DUN Tenang: PAS halusi empat nama, Umno pula tujuh


 PAS dan Umno Labis telah mempunyai senarai calon untuk dipertimbangkan – yang bakal memikul cabaran pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Johor yang akan diadakan akhir bulan depan.
PAS telah menyenarai pendek empat nama untuk mewakilan Pakatan Rakyat manakala Umno seramai tujuh nama untuk mewakili Barisan Nasional (BN) yang akan diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti masing-masing untuk membuat keputusan.

Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, pada 17 Disember lepas.
Ia pilihan raya kecil pertama di Johor sejak Mac 2008.
DUN Tenang, salah satu daripada dua kerusi negeri dalam Parlimen Labis yang berjirankan kerusi Parlimen Pagoh yang bersempadankan kawasan Parlimen Pagoh di sebelah barat, Parlimen Sekijang di utara dan negeri Pahang di sebelah timur.
Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.
Menurut Yang Dipertua PAS kawasan Labis, Mohd Salleh Abdullah, pihaknya akan mengemukakan empat nama kepada PAS Johor sebelum dibawa ke PAS pusat untuk memilih siapa yang layak untuk mewakili Pakatan Rakyat.
“Soal calon saya tidak boleh nak cakap kerana saya tiada kuasa, tapi apa yang boleh saya katakan empat nama telah disenarai pendek untuk diserahkan kepada PAS negeri sebelum dibawa ke PAS pusat untuk buat keputusan.
“Calon-calon yang kita kemukakan ini adalah berwibawa, semuanya adalah anak jadi Johor,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
Ketika ditanya sama ada ahli jawatankuasa kerja pusat PAS Mazlan Aliman turut disenaraipendekkan, Mohd Salleh bagaimanapun enggan menjawab soalan itu.
“Itu saya tidak boleh jawab, biarlah ia menjadi rahsia, mungkin ada dan mungkin tidak,” katanya.
Mohd Salleh juga berkata persiapan rapi telah dibuat dan beliau yakin Pakatan Rakyat akan merampas DUN Tenang sekiranya Umno-BN menggunakan cara yang adil sepanjang kempen pilihan raya kecil berjalan.
“Mengenai persiapan memang kita telah laksanakan dengan baik, jentera kita juga sudah diperkemaskan. Kita sedang kerajaan Johor kini di bawah Umno-BN tapi bagaimanapun peluang untuk menang itu memang ada.
“Kita boleh menang sekiranya tidak berlaku provokasi dan penipuan, kalau berlaku juga memang kita akan kalah.
“Di sini (Tenang) kita telah agihkan kerja yang mana PAS memberikan fokus kepada orang Melayu manakala PKR dan DAP fokus kepada orang Cina dan orang India. Kita akan bergerak bersama-sama,” katanya.
Tambahnya, Pakatan Rakyat akan menggunakan pelbagai kaedah dan strategi yang boleh mendapatkan sokongan pengundi di DUN Tenang.
“Mengenai isu Felda pula kita akan bekerjasama dengan Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) untuk mendekati warga peneroka.
“Bagi kempen pilihan raya pula kita akan beri fokus kepada isu-isu semasa termasuk kenaikan harga barang.
“Untuk mencapai kemenangan kita akan gunakan kaedah yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Umno Labis Abd Razak Abd Rashid berkata, calon yang akan mewakili BN dalam pilihan raya kecil itu adalah anak tempatan Labis.
“Calon kita memang anak tempatan, kita dah senarai pendek tujuh nama untuk diserahkan kepada Badan Perhubungan Umno Johor sebelum dibawa ke Umno pusat untuk buat keputusan.
“Kita, Umno-BN sedia untuk menghadapi serangan daripada pembangkang dan mempertahankan kerusi ini,” katanya.
Beliau yakin Umno-BN yang kini dipimpin Datuk Seri Najib Razak akan mempertahankan kerusi DUN Tenang daripada dirampas Pakatan Rakyat.
“Persediaan awal memang kita sudah buat dan kita yakin mempertahankan kerusi DUN Tenang ini.
“Cuma apa yang kita bimbangkan adalah jumlah majoriti itu kerana sebelum ini pada pilihan raya umum 2004 kita menang dengan 5,517 majoriti, pada pilihan raya umum 2008 pula kita menang dengan hanya majoriti 2,492 undi. Ini yang kita bimbang.
“Bagi saya menang tetap menang cuma yang membimbangkan adalah jumlah majoriti itu kerana sebelum ini kita kalah tiga peti undi, yang lain menang lagipun kita ada peti undi di Felda,” katanya.
Mengumumkan tarikh pilihan raya kecil ini, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kerusi DUN Tenang mempunyai 14,753 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.
Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus) dan lain-lain 11 orang (0.07%).
Mengikut pecahan umur, seramai 3,271 pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun, 3,602 (40-49 tahun), 2,788 (50-59 tahun), 1,897 (60-69 tahun), 1,188 (70-79 tahun), 268 (80-89 tahun) dan lebih 90 tahun pula 70 orang.
Seramai 13 pengundi berusia lebih 100 tahun.

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 7:58 AM Kategori:

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III