menjelaskan mengenai sensitiviti umat Islam di negara ini dalam memberikan kelulusan kepada artis luar negara yang terang-terangan mengaku mengamalkan gaya hidup songsang.
Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’Cruz dalam jawapannya memberitahu, setiap ahli dalam Puspal akan mengkaji setiap permohonan termasuklah latar belakang artis, genre muzik, analisis lirik, konsep persembahan dan sebagainya mengikut bidang urusan kementerian dan jabatan masing-masing.
Pada 14 Oktober lalu, konsert artis luar negara, Adam Lambert yang mengaku dirinya gay mendapat bantahan daripada pelbagai pihak khususnya PAS termasuk juga aktivis mahasiswa Islam.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 3:09 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III