Tarif air: Syabas tuntut Selangor bayar pampasan RM308 juta

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menuntut RM308 juta daripada kerajaan Selangor, didakwa sebagai “pampasan”, kerana menghalang menaikkan tarif air di negeri itu.

Kerajaan negeri menerima dua surat tuntutan bertarikh 15 September 2010.

“Syabas membuat tuntutan itu menerusi dua surat tuntutan dengan memberi alasan kononnya syarikat itu mengalami kerugian disebabkan keengganan kerajaan Selangor membenarkan tarif air dinaikkan yang dikatakan terkandung dalam perjanjian konsesi,” kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu berkata, Syabas juga mengugut untuk mengheret kerajaan Selangor ke mahkamah jika gagal menunaikan tuntutan mereka dan enggan mematuhi syarat perjanjian.

“Ditegaskan di sini, kerajaan negeri sedikit pun tidak gentar dengan tuntutan Syabas,” kata kenyataan itu.

Kerajaan Selangor berpendapat Syabas tidak layak sama sekali untuk menaikkan tarif air sedangkan rakyat Selangor masih berdepan dengan pelbagai masalah air antaranya; bekalan air teruk, bekalan air tidak berkualiti dan peratusan air tidak berhasil yang tinggi disebabkan penyelenggaraan paip yang buruk yang telah mengakibatkan kerajaan negeri kerugian berjuta ringgit.

Ia menambah, jika Syabas dibenarkan menaikkan tarif air sehingga 37 peratus seperti yang disebutkan dalam perjanjian konsesi, harga air akan menjadi lebih mahal berbanding harga petrol semasa.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan membenarkan perkara ini berlaku kerana rakyat masih dibelenggu dengan kemelut ekonomi global, apatah lagi perkhidmatan air yang diberikan tidak setimpal dengan harga yang dikenakan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Selangor mempertahankan hak rakyat Selangor mendapatkan perkhidmatan air yang terbaik dengan harga yang berpatutan.

“Air adalah keperluan asas yang dianugerahkan Allah dan oleh itu, hanya kos minimal bagi proses rawatan air patut dikenakan,” katanya.

Ia menjelaskan, konsep penswastaan yang diperkenalkan pada 1982 mempunyai matlamat jelas iaitu mengurangkan tanggungan kerajaan dalam memberi perkhidmatan asas  kepada rakyat dan pada masa yang sama tidak membebankan rakyat dengan bayaran yang melampaui kemampuan.

“Pengenalan konsep tersebut tidak tercatatat langsung bahawa  penswastaan bertujuan untuk memberi keuntungan melampau kepada mana-mana pihak apatah lagi mereka yang berkait rapat dengan pemerintah.

“Dengan ini, kerajaan negeri menyatakan semangat konsep penswastaan telah dicabuli oleh golongan yang tamak dan berkepentingan sekali gus telah mencabar kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Kenyataan itu menambah, kerajaan Selangor pada masa yang sama yakin mempunyai hak dan alasan yang kukuh untuk mengheret Syabas ke mahkamah kerana kegagalan mereka mematuhi beberapa asas penting yang terkandung dalam perjanjian konsesi air yang ditandatangani.

“Akibat kegagalan tersebut telah merugikan rakyat Selangor sehingga mencecah jutaan ringgit.

“Menteri Besar telah berulang kali menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan menentang dengan cara apa sekali pun, usaha Syabas atau mana-mana pihak yang mencabar rakyat Selangor terhadap hak mutlak air,” katanya lagi.

Bagaimanapun, kenyataan itu berkata, kerajaan negeri menangguhkan sebarang niat untuk menggunakan hak sedia ada iaitu undang-undang bagi menghormati perbincangan pihak-pihak yang terlibat dalam menyelesaikan penstrukturan semula hak konsesi air dan model perancangan yang boleh diguna pakai.

“Syabas sesungguhnya maklum akan perbincangan yang dilakukan dan adalah amat tidak wajar bagi Syabas membuat tuntutan pampasan di peringkat ini. Surat-surat tuntutan ini juga mendedahkan pekung Syabas  yang tidak mengendahkan kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Pada 28 Julai lalu, Syabas berkata pihaknya sedang dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Selangor untuk menuntut pampasan kerana menangguhkan pelarasan tarif air.

Ketua Pegawai Operasinya Datuk Lee Miang Koi berkata sehingga hujung tahun ini, pampasan yang perlu dibayar kepada Syabas dijangka mencecah RM1 bilion.

“Syabas akan tuntut pampasan, kami sedang menimbang untuk ambil tindakan undang-undang, ikut perjanjian konsesi kami memang berhak ambil tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata Syabas sudah menghantar tuntutan mengenai pampasan itu bagaimanapun sehingga sekarang, masih tiada maklum balas dari pihak kerajaan negeri.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 10:13 PM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III