Nasib Pemburu Berita Sensasi


TAJUK utama penerbitan terakhir akhbar mingguan News of the World Thank You and Goodbye (Terima kasih dan Selamat tinggal) sudah cukup untuk memberitahu bahawa kegemilangan akhbar yang sarat dengan kisah sensasi itu sudah sampai ke penghujungnya Ahad lalu.
Berbeza dengan tajuk-tajuk utama sebelumnya yang bersifat sensasi, berkuburnya akhbar berkenaan selepas 168 tahun pasti menyebabkan sebahagian besar pembaca setianya mengeluh. Selepas penutupan akhbar tersebut, maka mereka tidak lagi dihidangkan dengan berita-berita sensasi yang sukar diperoleh pada akhbar lain.

Pembaca sememangnya tidak ambil pusing mengenai sumber berita yang diperoleh wartawan-wartawan akhbar tersebut tetapi akhirnya skandal penggodaman telefon yang disimpan selama ini terbongkar.
Natijahnya, bukan sahaja kredibiliti akhbar berkenaan dalam menyanjung etika kewartawanan tercalar, malah segelintir pihak berkuasa kini tidak senang duduk akibat menerima rasuah daripada akhbar berkenaan bagi membekalkan maklumat sulit yang seharusnya menjadi kerahsiaan.
Menyasarkan golongan diraja, individu berprofil tinggi dan selebriti, skandal penggodaman telefon itu sudah lama berlanjutan membuatkan ramai tertanya-tanya mengapa baru kini tindakan menutup akhbar berkenaan dilakukan.
Ahad lalu, dengan tajuk akhbar yang jelas menggambarkan isi kandungan halaman dalamannya, pengarang-pengarangnya memohon maaf kepada pembaca berhubung skandal berkenaan dengan memberikan alasan bahawa mereka telah kehilangan arah.
Biarpun kini tinggal sejarah, isu penggodaman telefon itu masih lagi belum tamat. Pemilik akhbar tabloid itu, Rupert Murdoch juga berhadapan dengan dakwaan peribadi mengenai krisis itu.
Seperti dijangkakan, polis juga dilaporkan bakal menyoal siasat eksekutif utama beliau di Britain iaitu Ketua Eksekutif News International, Rebekah Brooks.
Terdahulu, pengarang News of the World, Colin Myler telah meninggalkan pejabat akhbar berkenaan di Wapping, timur London bersama kakitangannya untuk kali terakhir.
“Saya mahu memberi penghargaan kepada para pekerja di sini yang telah melalui hari paling sukar untuk menerbitkan akhbar ini dengan cara yang profesional dan bijak,” katanya kepada wartawan di luar pekarangan pejabat itu.
Akibat penutupan akhbar tersebut, lebih 200 kakitangannya kini berhadapan dengan masa depan yang tidak pasti. Ketika Myler memberi ucapan penghargaan, beberapa pekerja akhbar itu kelihatan menangis.
“Selepas 168 tahun, kami akhirnya memberi kata-kata yang menyedihkan tetapi satu perpisahan yang membanggakan kepada 7.5 juta pembaca setia kami.
“Seperti yang saya katakan kepada pekerja saya pagi tadi, ini bukanlah yang kami mahukan dan patut kami terima, tetapi sebagai penghargaan terakhir kepada pembaca setia kami, ini adalah untuk kamu dan kepada kakitangan akhbar ini, saya ucapkan terima kasih,” kata Myler.
Tindakan tegas

ORANG RAMAI membuat demonstrasi di luar ibu pejabat News International sebagai bantahan terhadap skandal akhbar tabloid News of the World.


Pengerusi syarikat media berpengaruh Britain, The International News yang memiliki News of the World, James Murdoch mengambil keputusan menutup akhbar berkenaan selepas didakwa mendapatkan cerita panas dengan membayar pihak polis untuk menggodam telefon seorang gadis yang dibunuh dan keluarga tentera yang terkorban.
“Berdasarkan nasihat daripada pegawai yang lain, saya memutuskan untuk mengambil tindakan tegas terhadap akhbar tabloid ini.
“Hari Ahad ini (lalu) akan menjadi edisi terakhir News of the World yang dicetak,” katanya.
Murdoch dalam edisi terakhir akhbar itu, semua ruang iklan akan diberi percuma sebagai usaha kebajikan yang ditunjukkan oleh syarikat tabloid itu kepada jutaan pembacanya.
Seorang pekerja syarikat yang terkejut besar dengan berita tersebut berkata, pengumuman penutupan syarikat tabloid yang meraih jualan kira-kira 2.3 juta cetakan setiap minggu itu umpama letupan bom nuklear kepada syarikat akhbar tersebut.
Tetapi, penutupan News of the World turut mencetuskan spekulasi yang mengatakan bahawa pemilik akhbar tersebut, Rupert Murdoch telah menawarkan akhbar tabloid terbabit sebagai korban untuk menyelamatkan bidaannya terhadap syarikat gergasi televisyen berbayar, BSkyB.
Dalam pada itu, laporan BBC menyebut Murdoch akan menggantikan akhbar tabloid itu dengan akhbar harian, The Sun versi Ahad, yang meraih jualan paling laris di Britain.
Akhbar Sunday Times milik Murdoch itu melaporkan, siasatan dalaman News of the World pada tahun 2007 mendapati kegiatan menggodam telefon berlaku secara berleluasa tetapi tidak diakui oleh syarikat tersebut.
Dakwaan turut menyatakan bahawa akhbar berkenaan memberi rasuah kepada polis untuk mendapatkan maklumat.
Edisi terakhir
Perdana Menteri Britain, David Cameron pula memberitahu, penutupan akhbar News of the World itu tidak akan mengalihkan perhatian polis yang sedang menjalankan siasatan berhubung kes penggodaman seperti yang didakwa.
Bagaimanapun, peguam kerajaan Britain sedang mengatur rancangan bagi menyekat percubaan Murdoch untuk membeli syarikat penyiaran BSkyB.
Murdoch, 80, bagaimanapun sudah tiba di London Ahad lalu untuk mengetuai usaha menyelamatkan urus niaga pembelian BSkyB dan mengehadkan kerosakan terhadap News Corp., konglomerat berita terbesar di dunia.
Ketika dibawa dengan kereta ke ibu pejabatnya di London, beliau menunjukkan edisi terakhir News of the World, akhbar berusia 168 tahun yang dibelinya pada tahun 1969 dan diarah ditutup minggu lepas dalam usaha untuk membendung skandal tersebut.
Sementara itu, akhbar Independent menulis bahawa langkah menyekat usaha Murdoch itu boleh menyelamatkan Perdana Menteri, David Cameron daripada terpaksa menghadapi pengundian di Parlimen yang berpotensi menggugat kerajaan campurannya.

PIHAK media berkumpul di hadapan ibu pejabat News International di London untuk membuat liputan berhubung penutupan akhbar tabloid News of the World.


Pemimpin parti pembangkang iaitu Parti Buruh, Ed Miliband berkata, beliau akan memaksa Parlimen mengadakan pengundian sekiranya Cameron tidak mengambil langkah untuk menghalang News Corp milik Murdoch daripada membeli 61 peratus lagi kepentingan dalam BSkyB pada harga AS$14 bilion (RM42 bilion).
Pengundian di Parlimen boleh memecahkan perikatan antara Parti Konservatif pimpinan Cameron dengan Liberal Demokrat yang sudah menyatakan kemungkinan mereka menyebelahi Parti Buruh dalam pengundian mengenai isu itu.
Etika kewartawanan
Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada Parti Buruh untuk memaparkan parti itu sebagai pembela rakyat selepas orang ramai marah dengan dakwaan bahawa wartawan dan pengarang News of the World bersubahat menggodam peti suara telefon seorang budak perempuan yang mati dibunuh, mangsa serangan bom di London dan waris korban perang Britain bagi mendapatkan bahan berita sensasi.
“Kami sedang merangka pelan untuk menggantung urus niaga itu sementara siasatan polis dijalankan,” jelas Independent memetik kenyataan sumber kanan kerajaan.
Sementara itu, Ketua program kewartawanan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Abu Yamin Salam menegaskan kebebasan media dalam melaporkan sebarang berita datang bersama tanggungjawab sama ada memikul etika kewartawanan atau menerima akibat daripada keterlanjuran mereka dalam mendapatkan sesuatu maklumat.
“Wartawan bebas mendapatkan maklumat daripada apa sahaja medium termasuk membuat siasatan, membayar pihak ketiga, melakukan pemantauan, mengumpul maklumat di Internet dan sebagainya tetapi mestilah tidak melampaui batas yang termaktub di dalam undang-undang media negara masing-masing.
“Dalam dunia kewartawanan itu sendiri mempunyai etika yang sudah digariskan dan ia tidak menghalang kreativiti wartawan untuk menulis apa sahaja yang mereka suka selagi ia berada di landasan yang betul,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Abu Yamin, kebebasan media datang bersama tanggungjawab, justeru mereka yang melampaui batas dalam mendapatkan sumber-sumber haruslah menerima dan akur dengan hukuman yang dikenakan ke atas mereka.
“Di mana-mana sahaja penggodaman maklumat berlaku tetapi di dalam skandal ini maklumat digodam dan dieksploitasi untuk tujuan komersial sehingga menyebabkan hak-hak individu tertentu dianiaya dan mereka mempunyai hak untuk mengambil tindakan secara peribadi.
“Kakitangan News of the World juga terpaksa menerima hakikat akibat keterlanjuran mereka tetapi saya yakin akhbar sebegini akan wujud semula dengan nama lain tetapi mempunyai agenda yang sama,” katanya.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 7:24 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III