BUKTI RAJA MELAYU DIHINA TUN.MAHATHIR ( PART 6 )

Speech By : DATO’ SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Title :SEMASA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1993
Location : DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR
Date : 18-01-1993



51. Jika pandangan seperti ini sudah ada pada tahun 1946, apakah ia tidak mungkin wujud semula pada tahun 1993 jika Raja-Raja tidak dihalang daripada melakukan perbuatan- perbuatan yang tidak diingini?
52. Perlindungan dan keistimewaan yang diberi kepada Raja bertujuan meletakkan Raja di tempat yang tinggi dan mulia. Perlindungan dan keistimewaan ini bukanlah untuk membolehkan Raja melakukan apa sahaja termasuk jenayah. Raja yang sedar dan faham akan maksud sebenar peruntukan ini akan sentiasa memelihara daripada mencemar diri dalam perbuatan atau berkelakuan yang tidak baik dan tidak disukai oleh masyarakat. Raja yang sedar akan tahu bahawa perbuatan tidak menghiraukan perasaan dan pandangan masyarakat akan menyebabkan rakyat akhirnya menyingkirkan Raja, bahkan menghapuskan Sistem Beraja. Inilah yang berlaku di negara- negara lain yang sekarang menjadi republik.
53. Di Malaysia lindungan yang diberi amatlah tebal.Kekebalan Raja daripada undang-undang dan larangan terhadap teguran, walaupun hanya oleh ahli-ahli Dewan-Dewan Undangan yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir negara, mengasingkan Raja daripada dunia sebenar. Dalam keadaan ini perbuatan dan tingkah-laku Raja akan menjadi lebih buruk sepanjang masa. Inilah yang berlaku di Malaysia sekarang.
54. Justeru itu, adalah penting Ahli-Ahli Dewan diberi semula hak menegur Raja dalam perbahasan mereka. Tanpa hak ini Ahli-Ahli Dewan tidak akan berjaya mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan tidak akan dapat membuktikan bahawa rakyatlah yang berkuasa dalam sistem ini. Tanpa hak ini, yang berkuasa ialah Raja dan bukan rakyat.
55. Dengan adanya larangan terhadap menegur Raja, Ahli-Ahli Dewan sebenarnya tidak dapat memelihara Institusi Raja dan Sistem Beraja. Justeru itu, kebebasan Ahli-Ahli Dewan berucap dalam Dewan tidak harus disekat oleh Akta Hasutan seperti yang diperuntukan di bawah Artikel 63(4) dan 72(4).Dengan ditambah Artikel 63(5) dan 72(5) Ahli-Ahli Dewan bukan sahaja boleh memelihara kedudukan Raja, tetapi institusi Raja Berperlembagaan akan dilindungi oleh Perlembagaan secara jelas, kerana disebut di dalam Artikel 63(5) dan 72(5) bahawa pengecualian daripada Akta Hasutan tidak termasuk penganjuran `penghapusan kedudukan Berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Kepala Utama Negara bagi Persekutuan atau kedudukan Berperlembagaan Raja sesuatu negeri`.
Tuan Yang di-Pertua,
56. Perkara yang kedua yang boleh menidakkan penghapusan kekebalan Raja-Raja apabila melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang dalam suatu urusan yang tidak rasmi ialah hak pengampunan Raja seperti yang diperuntukkan dalam Artikel 42. Dengan peruntukan ini, Raja boleh mengampunkan dirinya sendiri jika ia dihukum salah oleh mahkamah setelah kekebalan daripada tindakan undang-undang ditarik balik.Ini bermakna penarikan kekebalan tidak bermakna dan tidak berkesan.
57. Justeru itu, Kerajaan bercadang supaya Perkara 38 dan 42 Perlembagaan Persekutuan dipinda seperti dalam Fasal(2) Perkara 38 dan Fasal(12) Perkara 42. Fasal (2) Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan adalah dipinda – (a) dengan menggantikan koma di hujung perenggan (c) dengan koma bernoktah; dan (b) dengan memasukkan, selepas perenggan (c), perenggan yang berikut: “(d) memberi ampun, reprief dan respit, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42,”.Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah dipinda dengan memasukkan, selepas Fasal (11), Fasal-Fasal yang berikut: “(12) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Perlembagaan ini, jika kuasa-kuasa yang tersebut dalam Perkara ini – (a) kena dijalankan oleh Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri dan dikehendaki dijalankan berkenaan dengan dirinya atau isterinya, anak lelakinya atau anak perempuannya, kuasa-kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Ketua Menteri bagi Negeri itu yang bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi Negeri itu di bawah Perkara ini dan yang hendaklah dipengerusikan olehnya; (b) dikehendaki dijalankan berkenaan dengan Yang di-Pertuan Agong, Raja sesuatu Negeri, atau Konsortnya, mengikut mana-mana yang berkenaan, kuasa-kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Majlis Raja-Raja dan peruntukan-peruntukan yang berikut hendaklah terpakai: (i) apabila menghadiri mana-mana prosiding di bawah Fasal ini, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh disertai oleh Perdana Menteri dan Raja-Raja lain tidak boleh disertai oleh Menteri-Menteri Besar mereka; (ii) sebelum membuat keputusannya tentang apa-apa perkara di bawah Fasal ini, Majlis Raja-Raja hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah diberikan oleh Peguam Negara tentang perkara itu; (c) dikehendaki dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri berkenaan dengan anak lelakinya atau anak perempuannya, mengikut mana-mana yang berkenaan, kuasa- kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Raja sesuatu Negeri yang dinamakan oleh Majlis Raja-Raja dan Raja itu hendaklah bertindak mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang relevan yang ditubuhkan di bawah Perkara ini.(13) Bagi maksud perenggan (b) dan (c) Fasal (12), Yang di-Pertuan Agong atau Raja Negeri yang berkenaan, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan Yang di-Pertua- Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menjadi anggota Majlis Raja-Raja”.
58. Dengan pindaan ini Raja tidak boleh mendengar rayuan dan mengampun dirinya sendiri. Jika ada Raja atau Konsortnya yang merayu pengampunan, maka Majlis Raja-Raja akan mendengar dan memutuskan kes berkenaan.
59. Raja juga tidak boleh mendengar rayuan dan mengampun anaknya. Majlis Raja-Raja akan melantik seorang Raja lain untuk mendengar dan memutuskan rayuan pengampunan anak Raja.
60. Dengan pemansuhan kekebalan Raja-Raja daripada tindakan undang-undang, kecuali ketika menjalankan tugas rasminya, adalah dipercayai Raja tidak akan melakukan perbuatan- perbuatan yang boleh didakwa di mahkamah. Dengan ini, Raja akan dihormati rakyat.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 6:00 PM Kategori:

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III