Pemuda PAS dakwa Datuk Bandar KL tak bebas, jadi ‘kuli’ Umno

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendakwa Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail gagal menjadi seorang pemimpin bebas memimpin warga ibu negara kerana mempunyai kaitan dan digunakan untuk parti politik Barisan Nasional (BN).

Pemangku Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Herman Samsudeen berkata sebagai penjawat awam Ahmad Fuad sepatutnya bebas dari kekangan dan pengaruh politik.

“Kita kesal kerana beliau (Ahmad Fuad) membenarkan dirinya menjadi ‘kuli’ kepada Umno,” katanya.

Kata beliau, ia terbukti apabila Umno Titiwangsa secara jelas meletakkan gambarnya pada semua kain rentang mempromosikan program majlis rumah terbuka Aidilfitri bahagian tersebut yang akan diadakan esok.

“Apakah maksud gambar beliau diletakkan di kain rentang itu? Selalunya gambar yang diletakkan dalam kain rentang mempunyai kaitan dengan organisasi yang dikeluarkannya,” katanya.

Program itu anjuran Umno Bahagian Titiwangsa dan Persatuan Penduduk PPR (Program Perumahan Rakyat) Hiliran Ampang.

“Apa yang pasti, beliau bukanlah penghuni rumah PPR atau ahli jawatankuasa Persatuan Penduduk berkenaan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.

Herman berkata, tiada keperluan gambar Ahmad Fuad diletakkan pada kain rentang tersebut kecuali beliau mempunyai kepentingan peribadi melibatkan Umno.

“Sebagai penjawat awam yang menjadi orang nombor satu dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beliau sepatutnya bebas daripada kekangan politik atau pengaruh orang politik walaupun yang menjadi Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar adalah orang kuat Umno Wilayah Persekutuan.

“Beliau gagal menunjukan imej bebasnya dan melanggar peraturan penjawat awam yang tidak membenarkan pegawai dalam kumpulan pengurusan dan profesional untuk terlibat dalam politik kecuali bagi guru sekolah,” katanya.

Tambah Herman, peraturan yang melarang penjawat awam terlibat dalam politik perlu dimansuhkan serta-merta.

“Jika kerajaan mahu bertindak adil peraturan ini harus dimansuhkan.

“Selain itu, kita juga berharap Datuk Bandar Kuala Lumpur dapat berkhidmat dengan adil bagi semua rakyat dan wajib memberikan kerjasama kepada semua Ahli Parlimen di Kuala Lumpur yang majoritinya adalah dari Pakatan Rakyat.

“Beliau seharusnya menghabiskan lebih banyak masa dengan wakil rakyat yang dipilih rakyat bukannya dengan ketua-ketua bahagian Umno,” katanya lagi.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 10:36 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III