Lawan Perkasa bermakna Azmin Ali berperang dengan Perlembagaan

Azmin Ali
Perkasa menyamakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali seolah-olah ‘berperang’ dengan Perlembagaan Persekutuan jika calon timbalan presiden parti itu mengisytiharkan “berperang dengan Perkasa.”

Naib Presiden Perkasa, Dr Zubir Harun berkata, “kita tidak berminat untuk berperang dengan PKR, sebaliknya kami hanya mahu mempertahankan Perlembagaan negara.”

Sehubungan itu, Zubir yang juga Yang Dipertua Perkasa Pahang berkata, pihaknya akan menggesa agar orang Melayu dan Bumiputera tidak menyokong calon-calon PKR dalam pilihan raya umum ke-13 jika Azmin terus melahirkan sikap menentang Perkasa.
Dalam ucapannya pada mesyuarat agung tahunan cabang Gombak semalam, Azmin  berikrar akan melawan habis-habisan Perkasa dan individu berselindung di sebalik pertubuhan itu kerana memperjuangkan perkauman sempit.

“Ikrar saya akan melawan Perkasa habis-habisan termasuk juga individu yang sedang ‘tersungkur’ di Australia,” katanya.

Azmin bagaimanapun tidak menyebut siapa yang dikatakan tersungkur di Australia itu.

Difahamkan, ia merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Hospital Epworth, Melbourne semalam bagi menerima rawatan akibat jangkitan kuman pada saluran pernafasan.

Tambah Azmin, selagi Perkasa tetap memperjuangkan kepentingan perkauman sempit, maka selama itulah mereka akan dilawan oleh PKR.

Jelasnya, beliau sebagai seorang beragama Islam dan Melayu bertanggungjawab menjaga kepentingan semua kaum di negara ini, bukan setakat Melayu sahaja.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 12:47 PM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III