Membangun Bersama Islam: Kelantan menerajui perubahan- Siri 1

KELANTAN terkenal dengan penduduknya orang beragama. Buktinya gelaran Serambi Mekah dinukil orang sejak dari dahulu sehingga sekarang. Kelantan juga sinonim dengan gelaran Negeri Tadahan Wahyu. Dikenali juga dengan panggilan Tanah Serendah Sekebun Bunga atau negeri berbudaya. Penduduknya 95 peratus beragama Islam. Jumlah penduduknya sekarang melebihi 1.5 juta orang.

Ini sesuai dengan Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi penduduk negeri Saba’ satu tanda (yang membuktikan) kemurahan Allah) terdapat di tempat tinggal mereka iaitu: dua kebun (yang luas lagi subur) yang lertetak di sebelah kanan dan kiri (kariah mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadanya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang amat Pengampun”   (Al-Quran, Surah Saba’: 15).
Justeru William R. Roff  (1974) pula mengiktiraf Kelantan sebagai: “The Islamic State of Kelantan, in the north-east corner of mainland Malaysia bordering southern Thailand, has existed as a locus of power in the peninsular for the least a thousand years.”

Prof. Ismail Hussein (1989) mencatat di Kelantan sudah lama tumbuh suatu penghidupan keintelektual dan kesusasteraan yang sama suburnya, yang sedikit diketahui orang hari ini.

Di sebalik kenyataan tersebut, ternyata Kelantan merupakan negri yang unik, terutama dari segi wajah kuasa rakyat dan kehidupan budaya politiknya. Maksudnya, Negeri Kelantan sejak sebelum merdeka melalui proses sejarah yang pernah dinaungi kuasa Siam (sebelum 1909) dan selepas itu dinaungi (melalui perjanjian Bangkok) oleh penjajah Inggeris sehinggalah merdeka. Namun menjelang merdeka berlaku pilihan raya Persekutuan 1955 kuasa politik rakyat telah memberi mandate kepqada Umno menang di Kelantan.

Tetapi pada pilihan raya pertama 1959 (selepas meredeka) berlaku pula perubahan mandat rakyat Kelantan apabila parti PAS dipilih mengetuai kuasa politik negeri. Mandat kuasa kepada parti PAS berlaku sehinggalah tercetus ‘politik darurat’ 1977 yang menyaksikan mandat kuasa rakyat beralih kepada Umno tahun 1978. Perubahan mandat kali ketiga itu berlangsung sehingga 1990, dan Umno berdepan dengan kemerosotan populariti kerana pada pilihan raya umum ke-8 21 Oktober 1990, rakyat sudah beralih sokongan dan menyaksikan parti PAS sekali lagi mendapat mandat mentadbir negeri untuk kali kedua. Mandat kuasa rakyat itu berlangsung kini dan tatkala 21 Oktober  2010 adalah ulang tahun ke-20 pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan di bawah dominasi dasar Membangun Bersama Islam. Suatu tempoh yang menciptakan kejayaan Negeri Kelantan menerajui perubahan dari segi kuasa dan politik rakyat yang berteraskan cara hidup Islam.


PEMBENTUKAN KERAJAAN 1959 - 1978

Bermula pilihan raya 1959, PAS mendominasi kuasa politik di Kelantan. Sebelum itu, Umno menenangi pilihan raya Persekutuan atas sentimen rakyat inginkan kemerdekaan. Justeru sokongan adalah semata-mata menyokong usaha merdeka yang turut dipersetujui semua parti-parti politik termasuk PAS. Namun, sleerqa rakyat Kelantan kepada Umno berubah kerana parti itu tidak serasi dengan jiwa beragama rakyat Kelantan. Maka parti PAS yang memperjuangkan dasar politik Islam menjadi pilihan dalam pilihan raya 1959.

Mulai 1959 PAS mentadbir kerajaan Negeri Kelantan. Ia berlangsung selama 12 tahun. Dalam tempoh itu, berlaku liku-liku cabaran kuasa rakyat dan politik Kelantan. Parti PAS di Kelantan secara eksklusifnya merupakan parti yang sentiasa di hati rakyat. Maka dalam era dominasi kuasa (sejak 1959-1978) parti PAS boleh disifatkan melalui suatu tempoh pembentukan pentadbiran memimpin politik rakyat Kelantan yang berjaya mencetuskan sejarah tersendiri di sisi rakyat Kelantan. Dalam tempoh itu, menyaksikan Umno sukar diterima rakyat di Negeri Serambi Mekah yang terkenal sebagai pusat penyebaran Islam yang subur di Nusantara selepas Acheh.

Membina harapan rakyat

Di atas sokongan rakyat itu, parti PAS yang mentadbir negeri tetap membina harapan rakyat dengan pelbagai usaha pembangunan yang meliputi fizikal, sikap dan rohani rakyat. Justeru dari aspek fizikal, dalam tempoh 10 tahun PAS memerintah Kelantan sejak 1959 sebanyak 7,620 keluarga penduduk miskin dianugerah tanah. Seluas 78,170 ekar diberi kepada mereka sebagai penempatan baru di Hulu Kelantan.

Hari ini pembangunan tanah di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan (LKTN) telah membuahkan hasilnya. Ramai peneroka di rancangan tanah LTKN berubah taraf hidup. Terdapat sebanyak 27 rancangan tanah dikendalikan di bawah LKTN.

Lihat apa yang berlaku di Sungai PAS, Mengkebang, Chuchuh Puteri, Sungai Sok dan Sungai Syam di Kuala Krai,  Air Lanas di Jeli, Kemahang 1, Tanah Merah serta Sungai Terah di Gua Musang sekarang.

Penduduk yang pernah bergelar sebagai peneroka kini sudah jauh berubah. Hutan belantara sudah menjadi perkampungan tersusun. Pokok getah dan kelapa sawit subur menghijau melimpah rezeki kepada mereka.

Sedangkan sebelum wujud LKTN, kawasan berkenaan merupakan hutan belantara. Namun, hasil idea dicetus kerajaan PAS, kawasan hutan sekarang sudah bertukar menjadi kampung dan pekan.

Apa yang lebih penting setiap peneroka memiliki geran tanah tanpa perlu membayar hutang kepada agensi kerajaan seperti Felda atau Kesedar. Penduduk tidak perlu risau tentang hutang tanam semula seperti dialami rakan mereka di tanah rancangan milik Kesedar atau Felda.

Pembangunan berjalan lancar

Biar pun sumber kewangan kerajaan negeri agak terhad, namun pembanguan tetap berjalan lancar. Kerajaan Negeri pimpinan PAS mampu membina jambatan Sultan Yahya Petra, Stadium Sultan Mohammad Ke- IV dan Rancangan Tali Air Kemubu.

Pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra dimulakan pada 1963 melibatkan perbelanjaan awal sebanyak RM2.86 juta. Selepas siap sepenuhnya pada 1965 jumlah keseluruhan kos meningkat kepada RM6.7 juta.

Ketika pembinaan dijalankan Umno mendakwa jambatan itu tidak mampu disiapkan tanpa bantuan kerajaan pusat.

Malah pada kempen pilihan raya 1964 ada pemimpin Umno memberitahu mereka akan berbogel di atas jambatan itu kalau berjaya disiapkan kerajaan PAS.

Sehingga sekarang janji politik itu tidak ditunaikan pemimpin Umno.Jawatankuasa pembinaan jambatan dipengerusi Menteri Besar, Dato’ Asri Muda (Tan Sri).

Manakala Stadium Sultan Mohammad Ke IV dibina di kawasan seluas 13 ekar melibatkan kos sebanyak RM1.5 juta.

Rancangan Tali Air Kemubu pula dibina bagi faedah pesawah padi di kawasan seluas 51,000 ekar meliputi jajahan Kota Bharu, Pasir Puteh dan Bachok.

Projek itu mengambil masa lima tahun untuk disiapkan dengan kos sebanyak RM45 juta. Dana bagi menyiapkan projek berkenaan dipinjam dari Bank Dunia.

Pegawai Kewangan Negeri ketika itu, Dato’ Abdul Aziz berlepas ke Washington, Amerika Syarikat bagi melobi pinjaman tersebut untuk membiayai pembinaan tali air.

Projek tali air sepanjang 500 batu akhirnya berjaya disiapkan dengan kos melonjat sehingga RM75 juta.

ni antara projek besar dilaksanakan kerajaan PAS Kelantan. Tidak ramai yang tahu sejarah itu kerana Umno sering mendabik dada merekalah yang membina Kota Darulnaim dan kompleks Balai Islam di Lundang dan Pasar Siti Khatijah.

Awan mendung––politik darurat

Namun, cerah di langit tidak selama-lamanya. Awan mendung bermula selepas jasa perpaduan akibat 13 Mei 1969 mewujudkan Kerajaan Campuran 1971 dan kemudiannya membawa kepada penyertaan PAS dalam BN 1974. Seketika gelora kuasa rakyat digoda dengan ujian tegar dan parti PAS berdepan dengan kemelut kepimpinan. Berlakunya kekeliruan dalaman parti PAS yang memaksa usul undi tidak percaya dan usaha menyingkir Dato’ Mohamad Nasir dari kerusi Menteri Besar Kelantan. Ia kerana terserlah sikap dan tindakan politik menteri besar itu sehingga dianggap sebagai boneka Umno.

Lalu berlaku ’politik darurat’ dan tapak kuasa rakyat sudah goyah bersama PAS berikutan Kerajaan BN yang menguasai Pusat menguatkuasakan perintah darurat melalui Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) di Kelantan. Diikuti suatu pilihan nraya khas mac 1978 menyaksikan peralihan kuasa kepad Umno dengan bantuan kuasa MAGERAN. Justeru kuasa rakyat yang membolehkan pembinaan kerajaan oleh parti PAS (1959-1978) tetap melakar sejarah unik politik Kelantan.

1978 – 1990: PEMBINAAN PENGARUH DI  KALANGAN RAKYAT

Bagi generasi lama tentunya masih segara dalam ingatan, kerana belum pudar mengenangkan nasib menimpa PAS selepas kehilangan kuasa pada 1978. Timbul persoalan, bagaimana untuk mencerahkan semula langit Kelantan agar rakyat yang sedia beragama terus subur nilai-nilai keagamaannya. Justeru itu, komitmen parti PAS selepas kalah 1978 ialah menyuburkan semula siraman wahyu negeri kelantan dengan pengajuran kulaih-kuliah agama dan majlis-majlis ilmu. Ia telah menyemarakkan kepudaran kesan politik darurat.

Ramai tidak lupa setelah PAS kecundang, ahli parlimen Pengkalan Chepa ketika itu, Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sekian lama menyampaikan kuliah agama di Masjid Muhammadi telah dihalang berkuliah. Ketagih rakyat terhadap majlis-majlis ilmu tiba-tiba terhalang.

Maka mengambil kira halangan kuasa yang dimiliki Umno dan Barisan Nasional (BN), Dewan Ulamak PAS Kelantan memutuskan kuliah agama perlu diteruskan di lokasi lain. Pilihan yang ada di Dewan Prof Zulkifli Muhamad, Pejabat Perhubungan PAS Kelantan.

Sambutannya semakin hangat dan ketokohan Ustaz Nik Abdul Aziz  (Ustaz Nik Aziz)  mula terserlah. Beliau sebagai seorang ulama muda yang sendat dengan ilmu agama di dada berupaya menarik ramai peminat. Anak-anak murid yang sudah serasi turut sama berpindah ke Dewan Zulkifli Muhamad bagi mengikuti kuliah agama Ustaz Nik Aziz.

Kedudukan pejabat Perhubungan PAS Kelantan di tengah-tengah bandar Kota Bharu, di Jalan Dato’ Pati tiba-tiba menjadi tumpuan ramai. Penduduk datang dari pelbagai tempat. Ada yang datang dari jauh dan dekat. Mereka tidak jemu mengelek kitab bagi memasak lagi ilmu agama di dada.

Kerajaan BN ketika itu diketuai Dato’ Mohamad Yaakub, seorang pemimpin Umno lulusan dalam bidang undang-undang.  Kerajaan BN dibentuk selepas PAS tinggal dua kerusi di Dewan Undangan Negeri (Dun). PAS ketika itu diwakili Wan Abdullah Wan Su di Dun Manek Urai dan Nik Abdullah Arshad di Dun Sering.

Sebagai parti yang memperjuangkan Islam, PAS tidak pernah merasa gundah dengan kekalahan yang menimpa. Ia tidak lebih sebagai satu cabaran bagi meningkatkan lagi jati diri perjuangan.

Bermula dari situlah sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Aziz menggerakkan tenaga ulama’ dan ustaz-ustaz melalui kuliah-kuliah agama ke seluruh Kelantan. Beliau sendiri begitu istiqamah mengajar kitab di masjidnya sendiri di Pulau Melaka.  Selari dengan itu, premis-premis milik PAS diguna dan dipopularkan sebagai markaz tarbiah, iaitu sebagai pusat pengembangan ilmu. Sementara di Dewan Zulkifli Muhamad, Bangunan PAS Negeri diperkenalkan kuliah lima minit setiap kali lepas solat zohor. Sejak itu, siri kuliah Jumaat dan kuliah Maghrib mula mendapat sambutan.

Menyokong kepada usaha pendidikan (kuliah-kuliah) agama kepada rakyat, pihak   Jawatankuasa Penerangan PAS juga menggerakkan tenaga penerangan menjalankan kempen dan ceramah isu semasa serta gerak gempur penerangan. Antara tenaga penting termasuklah (Dato’) Haji Omar Mohamad, Haji Mustapha Ibrahim dan haji Buniyamin Yaakob. Di samping Ustaz Nik Aziz sendiri yang siang dan malam bekerja, tanpa rasa jemu dan penat menyebarkan perjuangan Islam.

Seterusnya ketokohan Ustaz Nik Aziz mulai terserlah sebagai seorang ulama’ muda yang disegani kawan dan lawan. Sifat warak dan kealimannya menambahkan lagi tarikan ribuan ’murid’ pelbagai lapisan generasi yang cintakan ilmu agama hadir belajar (menadah) kitab di masjidnya di Pulau Melaka dan di Dewan Zulkifli. Maka tidak hairanlah ramai orang mula memanggilnya sebagai tok guru, selaras dengan keilmuan dan sifat warak yang ada pada dirinya.

Bermula dari situlah panggilannya bertukar daripada ‘ustaz’ kepada ‘tok guru.’ Gelaran itu bukan beliau yanng meminta, sebaliknya ia suatu pengiktirafan sosial daripada orang ramai yang senang memanggilnya begitu. Lebih-lebih lagi sering timbul cerita-cerita ‘kelebihan’  Tok Guru Nik Aziz yang dikaitkan dengan kejadian bersifat ‘karomah’ yang jarang berlaku atas tok-tok guru lain.

Pernah suatu ketika Hai Omar dan Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood melihat dalam kereta dipandu Tok Guru Nik Aziz penuh dengan penumpang. Selkanjutnya Haji Omar menceritakan: “Saya mengekori kereta ‘tok guru’ yang baru selesai berceramah di Mata Air, Pulai Chondong.

“Saya lihat keretanya ‘sengek’ dan kelihatan ramai orang di dalam. Kemudian keesokan harinya saya bertanya apa yang dilihatnya malam tadi.

“Tok Guru Nik Aziz  mengakui bahawa dia seorang diri sahaja memandu pada malam tadi ketika pulang dari ceramah. Mendengar jawapan itu,  saya dan Ustaz Wan Jamil mengucap panjang,” kata Haji Omar.

Sesungguhnya banyak peristiwa aneh berlaku melibatkan Tok Guru Nik Aziz sepanjang beliau menjalankan tugas sebagai penceramah mahupun pengkuliah. Tambahan pula, setiap hari Jumaat beliau akan hadir solat Jumaat di serata masjid dan acap kali dijemput berkhutbah. Caranya begitu telah menambahkan lagi perhatian orang ramai terhadap ketokohannya.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 11:10 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III