Mustapha: BN tak janjikan projek segera di Galas

Kerajaan Pusat tidak akan menjanjikan projek segera dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas atau cadangan membina universiti di Gua Musang walaupun Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil itu pada 4 November ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sebaliknya, kerajaan akan lebih mementingkan peningkatan mutu daripada membina lebih banyak pusat pengajian tinggi dalam negara.

Kewujudan 20 universiti awam yang ada setakat ini dianggap sudah cukup untuk menampung keperluan pelajar di negara ini, kata Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Program Selangkah Ke Universiti dan majlis penutupan 1 Program 1 Daerah 2010 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini hari ini.

Mustapa diminta mengulas kenyataan Ketua Pergerakan Wanita Umno Gua Musang Senator Datuk Wan Hazani Wan Mohd Noor yang mahu kerajaan menimbangkan cadangan Wanita Umno bahagian itu supaya membina pusat pengajian tinggi, kolej university atau universiti awam di kawasan itu khususnya bagi menampung keperluan pelajar yang semakin meningkat di kawasan berkenaan.

Mengenai dakwaan PAS kononnya kerajaan BN gagal melaksanakan janjinya pada kempen pilihan raya kecil DUN Manek Urai 14 bulan lepas, Mustapa berkata semua empat projek yang dijanjikan sudah dilaksanakan, cuma ada di antaranya mengalami kelewatan kerana masalah teknikal.

Projek terbabit ialah pembaikan rumah rakyat miskin membabitkan kos RM1.5 juta, pembinaan jambatan Manik Urai menelan belanja RM8 juta, Gelanggang Sukan di Kampung Manjor RM300,000 dan Masjid Temalir RM600,000 yang semuanya sedang dalam pelaksanaan.

“Malah, dua hari lepas, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Mohd Arshad Ismail mengesahkan pembinaan rumah rakyat miskin di kawasan Manik Urai sudah siap sepenuhnya empat bulan selepas pilihan raya kecil DUN itu,” katanya.

Beliau berkata PAS akan memerangkap diri sendiri jika cuba membawa isu projek yang dijanjikan BN itu pada kempen pilihan raya DUN Galas.

Mustapa berkata janji-janji BN terkandung dalam kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan bukan yang dikemukakan oleh pemimpin Umno dan masyarakat setempat.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 9:16 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III