KJ berjaya ketepi hakiman ingkar saman RM100 juta Anwar

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini berjaya dalam permohonannya untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang diperolehi Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya dalam kes saman malu bernilai RM100 juta.

“Hakim (Mahkamah Tinggi) memutuskan bahawa writ serahan tidak menggunakan kaedah biasa,” kata peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Ahli Parlimen Rembau.

Kata beliau, Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof, yang membuat keputusan di kamarnya juga memutuskan bahawa notis saman seharusnya dihantar secara peribadi kepada Khairy di alamat rumah terbaru dan bukan ke alamat aktiviti beliau.
Shafee berkata saman fitnah adalah tindakan peribadi dan oleh itu, writ perlu diserahkan secara peribadi atau melalui pos berdaftar A.R.

Khairy memfailkan notis rayuan terhadap penolakan permohonannya untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang diperoleh Anwar terhadapnya dalam saman malu itu.

Pada 31 Mei lepas, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nazri Yahya menolak dengan kos permohonan Khairy untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang diperolehi Anwar pada 4 Dis 2008, selepas Khairy gagal menghadirkan diri  ke mahkamah.

Nazri memutuskan serahan writ saman kepada Khairy adalah sah dan tidak ada merit dalam kenyataan pembelaannya.

Anwar memfailkan saman itu pada 7 Mac 2008, dengan mendakwa Khairy sebagai Naib Ketua Pemuda Umno ketika itu mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya dan membawa kepada penyiaran klip video di beberapa laman web termasuk Malaysiakini.com. bertajuk “Anwar and kin no threat”.

Anwar mendakwa kenyataan itu yang dibuat Khairy pada satu ceramah di Lembah Pantai, di sini pada 20 Februari 2008, antara lain bermaksud beliau terbabit dalam aktiviti yang bertentangan dengan Islam, tidak mempunyai perwatakan baik dan tidak layak memegang jawatan politik atau jawatan lain.

Dengan keputusan hari ini, Khairyn mempunyai 14 hari untuk membuat pembelaan.

Peguam Anwar, S.N. Nair memberitahu wartawan bahawa mereka akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan hari ini.

Kata beliau, writ saman dihantar ke Akademi Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra di mana Khairy mempunyai sebuah pejabat.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 10:11 PM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III