MIC bantah larangan bina kuil di kawasan Islam

Keputusan kerajaan Selangor yang melarang pembinaan rumah ibadat bukan Islam di negeri itu menimbulkan kemarahan MIC yang menuntut ia ditarik balik.

Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu berkata tindakan kerajaan Pakatan Rakyat itu mencerminkan kecetekan pemahaman berhubung perhubungan kaum di Selangor.

“Adakah ini bermakna orang Islam dan bukan Islam tidak boleh tinggal bersama? Tidakkah anda berjanji kepada pengundi bahawa jika parti anda menang (pada pilihan raya umum lalu), anda akan berlaku adil kepada semua bangsa dan memberi layanan saksama?” soal Samy Vellu dalam satu kenyatataan hari ini.


Samy Vellu mengulas jawapan yang diberikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim di dewan undangan negeri Selangor, semalam.

Khalid, semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ismail Sani (BN-Dusun Tua), berkata rumah ibadat bukan Islam tidak boleh dibina sebarangan bagi mengelakkan ketegangan kaum.

Katanya, keputusan baru ini berikutan kes 'protes kepala lembu' yang menyaksikan penduduk di Seksyen 23 Shah Alam menunjuk perasaan sambil membawa kepala lembu sebagai membantah pemindahan sebuah kuil Hindu ke kawasan perumahan mereka.

Samy Vellu mendakwa peraturan baru Khalid itu secara sistematik cuba memisahkan masyarakat Islam dan bukan Islam.

“Bagi tahu saya di mana tidak ada tempat majoriti penduduk Islam di kawasan perumahan. Di mana bukan Islam akan mencari tempat membina rumah ibadat?

“Saya ingin ingatkan Khalid bahawa Pakatan Rakyat menang di Selangor pada pilihan raya umum 2008 kerana perobohan sebuah kuil Hindu di Kampung Padang Jawa, berhampiran Shah Alam, Selangor pada Oktober 2007, dan sekarang dia mahu menghalang pembinaan kuil di kawasan orang Islam,” kata Samy Vellu.

Presiden MIC itu juga mengingatkan Khalid supaya tidak 'bermain dengan api' dengan mempersoalkan kebebasan beragama yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan.

“Kebebasan itu memberi hak setiap warga negara hak untuk membina rumah ibadat mereka di kawasan perumahan, tidak kira sama ada di kawasan majoriti Islam ataupun bukan Islam,” katanya.

Menurut Samy Vellu, kerajaan negeri Selangor perlu menarik balik larangan itu atau menerima padahnya.

Dalam pada itu, pejabat Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan hari mengeluarkan penjelasan berhubung larangan itu.

Menurut kenyataan itu pembinaan tempat-tempat beribadat harus dibuat secara terancang dan mengikut garis panduan kerajaan demi memastikan kepuasan semua pihak yang terlibat.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 10:51 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III