Munajat royalti di Mekah perlu RM400 ribu

Sekretariat Tabung Misi Munajat Royalti Rakyat menganggarkan sebanyak RM400 ribu diperlukan untuk membawa 40 ulama serta tok guru pondok dari seluruh pelusuk negeri ke Mekah berhubung isu kes tuntutan royalti minyak daripada Petronas.

Pengarah sekretariat Md Zulaimi Kazin berkata jumlah tersebut bagi menampung keseluruhan kos persiapan dan kebajikan, termasuk mendapatkan hotel yang berdekatan dengan Masjidil Haram bagi tokoh ulama tersebut.


"Sejak dilancarkan pada 2 Syawal yang lalu, kita baru sahaja mendapat tidak sampai RM20 ribu... Kita akan bawa mereka selepas daripada musim haji. Sebaik sahaja visa umrah buka, kita akan pergi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Laman web rasminya www.munajatroyalti.com serta laman Facebook untuk kempen itu, Misi Munajat Royalti Rakyat melaporkan, kempen itu diwujudkan supaya semua rakyat dapat menyatakan sokongan terhadap usaha itu.

Menurut laman itu, kutipan derma telah dilancarkan bagi menampung kos membawa 40 ulama serta tok guru pondok dari seluruh Kelantan untuk bermunajat secara khusus selama 40 hari dan 40 waktu di Mekah.

Mengulas lanjut, Md Zulaimi berkata, pihaknya kini sedang mengedarkan dan menjual 'kupon penajaan rakyat' untuk diedarkan kepada anak-anak Kelantan yang berada di dalam dan di luar negeri itu sebagai sokongan kepada tujuan tersebut.

"Sebanyak 100 ribu kupon yang berharga RM10, telah dicetak dan mula diedarkan sejak Isnin lalu," kata Md Zulaimi sambil mengalu-alukan sumbangan daripada sektor koporat.

Tuan Guru Husin Ibrahim daripada Pondok Lubuk Tapah
Selain itu, katanya, usaha sekretariat tersebut telah mendapat sokongan daripada beberapa NGO antaranya, Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti (Gegar) dan Persatuan Anak-anak Darul Naim (PERSADA).

Menurutnya, pihaknya telah menentukan identiti 40 ulama dan tok guru pondok yang akan bermunajat dengan di Masjidil Haram antaranya Tuan Guru Husin Ibrahim daripada Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas.

"Beliau juga bertindak sebagai pengerusi munajat tersebut," katanya sambil menambah bahawa pelancaran tabung tersebut di peringkat Kelantan dijadual berlangsung pada Oktober depan.

Menurut Md Zulaimi lagi, perlancaran tabung di Lembah Kelang dijadual pada 14 November nanti di Stadium Bangi, Selangor yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebelum ini dilaporkan tuntutan royalti minyak Kelantan dianggarkan bernilai lebih RM800 juta setahun sejak 2005 dan sehingga tahun ini. Jumlah terkumpul dianggarkan sebanyak RM4.8 bilion.

Kerajaan negeri Kelantan mendakwa Petronas melanggar Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 kerana tidak membayar royalti, hasil daripada minyak dan gas di perairannya dan di kawasan laut yang bertindih di antara Kelantan-Thailand, Kelantan-Vietnam dan Kelantan-Terengganu.

Berikutan itu, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan telah memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 2:35 PM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III