PAS DAN KHAWARIJ, DI MANA PERSAMAAN, DI MANA KELAINANNYA (BHG 3)?



Mungkin anda seringkali mendengar ungkapan berikut:
Laa hukma illa lillah yang bermaksud tiada hukum kecuali untuk Allah.
Ungkapan itu seringkali menjadi mainan bibir dan buah percakapan terutama dalam kempen-kempen politik atau lebih tepat lagi ceramah-ceramah membabitkan sebahagian golongan yang beranggapan mereka lebih Islam berbanding orang lain. Kata-kata ini sebenarnya berstatus HAQ kerana merupakan sebahagian daripada ayat al Quran.

Pun begitu, tafsiran yang dibuat, seringkali menyimpang daripada pemahaman Solafus-Soleh, sehingga akhirnya yang muncul adalah kebatilan. Ungkapan inilah yang menjadi teras dan pegangan kepada golongan Khawarij iaitu kelompok yang berlebih-lebihan bahkan dianggap sebagai kelompok sesat pertama di dalam Islam. Dengan ungkapan itulah juga, mereka mudah mengkafirkan umat Islam yang tidak sehaluan dan sefahaman dengan mereka, bahkan begitu cenderung dengan penumpahan darah umat Islam.
Asy-Syihristani berkata, “Sesiapa sahaja yang keluar daripada ketaatan terhadap pemimpin yang sah, yang telah disepakati, maka dia dinamakan Khariji (seorang Khawarij), baik keluarnya pada masa Sahabat r.a terhadap al-Khulafa Ar-Rasyidin atau terhadap pemimpin setelah mereka iaitu pada masa tabiin, dan juga terhadap pemimpin kaum Muslimin pada setiap masa. ((Al-Milal wan Nihal, hal. 114)
Menurut Asy-Syeikh Dr. Shalih bin Fauzan Al-Fauzan, mazhab Khawarij ialah tidak berpegang dengan As Sunnah Wal Jamaah, tidak mentaati pemimpin (pemerintah kaum Muslimin), berkeyakinan bahawa memberontak terhadap pemerintah dan memisahkan diri daripada jemaah kaum Muslimin adalah sebahagian daripada agama. Sedangkan perbuatan tersebut sangat jelas menyalahi wasiat atau pesanan Rasulullah s.a.w agar umat Islam sentiasa mentaati pemerintah (dalam hal maaruf atau yang tidak bertentangan dengan syariat) dan menyelisihi perintah Allah Taala di dalam ayat 59 Surah An-Nisa’.
Kekafiran Khawarij masih diperselisihkan di kalangan ulama. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, “Sebahagian besar ahli usul daripada Ahlus Sunnah berpendapat Khawarij adalah orang-orang fasiq, dan hukum Islam berlaku ke atas mereka. Hal ini disebabkan mereka mengucapkan kalimah Thoiyibbah dan melaksanakan rukun-rukun Islam. Mereka dihukum fasiq kerana pengkafiran mereka terhadap kaum Muslimin berdasar takwil (tafsiran) yang saah, yang akhirnya menyebabkan mereka berkeyakinan bahawa darah dan harta golongan yang bertentangan dengan mereka adalah halal dan persaksian mereka dengan kekufuran dan kesyirikan.” (Fathul Bari, 12/314)
Al-Imam Al-Khaththabi t berkata: “Ulama kaum muslimin telah bersepakat bahawa Khawarij dengan segala kesesatannya tergolong firqah dari firqah-firqah muslimin, boleh menikahi mereka, dan memakan sembelihan mereka, dan mereka tidak dikafirkan selama masih berpegang dengan pokok keislaman.” (Fathul Bari, 12/314)
Al-Imam Ibnu Baththal t berkata: “Jumhur ulama berpendapat bahawa Khawarij tidak keluar dari kumpulan kaum muslimin.” (Fathul Bari, 12/314)
Asy-Syeikh Dr. Shalih bin Fauzan Al-Fauzan hafizhahullah berkata: “Yang demikian itu disebabkan kebodohan mereka tentang agama Islam, bersamaan dengan wara’, ibadah dan kesungguhan mereka. Namun tatkala semua itu (wara’, ibadah, dan kesungguhan) tidak berdasarkan ilmu yang benar, akhirnya menjadi bencana bagi mereka.” (Lamhatun ‘Anil Firaqidh Dhallah, hal. 35)
Dikatakan bahawa Khawarij pertama bernama Dzul Khuwaishirah yang wujud pada zaman Nabi s.a.w. Ibn Jauzi menyatakan: “Dzul Khuwaisirah adalah Khawarij pertama yang keluar dari Islam. Penyakitnya adalah redha dengan pemikiran peribadinya. Seandainya dia diam, pastinya dia akan tahu bahawa tidak ada pemikiran yang benar yang bertentangan dengan pendapat Rasulullah s.a.w. Pengikut Dzul Khuwaishirah merupakan golongan yang memerangi Syaidina Ali bin Abi Talib r.a. (Talbis Iblis, hal. 20)
Antara sebab-sebab penyimpangan Khawarij adalah:
1. Bodoh dan tidak faham tafsir al Quran. Ibn Taimiyyah menyatakan: “Bidaah pertama terjadi seperti bidaah Khawarij hanyalah disebabkan kesalahfahaman mereka terhadap al Quran, bukan kerana menentang al Quran tetapi mereka memahami al Quran secara salah sehingga meyakini bahawa sesuatu itu mengharuskan pengkafiran para pelaku dosa, kerana mukmin itu hanyalah yang baik dan bertaqwa. Mereka menyatakan, “Sesiapa yang tidak baik dan taqwa, maka dia kafir dan kekal di dalam neraka”, kemudian menyatakan “Uthman, Ali dan pendokong-pendokong kedua-duanya bukan Islam kerana mereka BERHUKUM DENGAN SELAIN HUKUM ISLAM.”
2. Tidak mengikut Sunnah dan pemahaman para Sahabat r.a dalam menerapkan al Quran dan Al-Hadis.
Al Imam Al Bukhari menyatakan:
Ibnu Umar memandang mereka (Khawarij) sebagai makhluk terkutuk dan menyatakan: ‘Sesungguhnya mereka mengambil ayat-ayat yang turun untuk orang kafir lalu menerapkannya untuk kaum mukminin“.
3. Wara’ tanpa ilmu. Ibnu Taimiyah menyatakan: “Sikap wara’ ini menjerumuskan pemiliknya kepada bidaah yang besar kerana Khawarij bersikap wara’ daripada kezaliman menurut prasangka mereka hingga mereka meninggalkan kewajiban berupa solat Jumaat, jamaah, haji dan jihad (bersama kaum muslimin) serta sikap menasihati dan rahmat kepada kaum muslimin. Pemilik wara’ seperti ini telah diingkari para imam, seperti imam empat madzhab.Kemudian Ibn Taimiyyah menjelaskan bahawa sikap wara’ tidak lurus tanpa disertai ilmu yang banyak dan pemahaman yang baik. Oleh kerana itu, orang yang bersikap wara’ memerlukan ilmu yang banyak tentang Al Quran dan Sunnah selain pemahaman yang benar terhadap agama. Seandainya berlaku sebaliknya, maka sikap wara’ yang rosak itu akan merosakkan lebih banyak kebaikannya.
4. Memandang satu kesatuan antara kesalahan dan dosa. Mereka menganggap kesalahan dan dosa satu hal yang tidak mungkin terpisah. Sehinggakan seseorang yang melakukan kesalahan, menurut mereka pasti berdosa.
5. Keliru dan bingung memahami maksud wasilah dan maqaasid (tujuan syar’i). contohnya amar ma’ruf nahi mungkar adalah sesuatu yang dituntut dalam syariat (Mathlab Syar’i) yang memiliki ketentuan, batasan dan wasilah (perantaraan) tertentu. Kaum Khawarij atas sebab berpalingnya mereka dari sunnah Rasulullah s.a.w menjadikan yang mungkar menjadi maaruf dan yang maaruf menjadi mungkar.
Sekalipun golongan Khawarij mendabik dada bahawa ‘Tiada hukum melainkan hukum Allah Taala’, hakikatnya itu hanyalah alasan untuk menghalalkan perbuatan durjana mereka. Contoh yang paling ketara adalah tentang Abdul Rahman bin Muljam. Siapakah Abdul Rahman bin Muljam atau lebih dikenali sebagai Ibn Muljam?
Inilah orang yang telah membunuh Syaidina Ali bin Abi Talib r.a ketika menantu dan sepupu Nabi s.a.w itu sedang mengimamkan solat Subuh.
Abdul Rahman bin Muljam al-Himyari bukanlah seorang yang jahat, bahkan cukup dikenali sebagai ahli ibadat, gemar berpuasa sunat dan mendirikan solat malam. Hanya sanya, pemahaman Abdul Rahman bin Muljam tentang agama, sangat cetek dan dia tidak cuba meningkatkan keilmuan dan kefahamannya.
Pun begitu, dia mendapat gelaran al-Muqri’. Lantaran itu, dia mengajarkan al Quran kepada orang lain. Khalifah Umar bin al-Khattab r.a memperakui kemampuan Ibn Muljam, bahkan menghantar Ibn Muljam ke Mesir untuk mengajar al Quran di sana sebagai memenuhi permintaan Amr bin al-As yang menjadi gabenor Mesir pada waktu itu. Dalam suratnya, Syaidina Umar r.a menulis: “Aku menghantar seorang yang soleh, Abdul Rahman bin Muljam kepadamu. Aku meredhainya untukmu. Jikalau dia sampai, muliakanlah dia, sediakan sebuah rumah untuknya sebagai tempat mengajarkan al Quran kepada masyarakat.”
Sekian lama menjalankan tugas sebagai muqri’, bercambahlah benih-benih pemikiran Khawarij di Mesir dan berhasil menyentuh ‘athifah (perasaan)nya sehingga kemudian memperdayakannya.
Ibn Muljam merupakan sebahagian daripada pasukan yang akan membunuh Syaidina Ali r.a, Syaidina Muawiyyah r.a dan Amr bin al-As.Dua orang lagi adalah Al-Burak bin Abdillah at-Tamimi dan Amr bin Bakr at-Tamimi. Pasukan tersebut dibentuk setelah Syaidina Ali r.a berjaya menumpaskan gerakan Khawarij di Nahrawan. Pada tanggapan mereka, pembunuhan ketiga-tiga tokoh umat itu akan mendekatkan diri mereka kepada Allah Taala.
Namun sebenarnya, Ibn Muljam terdorong untuk membunuh Syaidina Ali r.a kerana seorang perempuan bernama Fitham yang sangat digilai oleh Ibn Muljam. Ibn Muljam pada awalnya enggan membunuh Syaidina Ali r.a sebaliknya ke Kuffah untuk menyunting Fitham. Hanya setelah diberikan syarat sebelum membolehkan Ibn Muljam memperisterikannya, barulah pembunuh Syaidina Ali r.a itu sanggup melakukannya.
Tiga syarat diberikan oleh Fitham sekiranya Ibn Muljam ingin memperisterikannya iaitu, mas kahwin berupa kekayaan duniawi seperti hamba sahaya dan pembunuhan Syaidina Ali r.a.
Ketika Ibn Muljam menetak kening Syaidina Ali r.a, dia berkata, “Tidak ada hukum kecuali hukum Allah, bukan milikmu dan orang-orangmu (wahai Ali,” lantas dia membacakan ayat (yang bermaksud):
“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya karena mencari keredhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya”. [al Baqarah/2:207].[4]
Pendapat Ibn Muljam terutama terhadap ungkapan “Laa hukma illa lillah” dan penyongsangannya masih lagi dipegang oleh sebilangan manusia di negara ini. Golongan ini sangat ghuluw (berlebih-lebihan) dan cenderung untuk mempengaruhi orang lain agar menjadi keliru dalam memandang kebatilan hingga dijadikan dan digambarkan sebagai kebenaran.
Perhatikanlah fenomena Khawarij yang sedang berlaku di negara kita. Golongan Khawarij moden ini begitu mudah menggunakan hukum-hakam agama untuk mengkafirkan umat Islam sekalipun pada perkara-perkara khilaf dan furu’. Ramai daripada mereka yang tidak mahir tentang hukum-hakam, bahkan tentang ‘uruf sekalipun, tetapi mereka berlagak seolah-olah merekalah yang faqih dan mereka jugalah yang fasih. Bermodalkan pakaian di badan, janggut sejemput, ketayap dan serban selain jubah, mereka memperlekehkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan atau sefahaman.
Maka seharusnya kita semua kembali kepada al Quran dan As-Sunnah dengan sebenar-benarnya, bukannya berfahaman sekerat-sekerat. Penuhilah diri kita dengan ilmu tentang Islam, al Quran dan As-Sunnah serta cabang-cabang keilmuwan, bukannya bertaqlid buta sebagaimana yang sedang berlaku sekarang. Perlu diingatkan, kebodohan dan kejahilan itu sangat bahaya, lantaran menyebabkan ketidakjelasan penanda aras syarie bagi seseorang, sehingga mewujudkan kelemahan dalam tashawwur dalam memandang suatu masalah.
Wallahu a’lam
PENULIS: KELEMBAI BUKIT

ads

Ditulis Oleh : .:: AMIRUL AMIN ::. Hari: 3:46 AM Kategori:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

 

Sponsorship I

Sponsorship II

Sponsorship III