BUKTI RAJA MELAYU DIHINA TUN.MAHATHIR ( PART 5 )


Speech By : DATO’ SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Title :SEMASA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1993
Location : DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR
Date : 18-01-1993


41. Tafsiran yang dibuat mengenai hasutan terhadap Raja dalam Perlembagaan adalah begitu luas sehingga tidak ada apa-apa pun teguran yang boleh dibuat di dalam Parlimen oleh ahli-ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan. Dengan itu me- dia juga tidak berpeluang untuk melapor. Teguran yang boleh dibuat hanyalah oleh penasihat Raja secara tertutup. Jika teguran ini tidak berkesan tidak ada apa-apa lain yang boleh dibuat.

42. Sebenarnya ketiga-tiga Perdana Menteri dahulu, sebagai penasihat kepada Raja-Raja, telah pun menegur Raja-Raja berkali-kali semasa mereka berkhidmat. Saya tahu teguran ini dibuat kerana perkara ini telah dilaporkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan juga Majlis Tertinggi UMNO berkali-kali.
43. Allahyarham Tun Hussein Onn, semasa menjadi Perdana Menteri, pernah dalam ucapan bertulis di suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja, yang dihadiri hanya oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia atau wakil-wakil mereka sahaja, menegur dengan kerasnya perbuatan Raja-Raja yang tidak harus dilakukan.
44. Tetapi semua teguran ini tidak berkesan. Perkara- perkara yang disentuh terus dilakukan juga, bahkan ditingkatkan. Apa yang tidak pernah dibuat di zaman British dan pada tahun-tahun awalan Malaysia merdeka, dilakukan dengan semakin ketara dan meluas.
45. Walaupun hampir semua Perdana Menteri dan Menteri Besar melaporkan kepada Majlis Tertinggi UMNO akan masalah yang dihadapi oleh mereka tetapi orang ramai tidak diberitahu.Justeru itu, orang ramai tidak mengetahui masalah yang dihadapi oleh Kerajaan. Sebahagian besar daripada mereka terus percaya bahawa sistem Raja Berperlembagaan berjalan dengan baik dengan Raja menghormati segala peruntukan dalam Perlembagaan. Hanya sebilangan kecil daripada rakyat yang mengetahui dan mereka ini memang tidak senang hati dengan perbuatan Raja-Raja. Tetapi mereka ini tidak dapat menyuarakan pandangan dan perasaan mereka ini kerana adanya Akta Hasutan.
46. Akta Hasutan dan peruntukan berkenaan dengan hasutan terhadap Raja-Raja dalam Artikel 63(4) Perlembagaan menghalang rakyat daripada mendapatkan maklumat dan menyuarakan pendapat mereka. Mereka hanya dapat bercakap sesama sendiri sahaja. Pemimpin-pemimpin politik, termasuk pemimpin-pemimpin Kerajaan, memang mendengar dan menyedari akan pandangan dan kemarahan sebilangan rakyat yang mengetahui perbuatan Raja. Demikianlah kemarahan mereka sehingga ada, terutama di kalangan generasi muda, yang menganggap Sistem Beraja sudah ketinggalan zaman.
47. Tetapi oleh kerana Akta Hasutan dan larangan terhadap mengkritik Raja, Raja tidak mendengar dan tidak percaya kepada penasihat mereka apabila maklumat disampaikan berkenaan kegelisahan rakyat. Raja dan keluarga-keluarga di-Raja nampaknya berpendapat bahawa semua ini adalah ciptaan penasihat-penasihat Raja untuk menakutkan Baginda atau untuk merebut hak Raja.
48. Dalam keadaan ini Raja bukan sahaja akan meneruskan amalan-amalan yang tidak disenangi atau disukai oleh rakyat tetapi juga akan melakukan perkara-perkara yang lebih dibenci oleh rakyat. Jika trend ini tidak disekat, perasaan rakyat terhadap Raja tentu akan meluap dan menjadi begitu buruk sehingga pada suatu masa nanti rakyat mungkin tidak lagi dapat membendung perasaan mereka. Perasaan yang diluahkan dalam surat-surat kepada akhbar sebenarnya sudah lama wujud.
49. Dengan izin Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membaca petikan daripada satu rencana yang dihantarkan kepada akhbar The Straits Times pada tahun 1946 oleh seorang tokoh Melayu yang terkemuka, apabila British mencadangkan penubuhan Malayan Union. Tokoh ini kemudian memegang jawatan yang tinggi dalam Kerajaan. Rencana ini tidak disiarkan oleh akhbar Straits Times tetapi ia disampaikan kepada saya baru- baru ini oleh penulis.
50. Penulis ini menyatakan, dengan izin, `All intelligent Malay leaders ought now seriously to give most profound and careful thought to the question whether the time has not ar- rived when the Malay Royalty (I mean the Sultan and Raja) should gracefully withdraw themselves altogether`.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 9:57 AM Kategori:

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III