Pelbagai usaha kerajaan untuk menangani gejala rasuah menunjukkan kemajuan sekalipun ia tidak dicerminkan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.
"Walupun ada kemerosotan sebanyak 0.1 mata berbanding tahun lepas pada 4.5, ini mencerminkan bentuk CPI itu sendiri, bukan kerana tidak ada kemajuan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam membanteras rasuah," katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) berkata CPI diiktiraf sebagai penunjuk prestasi isu rasuah yang kompleks kepada bentuk yang mudah difahami.
"Bagaimanapun ia tidak mengukur kesan langsung tindakan yang diambil untuk menangani kebimbangan masyarakat umum, kerana kajian oleh CPI diperolehi daripada komuniti perniagaan dan risiko sesebuah negara serta analisis pakar.
Beliau berkata CPI juga tidak diukur berasaskan tahun ke tahun tetapi bagi sesetengah sektor input adalah secara purata bagi tempoh dua tahun.
Walaupun mencatatkan sedikit kemerosotan, responden CPI dari beberapa segmen iaitu 'IMD World Competitiveness Yearbook', 'Political & Economic Risk Consultancy's Asian Intelligence Newsletter' dan 'World Economic Forum's Global Competitiveness Report' menunjukkan kemajuan.
Beliau berkata kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk menangani isu rasuah, antaranya pembentukan 18 buah mahkamah khas rasuah dan pindaan Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan kes rasuah dibicarakan dengan cepat.
Kerajaan juga melaksanakan langkah 'menamakan dan memalukan pesalah' menerusi pangkalan data pesalah rasuah di laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Setakat ini 222 pesalah yang disabitkan kesalahan dipaparkan sejak pembentukan pangkalan data itu pada Februari lepas, dengan kebanyakan kes dimuat naik dalam masa sebulan selepas sabitan." katanya.
Idris berkata usaha juga sedang diambil untuk melaksanakan Akta Pelindungan Pemberi Maklumat menjelang akhir tahun ini.
"Bagaimanapun diakui, masih banyak harus dilakukan. Justeru untuk menggalakkan kebertanggungjawaban dalam membelanjakan duit rakyat, kerajaan akan memperkenalkan 'pakatan integriti' yang mana antaranya membolehkan pemantauan bebas," katanya.
Idris berkata kerajaan juga mengambil langkah perlu untuk menangani masalah rasuah pada kalangan agensi penguatkuasa dengan penubuhan unit pematuhan di setiap agensi.
0 comments:
Post a Comment