Jangan pulangkan wang warga emas melalui Umno

Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan menghalang mana-mana warga emas untuk mengembalikan wang penghargaan sebanyak RM100 seorang yang diterima sebelum ini.
Namun begitu pemulangan wang tersebut sekiranya benar, hendaklah dilakukan melalui pejabat daerah untuk dipulangkan kepada kerajaan negeri dan bukannya melalui Umno.
Demikian dinyatakan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng selepas meraikan majlis kesyukuran di Kampung Permatang Tepi Laut, semalam.

Menurutnya, walaupun sebelum ini Umno Pulau Pinang mendakwa mengumpulkan sejumlah wang penghargaan warga emas tetapi sehingga ke hari ini, kerajaan negeri tidak menerima senarai nama dan pengesahan warga emas mengenai pemulangan wang tersebut.
"Kita tidak pernah menghalang warga emas yang ingin memulangkan wang penghargaan tersebut, tetapi mereka haruslah menurut prosedur yang telah ditetapkan.
"Ianya harus dikembalikan kepada kerajaan negeri melalui pejabat daerah dengan menyertakan butir-butir peribadi sepertimana yang tercatat pada permohonan mereka dalam sistem daftar yang ada serta tidak melalui Umno atau saluran lain," ujarnya lagi.
Beliau juga mengingatkan warga emas supaya tidak menggunakan Umno sebagai saluran kerana parti tersebut akan mempolitikkan isu tersebut.
Tambahnya lagi, seandainya Umno benar-benar ikhlas untuk mengembalikan wang tersebut, maka tindakan terbaik yang boleh mereka ambil ialah membantu warga emas supaya menghadirkan diri ke pejabat daerah serta memadamkan nama mereka dari senarai nama penerima.
Pada minggu lalu Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Norman Zahalan mendakwa akan mengembalikan wang yang telah dikutip melalui akaun kerajaan negeri tanpa mengikuti prosedur yang telah ditetapkan.
"Umno tidak boleh memasukkan wang yang mereka dakwa sebagai kutipan dari warga emas kerana tindakan tersebut adalah salah dan tidak menurut cara yang betul.
"Apa yang dibimbangi kemungkinan besar wang yang didakwa sebagai wang pemulangan dari warga emas itu bukan datang dari warga emas yang sebenarnya, tetapi dari sumber yang tidak sahih atau pun rasuah dan dari sumber yang haram," tegasnya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 9:31 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III